Bab 9

481 12 0
                                    

Yasmin Qawlah Azwar

Tubuh merah saga, batin meraung amarah

Pernah tahu rasa hampa yang keterlaluan sehingga engkau hilang segala deria rasa? Kecewa, marah, geram, benci, semuanya kau gaulkan menjadi satu dan kemudian kau perahkan dengan cuka, asid dan limau! Itulah rasa hati aku sekarang.

Kami sampai dan dentuman senjata itu sudah meledak. Berkali-kali. Aku ulang ya, berkali-kali. Bukan sekali.

"Ambil position masing-masing. Jangan buat apa-apa dulu. Tunggu arahan. Perhatikan kalau ada gerakan suspek. Ekori suspek yang mencurigakan." Melalui earpiece, aku dapat mendengar jelas arahan Dato Khan.

"Yasmin dengan team, stay put."

Itu suara Tedung. Oh, aku benci arahan yang begini. Terasa macam bodoh dan jadi patung cendana.

Dari jauh aku dapat lihat dengan jelas, lapan orang lelaki sasa dengan pakaian taktikal, lengkap bersenjata, melompat gesit dari kenderaan hitam yang serba gelap cerminnya.

"Move! Move!" Salah seorang anggota bersenjata yang bertopeng itu menjerit. Semua yang ada di situ gempar.

Huh! Drama! Kau rancang, kau bunuh, kau kawal keadaan. Acah-acah kau pengaman! Manusia bangsat. Aku tak tahu entah berapa guni aku sumpah seranah.

Satu wilayah havoc. Semua jadi tergamam dengan berita Sheikh Aali ditembak berkali-kali di tempat parkir kereta berhadapan sebuah pusat perubatan.

Lewat petang, kami kembali berkumpul di perkampungan rahsia kami. Petang itu kami pulang ke sarang dengan rasa sebal. Aku dapat lihat wajah sugul Tedung. Mata layu Dato Khan menceritakan segala gelora hatinya.

"Kita dibezakan dengan 30 saat. Kita lewat 30 saat." Dato Khan masih lagi dihambat rasa bersalah.

"Kalaulah..." Aku masih lagi rasa sebal dan terkilan. Perkataan kalau berlegar sepanjang waktu di dalam kepala aku. Huh!

"Kita dah usaha. Sudah tertulis, ajalnya begitu. Kita bukan sesiapa untuk menghalang janji Tuhan."

Tedung cuba menenangkan.

"Cuma 30 saat aje! Kita terlepas yang 30 saat tu!" dengus Dato Khan. Aku memandangnya dengan penuh simpati. Aku faham rasa itu. Sebab aku sendiri sedang mengunyah rasa itu dengan penuh hambar jiwa. Di meja Dato Khan, aku lihat sudah ada tiga cawan kertas kopi segera. Petanda dia sedang serabut perut. Kopi menjadi penenang.

"Jangan beralah. Tugas kita makin genting dan berat." Tedung menepuk bahu sahabatnya itu.

Aku memandang sambil memahami tamsilan resah diri kedua-dua ketua aku ini. Lazimnya baik Tedung atau Dato Khan, cepat saja panas baran. Sukar dibaca dan ditelah, angin mereka. Tapi kejadian siang tadi membuktikan mereka masih manusia biasa. Mereka masih punya hati nan halus dan perasaan yang luhur. Masih bernafas dengan kemanusiaan.

Mereka gagal siang tadi tapi mereka masih boleh reda. Aku tak menjangkakan begini. Awal tadi, masing-masing dalam team kami sudah bersedia untuk menerima maki hamun dari bos.

Semua serabut kepala dan semak perut memikirkan saat pembentangan. Saat post-mortem yang dibuat amat menyeksakan. Kadang-kadang aku rasa, diri sendiri, otak sendiri yang dilapah! Kami bakal membuat laporan terperinci kes siang tadi. Saat selepas solat maghrib akan jadi penentuan. Silap hari bulan, ada antara kami yang akan diterajang keluar dari team rahsia ini.

Maka waktu sesingkat ini semua harus bertungkus lumus dengan report masing-masing. Markas rahsia besar ini, seperti biasa, riuh dengan dengungan percakapan, interaksi telefon yang tentunya dari dalam dan luar negara.

NefertitiWhere stories live. Discover now