BAB 1

7.8K 111 1
                                    

"Sampai sekarang pun aku masih tak percaya."

"Apa maksud kau?"

Mata Farah yang ralit membelek taburan manik pada baju kurung moden yang tergantung di hadapan pintu almari, segera beralih pandangan. Ke arah suara yang bertanya tadi.

"Maksud aku, sampai sekarang aku macam tak percaya yang esok kau bakal bergelar isteri orang. Yalah, kau sendiri tahu kan macam mana love life kau dengan si Ashraf tu sepanjang kau orang bercinta. Orang kata, hate-love-relationship?"

Farah mengambil tempat duduk di atas katil, tidak jauh daripada teman baiknya itu.

Adalia yang sedang berbaring terlentang sambil mata menghadap telefon bimbit, hanya menjeling sekilas. Malas nak mengulas.

Rasanya dia sendiri harus akui yang dia pun tak sangka akan bernikah juga pada esok hari. Rasa macam mimpinya selama tiga tahun ini jadi kenyataan.

Rasanya, semua orang dalam keluarganya termasuk Farah tahu bagaimana hubungannya dengan Ashraf. Sekejap baik, sekejap gaduh. Putus pula sudah beberapa kali.

Ada juga teman-teman rapat termasuk Farah yang menasihatinya supaya putuskan sahaja perhubungan dengan tunangnya itu. Mungkin mereka sudah muak nak dengar luahan perasaan penuh emosi setiap kali dia bergaduh dengan Ashraf.

Ashraf, lelaki yang dia kenal sejak di tahun akhir pengajian dahulu. Ketika itu Ashraf baru sahaja memulakan kerjaya sebagai pensyarah muda. Sikap Ashraf yang mengambil berat akan dirinya sepanjang mereka berkenalan membuatkan hatinya terpaut kepada lelaki itu.

Dia boleh katakan yang Ashraf merupakan lelaki sempurna, yang menjadi idaman dan dambaan semua gadis. Ramai teman-teman sekuliah cemburukan dirinya apabila mengetahui dia menjalin hubungan cinta dengan pensyarah muda tersebut. Malah, dia turut menjadi mangsa cemburu pensyarah-pensyarah wanita yang lain.

Pada mulanya, dia berasa bangga juga apabila Ashraf memilih dirinya dalam ramai-ramai gadis. Namun, perasaan itu mulai pudar apabila dia mula kenal perangai sebenar Ashraf.

Walaupun Ashraf boleh dikategorikan sebagai lelaki idaman para gadis, namun ada satu sikap Ashraf yang dia tak suka. Sikap itu jugalah yang membuatkan mereka acap kali bergaduh.

Sikap Ashraf yang 'terlebih mesra' dengan perempuan lain.

Kadangkala dia merasakan yang dia mungkin terlalu cemburu. Namun, siapa tak cemburu kalau teman lelaki yang kini sudah pun merangkap sebagai tunang selama hampir setahun setengah, keluar berdua-duaan dengan gadis lain pergi menonton wayang dan sebagainya?

Lepas itu kantoi pula, terserempak dengannya di mana-mana. Memang kalau Allah nak tunjuk, Dia akan tunjuk. Tapi, setiap kali itu berlaku, Ashraf akan mengatakan yang mereka hanya sekadar kawan sahaja.

Yalah tu. Kawan apa kalau dah jalan pun sambil pimpin tangan?

Tapi, disebabkan sayang dia pejamkan mata sahaja dan teruskan hubungan sehinggalah mereka bakal diijabkabulkan esok pagi. Adalia berharap, Ashraf akan berubah apabila sudah bergelar suami nanti.

"Oit, termenung pula dia. Kau dengar tak apa aku cakap tadi?"

Farah menepuk lengan Adalia apabila gadis itu hanya diam membisu.

"Aduh! Sakitlah."

Adalia menempik spontan sambil menggosok lengannya yang terasa perit.

"Kau termenung kenapa? Dah nak kahwin esok pun, masih nak fikir panjang ke? Atau kau dah mula rasa nak berubah..."

"Apa kau merepek ni? Jangan kacau aku boleh tak? Dah, pergi tidur sana. Esok kejut aku awal-awal sebelum subuh. Ingat, tugas kau sebagai pengapit aku ni kena senangkan aku. Mudahkan urusan dan tenangkan hati aku. Bukan tambah serabut kepala otak aku, faham?"

Farah merengus.

"Yalah, whatever. Aku pun dah mengantuk. Nak tidur dulu."

"Good for you."

Adalia mencebik sebelum mata kembali memandang skrin telefon bimbitnya apabila ada bunyi notifikasi WhatsApp kedengaran.

"Yang kau pun jangan nak layan WhatsApp tu lama-lama sangat. Tidur awal kalau tak nak mata tu jadi macam panda. Esok dah nak menikah. Nanti sembanglah dengan si Ashraf tu puas-puas sampai lebam masa malam pertama."

Adalia merengus lagi sebelum perhatiannya kembali pada skrin telefon bimbitnya.

Baby, sorry. I can't do it.

Berderau darah Adalia tatkala membaca sebaris ayat terakhir mesej WhatsApp daripada Ashraf. Hatinya mula rasa tak sedap dan berdebar-debar.

Apa maksud Ashraf?

What do you mean, sayang?

Adalia menunggu balasan dengan penuh debaran di dada. Dia sempat menjeling ke arah Farah yang sudah pun lena di katil sebelah.

Bib! Adalia segera menyentuh skrin telefon bimbitnya.

I minta maaf. I dah cuba but...

But?

I tak boleh teruskan.

Air liur yang ditelan mula terasa berpasir.

Apa maksud you?

I tak boleh teruskan lagi. I nak cancel majlis akad nikah kita esok.

Deng! Terasa seperti ada batu berat jatuh menghempap dadanya ketika dia membaca balasan daripada Ashraf itu.

Apa maksud you? You nak postpone majlis kita?

Nope.

Habis tu?

I tak dapat nak tunaikan janji I. I tak boleh kahwin dengan you. I'm sorry.

Air mata yang cuba ditahan sejak dari tadi akhirnya gugur juga membasahi pipi. Patutlah sejak dua menjak ini dia rasa tak sedap hati. Rasa sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Tak sangka rupa-rupanya inilah yang dia bakal hadapai.

Kenapa? Apa salah I you buat I macam ni? You tak sayang I ke?

Terketar-ketar tangan Adalia ketika menaip mesej tersebut. Malah, pandangan matanya kabur dek air mata yang turun mencurah-curah membasahi pipi.

You tak salah sayang. I yang bersalah. Sorry.

But why?

Actually... there is someone...

Adalia pejam mata. Tak mampu nak baca ayat seterusnya. Dia sebetulnya sudah boleh mengagak. Sudah boleh mengagak yang Ashraf memang takkan boleh berubah daripada sikap gatal dan buaya daratnya itu.

I'm sorry. Maybe you akan jumpa lelaki yang lebih baik daripada I. Will love you forever. Sorry again.

CINTA PANDANG PERTAMAWhere stories live. Discover now