Bab 7

527 18 0
                                    

Yasmin Qawlah Azwar

Debarnya jiwa, melerai isyarat rahsia

Malam yang semakin larut, pasti seisi penghuni alam semua sudah hanyut dengan mimpi tapi aku masih menggodek komputer. Penat, sakit belikat dan rasa pedih mata tak usah cakap. Ya, stres. Tapi macam biasa, untuk pujuk hati, aku akan sebut #ilovemyjob depan Dato Khan. Tak pedulilah kalau orang kata nak membodek. Itu ayat sedapkan hati sendiri bila rasa nak gegar skrin komputer, rasa nak humban keyboard. Software tulisan jawi ini memang selalu buat aku serabut.

Untuk Op Nefertiti, memang kami guna software tulisan jawi. Bunyi aneh, tapi bila big bos Tedung sudah berbunyi, team kami diam dan akur.

"Ramai yang buta jawi sekarang. Kita pun bukan pakai alif sampai ya. Kita terbalik-terbalikkan kod. Kita punya urutan tu random. Kena orang mahir matematik, mahir fizik untuk faham kod kita. Kalau tak buat macam ni, macam mana kita nak hantar maklumat, macam mana kita nak kelirukan musuh, nak buat kacau sistem perisian, buat havoc pada radar orang sana."

Itu bebel Tedung kalau ada yang sudah mula sangkut dagu pada telapak tangan depan komputer. Macam biasa, aku anak buah yang taat dan punya misi tersendiri untuk Op Nefertiti ini diam dan mengangguk macam burung belatuk.

Kalau anda terdengar bunyi aneh-aneh dalam bahasa asing atau mencarut-carut melalui peralatan elektronik anda... Ketahuilah bahawa aku, yeayyy... Software tulisan jawi aku sedang bekerja keras lagi tangkas dan licik, menggodam orang di sana.

Sebetulnya sudah seminggu aku terkurung dalam bangunan ini. Siapa pun tak akan menyangka, di tengah-tengah hutan rimba yang disimpan dalam kota ini, akan ada tempat kami membuat latihan, risikan dan persediaan rapi untuk operasi baru kami.

Sosok bangunan ini jauh sekali dari mencakar langit, ia menuruni lima aras di bawah tanah. Kalau tiada kekuatan mental, memang aku mengaku, boleh jadi gila tidak melihat langit. Entah bila malam bergilir dengan siang, entah ada matahari, entah ada bulan tergantung di puncak bumi, kami tetap dengan rutin kami.

Selalunya aku dengan Dato Khan, kalau tiada di lapangan, kami berkurung di HQ. Tapi kali ini arahan bos besar, Datuk Nur Lukman Si Tedung, kami harus berkampung di sini.

"Op Nefertiti perlu kita lebih berawas. Jangan sampai pihak sana tahu kalian dari team MyJebat. Sekali terbocor, punah semua." Itu yang berkali-kali Tedung tegaskan pada kami. Sewaktu di meja makan tadi, aku cuma menguruskan kerja aku. Entah apa yang dibual dengan Dato Khan.

"Melangkah dalam senyap, berlari tanpa desah angin. Kita tak boleh tersilap. Kumpulkan segala bahan bukti. Nefertiti memang bayangan zaman firaun yang zalim." Tedung selalu memberi kata-kata semangat. Lelaki itu sebenarnya sentiasa tenang biar sosok wajahnya bengis.

Dia sememangnya terlahir sebagai lelaki separuh usia yang sejati, meskipun gurauannya kadang berlebihan dan tidak pada tempatnya. Siapa yang kenal Tedung tentu arif, dia tangkas membelokkan kata-katanya. Darah dalam tubuhnya likat dengan semangat juang dan patriotik. Kalau diajak berbual, lawan bicaranya sendiri akan terkesima dan terpesona. Akulah antara orang yang akan terlopong mendengar pengalamannya.

Entah kenapa, aku rasa aneh perasaan ini apabila mendepani Op Nefertiti. Aku menyertai National Security Intelligence Service - yang disebut orang sebagai MyJebat ini, bukannya baru. Sudah lima operasi aku bersama-sama mereka.

Tapi untuk yang ini, aku tahu, ujian yang bakal aku redah luar biasa. Entah aku akan rebah, entah aku tersungkur, tersembam sebelum bangkit, atau aku tewas tidak mampu bangkit, semuanya aku serah pada Allah s.w.t. Hanya Tuhan yang mampu memberi tenaga sakti untuk kami membanteras perkara nan batil.

Di luar unit aku, melalui kaca jernih lut sinar di bahagian aku tetapi berkabut di luar, aku dapat melihat kelibat sederetan pemuda yang menghadap skrin komputer. Masing-masing sibuk menyaring data hasil risikan.

NefertitiWhere stories live. Discover now