→takdir

636 88 13
                                    

"Kee Li Yuan. Saya yakin ramai antara kalian pernah mendengar nama ini. Dia menjadi berita hangat sejak seminggu yang lepas. Dan berdirinya saya di sini pada hari ini ialah untuk menceritakan sebuah kisah. Kisah antara saya dan Kee Li Yuan.

Kee Li Yuan. Hadirnya dia tanpa jemputan, perginya dia tiada terjangka. Di sisinya dia saya tersenyum, ketawa, menangis dan berubah menjadi lebih kuat. Di sisinya dia, saya fahami bahawa takdir Tuhan itu yang terbaik meski tak seindah yang kita impikan."

***

Kudup bunga teratai yang sedang menanti saat terbuka ditatap Adwa tanpa lepas. Sinar di matanya pagi itu sudah hilang serinya. Remang pagi sesekali menggigit, ada bayu dingin mengusik wajah dan tangannya yang terdedah, disambutnya dengan senyum tawar.

"Ingat, jangan berani nak buka mulut. Jaga maruah keluarga kita. Kau mesti tak nak cemarkan nama baik abah dan musnahkan hormat orang kampung dekat kita, kan?"

Suara garau yang menjadi kebenciannya itu seakannya bergema di seluruh penjuru alam, memusnahkan paginya yang sudah sedia suram. Air mata cepat saja berbintat dan dadanya sesak. Wajah itu, renungan itu, senyum sinis itu, antara perkara yang paling dia benci di dunia.

Permukaan air sungai yang tenang itu dikocaknya dengan kedua kaki, menghilangkan pantulannya yang sedari tadi terbias di situ. Genang air mata laju disapu, tujuan sebenar dia ke situ kembali menerjah diri, menghadirkan satu tekad yang sekian lama terpendam.

Tanpa ragu, bersama dendam kesumat yang sekian lama tertahan, dia menjatuhkan dirinya ke dalam sungai itu.

Dan graviti menariknya ke bawah, menuju ke dasar terdalam sungai itu. Kesejukan yang biasa sudah menjadi luar biasa. Buih-buih halus keluar dari hidung dan perlahan-lahan, dia kian hilang nafasnya. Mindanya yang sudah tekad dan tidak takut untuk kehilangan nyawa lagi, membuatkan dia hanya merelakan diri terus terbenam jauh ke dasar sungai itu.

Hinggalah akhirnya sesuatu yang lain menjunam ke dalam air dingin itu. Sesuatu yang terus saja berenang laju ke arahnya dan kemudian terus menggapai kemas tangannya, menariknya semampu kudrat dan mengguna sehabis tenaga untuk menaikkan dia dari terus tenggelam dibawa arus sungai itu.

Dia menemui udara semula, tercungap-cungap, sesak nafas dan cuba sehabis baik untuk mengembalikan oksigennya yang hilang meski tindakannya tadi disengajakan.

Figura yang tadi menjadi penyelamatnya, terus saja mengheretnya ke tebing sungai. Adwa berpaut di situ, masih termengah mencari nafas yang hilang.

"Awak gila ke?!" Jeritan dari penyelamatnya menyentak si gadis. Dia menyapu wajahnya yang basah lalu memandang sekilas pada gerangan suara yang memarahinya itu.

Lelaki dengan mata sepet.

***

"Awak tak apa-apa ke?" Suara yang sama, namun kali itu nadanya lebih lembut dan prihatin. Takut-takut Adwa mengintai wajah lelaki itu, mencari jika hadirnya roman marah pada muka itu.

Adwa hanya mampu mengangguk. Wajah si lelaki terlihat lebih tenang dan ada juga riak serba salah pada wajah itu.

"Err, maaf sebab jerit dekat awak tadi, tapi..." Adwa pandang wajah lelaki itu bila dia terhenti di situ.

Love in the RainWhere stories live. Discover now