Hayati hanya melihat sahaja pengurusnya melangkah keluar dari pejabat dalam keadaan agak tergesa-gesa. Mungkin dia sudah lambat agaknya. Yalah, dia perlu menunggu hampir setengah jam sehingga Hayati selesai menerima taklimat hari pertamanya tadi. Dia perlu menyampaikan amanat dia pula kepada Hayati sebelum dia memulakan tugasnya.

"Yati! Yati!"

Hayati tersentak saat namanya dilaungkan beberapa kali. Terasa menegak bulu tengkuknya apabila namanya dijerit dengan begitu lantang. Bukannya dia pekak pun.

"Ya, bos?" Hayati tersengih-sengih kambing.

"You ambil buku minit mesyuarat ni. Saya nak you taip balik semua ni semula. Tapi, ubah ikut mana yang saya dah conteng tu." Encik Zubaidi menghulurkan buku minit mesyuarat kepada Hayati yang sudah berada di hadapannya itu.

"Satu buku ni?" soal Hayati sedikit terkejut. Tengok luaran buku ini ada juga lebih kurang 20 muka surat ni.

Encik Zubaidi mengangguk laju.

"Saya nak buat buku kompilasi minit mesyuarat kelab komuniti kampung. Untuk makluman, saya ni pengerusi kelab komuniti tu. Setiausaha saya nak buat benda ni tapi dia rujuk saya dahulu kalau ada apa-apa hal. Dia yang cadangkan semua ni. Idea dia menarik, tu yang saya nak suruh you buatkan tu," panjang lebar Encik Zubaidi menerangkan. Berat sangatkah kerja yang diberikannya untuk hari pertama?

"Kalau encik setiausaha tu yang cadangkan, kenapa dia tak taip sendiri?" soal Hayati selamba apabila terperasankan nama setiausaha kelab komuniti di muka depan buku.

Encik Zubaidi mengerutkan dahinya. 'Pandai menjawab juga dia ni.'

"Maaf bos. Bukannya saya nak melawan, tapi saja saya nak suarakan pendapat saya dan bertanya. Ini idea beliau, ada baiknya beliau yang taip dan uruskan. Lagipun, bukan ke itu tugas seorang setiausaha?" Hayati cuba menerangkan sebaiknya soalan yang diajukan tadi setelah menduga-duga reaksi wajah bosnya itu.

Encik Zubaidi tersenyum nakal. Dia memang sengaja mahu menguji pekerjanya itu. Dan memang sengaja juga dia berikan kerja yang sepatutnya diuruskan  oleh setiausahanya, seperti yang diperkatakan oleh Hayati. Malah, dia sendiri meminta buku itu dari setiausahanya walapun sudah berpuluh kali setiausaha itu mahu menyiapkan kerja itu sendiri.

Dia hanya mahu melihat respons yang akan ditunjukkan oleh pekerjanya andai sebarang tugasan kelab seperti itu diberikan. Itulah yang selalu dia lakukan kepada setiap pekerja-pekerjanya pada hari pertama mereka bekerja. Dia sekadar mahu menduga personaliti yang macam mana pekerjanya miliki. Suka melawan, suka memberontak atau menjadi pak turut sahaja?

"Betul tu. Cuma, setiausaha saya tiada dua tiga hari ni. Kami tiada penolong setiausaha. Dan kami perlukan buku itu untuk mesyuarat yang akan datang. Lusa mesyuaratnya. Sebab itu saya minta you yang buatkan. Seperti yang saya maklumkan awal tadi, selain kerja admin ofis, apa-apa kerja kelab atas arahan saya juga merupakan KPI you. Jadi, boleh siapkan sebelum lusa?"

 'Jika tiada penolong setiausaha, itu setiausaha punya masalahlah! Suruhlah anak-anak dia ke, sedara dia ke, jiran dia ke buat!'

Hayati menyumpah-nyumpah dalam hati kerana sama sekali tidak bersetuju dengan arahan majikannya itu. Wajahnya kekal tersenyum sambil mengambil buku yang dari tadi dihulurkan kepadanya itu.

"Saya cuba, bos. Apa-apa saya akan update bos kemudian," lembut nadanya dilontarkan seolah-olah reda dengan tugasan tersebut, sedangkan dalam hati, hanya Tuhan sahaja tahu. Baru hari pertama sudah jadi begini, esok-esok entah apa pula arahannya.

Hayati terus keluar tanpa menoleh ke belakang lagi. Mukanya mencebik habis. Entah kenapa dia berasa begitu menyampah dengan tugasan remeh dan merepek begini. Lagipun, ini tugas seorang setiausaha, bukan kerani atau pembantu peribadi pengerusi kelab! Lainlah kalau dia perlu karang surat-surat kegunaan rasmi pengerusi atau proof-read minit mesyuarat yang sudah disemak oleh pengerusi. 

Ahhh!

Apa lagi yang boleh dia lakukan?

Tiada.

Hayati selak satu per satu halaman buku tersebut. Dengan malas, dia mula mencari perisian Word dan mula menaip.

'Siapa pak cik setiausaha ni? Hari pertama aku kerja sudah susahkan hidup aku dengan kerja kau sendiri ni, pakcik!'


'AHJUSSI' 아저씨Where stories live. Discover now