Prolog I

3.9K 56 3
                                    

Datin Naila

Kau menyimpan rahsia, aku mengepung ketakutan

Aku nak jumpa. Rindu! Di Pavilion Peak. Kau sebut diri kau Nefertiti. Kata mahu jumpa Mangkubumi. Kau akan dihantar ke bilik aku. Aku ada tiga hari saja di sini mulai hari ini. Jangan telefon!

Gerimis petang mengguyur saat aku menerima mesej itu. Sesaat guruh menjerit, kemudian reda. Tak lama kemudian, langit kembali bertempik. Seperti sama mengejek aku. Hati aku berbolak-balik. Pergi atau tidak? Jumpa atau lupakan saja?

Antara akal nan waras, aku kalah pada rindu. Aku tak peduli apa yang bakal merintang di hadapan. Ya, aku putuskan untuk bertemu dia, Mangkubumi. Yang sejak dahulu lagi sentiasa menjadi yang pertama dalam hati aku.

"Aku minta maaf, Naila." Itu dulu yang terbit dari bibirnya saat kami bertemu.

"Kau tak bersalah. Ini cita-cita kau. Aku sentiasa ada untuk kau."

"Aku rindu pada kau. Sungguh! Aku rindu." Dia mendekati aku. Tanpa sedikit aku membantah.

Langkahnya menghampiri aku dan terus merangkul pinggang. Aku biarkan saja perlakuannya. Kami sama-sama rindu.

"Kau tak menyesal nanti kalau cerita kita merosakkan nama kau? Kau bakal Mangkubumi. Bukan ke lebih baik kita diam dahulu? Aku tak mahu peluang kau rosak disebabkan aku."

Sebenarnya aku menguji dia. Aku mahu melihat sejauh mana cinta dia pada aku.

"Naila, kalau aku terpaksa lucutkan segala jawatan ini... Demi kau, aku sanggup!"

Aku terkesima. Aku menatap matanya dalam-dalam. Aku terasa diri terawang-awangan.

"Aku perlukan wanita yang sempurna untuk aku. Wanita sempurna itu lambang kehebatan lelaki. Siang dia mampu mendampingi rakan-rakan aku. Mampu berhujah, mempertahankan aku. Tapi malamnya, aku bayangkan wanita yang serba tangkas, penuh visi itu mampu memberi aku syurga. Dan, kaulah wanita itu, Naila!"

Aku gementar dalam girang.

"Kau ambil risiko, Adnan!"

"Aku bersumpah, Naila. Aku sanggup hilang bintang-bintang kebesaran di dada aku ini hanya untuk kau."

Aku kemudian tenggelam dalam asyiknya kasih sayang. Aku terasa mahu menangis tapi lelaki itu pantas memujuk aku.

"Kau tak percaya aku?"

Aku tertunduk. Bukan tak percaya tapi ada ketika perasaan ini bergelora.

"Tutup mata engkau. Hulurkan tangan."

Aku mendongak kehairanan.

"Cepat. Tutup mata tu."

Aku pejamkan mata dan terasa tangan kiri aku diraihnya.

Aku dapat rasakan, ada gelang tangan yang dipakaikan padaku.

"Buka mata."

Gosh! Aku terpaku merenung gelang bertatah berlian yang sedang melingkar pada pergelangan tangan.

"Aku tempah khas. Sepatutnya yang asal kepala panther. Aku minta buatkan ilusi Nefertiti. Lambang kuasa, lambang kemewahan... Dan aku ukir sesuatu di situ."

Pantas aku membelek.

Adnan – Naila – Love – Master – Slave – Eternity

"Terima kasih, sayang! Kau pemilik cinta aku. Selama-lamanya, cinta aku ini milik kau."

"Untuk tu, aku minta kau bersabar. Boleh, bukan? Sampai berapa lama, aku tak pasti. Tapi aku percaya, kau boleh menunggu! Aku janji, kalau cinta kita bersatu, aku tunaikan apa saja yang kau mahu."

NefertitiWhere stories live. Discover now