"Awak terjun dalam sungai tu, dan awak nampak macam tengah merelakan diri awak lemas, dengan sengaja. Kenapa?" Si lelaki bertanya tanpa bertapis, kerana kekeliruan yang membelenggu dirinya. Suaranya agak pelat, namun lancar saja bercakap Melayu tanpa tergagap.

Adwa hanya membalas dengan gelengan. Manakan mungkin dia memberitahu tujuan dia berkelakuan begitu tadi kepada entah siapa-siapa itu. Jika berita ini sampai ke telinga abahnya, habis dia dikerjakan.

Dan kenapa pula saat itu dia harus takut sedang tadi dia sudah rela untuk mati?

"Are you trying to kill yourself?" Sekali lagi, si lelaki bertanya tanpa bertapis, buat Adwa gugup.

Adwa kemam bibirnya sekemas mungkin, rasa takut mulai membelenggu. Keyakinan untuk mati tadi sudah melayang entah kemana, yang tinggal ialah rasa takut andai rahsianya dibocorkan oleh lelaki yang tidak dikenali itu.

"Tolong, encik..." Adwa satukan kedua belah tangannya bersama. Bibirnya bergetar dan air mata mulai bergenangan kerana rasa resah dan risau yang beraja di dalam diri.

"Jangan bagitahu sesiapa pasal hal ni," Adwa merayu, menutup rapat matanya, membuatkan setitis air mata jernih miliknya jatuh, kemudian bersatu dengan titis air sungai yang masih menitik dari tudung dan pakaiannya yang masih basah kuyup.

Lelaki mata sepet itu mengeluh, seakan satu beban besar diletakkan ke atas bahunya waktu itu.

"Okey," lelaki itu menjawab, membuatkan Adwa membuka matanya untuk menatap si lelaki.

"Hah?"

"Saya cakap okey."

"Terima kasih encik. Te-"

"Dengan syarat," senyum lebar Adwa mati semula dengan suara lelaki itu yang kedengaran lagi.

"Datang sungai ni, waktu yang sama, setiap hari, kita jumpa," lelaki itu menyambung, menyatakan syaratnya.

Adwa kekeliruan. Untuk apa? Dan syarat jenis apakah itu? Bukankah biasanya seseorang akan meminta sesuatu yang menguntungkannya demi merahsiakan sesuatu yang besar seperti itu?

"Sebagai permulaan, jangan panggil saya encik. Call me by my name, and remember it. Kee Li Yuan. Ingat tu, Kee Li Yuan, okey?"

Si lelaki mata sepet, mengukirkan senyum manisnya kepada Adwa. Senyum manis yang hingga membuatkan matanya kian mengecil dan kian memaniskan wajahnya yang sudah cukup menawan. Dan senyum yang menjadi permulaan kisah mereka. Kisah antara Kee Li Yuan dan Rabiatul Adwa.

***

"Kamu pergi mana, Adwa?" Suara garau itu menghentikan langkah yang sudah cuba diperlahankan gadis itu sejak awal menjejak lantai rumah itu.

Dia mulai kecut perut, namun tahu bahawa dia tak boleh mahu lari lagi. Maka tubuh dipalingkan menghadap gerangan yang bersuara.

Abahnya, Encik Kamarul. Lelaki paling berpengaruh di kampung itu dan sangat dihormati kerana jasanya, membina masjid, memberikan derma yang banyak dan pelbagai lagi perkara yang membuatkan lelaki itu dipandang tinggi oleh ramai orang kampung di situ.

Tentunya, realiti sering kali tidak seindah yang dikhabarkan. Apa yang berada di dasar selalunya jauh lebih buruk dari permukaan.

Love in the RainWhere stories live. Discover now