Bab 152-Ketuanya Bomoh Wanita

1.6K 29 0
                                    

  Bahagian depan (muka) ditutup dengan kain hitam yang nipis dan jarang. Ini membolehkan orang tersebut melihat sesuatu dengan bebas. Dan datuk macam tadi juga, berdiri dengan tenang. Sepasang matanya tetap menyorot setiap pergerakan orang yang berpakaian serba hitam di depannya.

"Huuuhhhh..."

Orang yang berpakaian serba hitam melompat ke udara, setinggi lebih dari sepuluh kaki dan akhirnya berdiri atas busut jantan untuk beberapa minit sebelum melompat dan berdiri di depan datuk.

Orang yang berpakaian serba hitam segera menghulurkan tangan untuk bersalam. Saya lihat datuk seperti keberatan untuk menyambut salam yang dihulurkan. Dan orang itu seperti memaksa agar datuk menyambut salamnya. Dia cuba berusaha menyambar telapak tangan datuk. Macam tadi juga, datuk terus mengelak. Ternyata perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahannya.

Kalau tadi dia menghulurkan tangan untuk bersahabat. Kali ini dia melepaskan penumbuk sulung yang kencang ke arah datuk. Datuk berjaya mengelak danorang yang menyerang terbabas kedalam rumpunan pepokok kecil. jatuh terduduk di situ dan dia bangun dengan pantas lalu menyerang datuk dari arah kiri. Datuk tidak dapat mengelak.

Satu tendangan yang padu dan tajam singgah di rusuk kiri. Datuk tersungkur dan bergolek kebumi menahan rasa sakit sambil mengerang. Saya jadi terharu melihat apa yang datuk alami. Tetapi, saya tiada daya untuk menentang orang yang berpakaian serba hitam. Orang itu bukan lawan saya.

Di saat datuk menahan rasa sakit, orang yang berpakaian serba hitam tidak mahu melepaskan peluang untuk menamatkan riwayat datuk. Dia segera melompat untuk menghentakkan sepasang kakinya ke dada datuk. Ternyata apa yang di rancangkan oleh si baju hitam dapat dibaca oleh datuk.

Dengan pantas datuk menggolekkan tubuhnya di bumi, ligat macam gasing menuju ke arah kaki si baju hitam yang mahu memulakan lompatan. Kaki kiri si baju hitam (di bahagian buku lali) disambar oleh datuk lalu dipulas dengan sekuat hati. Si baju hitam tidak dapat mengimbangi badannya. Terumbang ambing macam sabut dilambung ombak. Akhirnya dia tersembam ke bumi.

Dengan sedaya upaya datuk memeluk badan si baju hitam lalu melepaskan penumbuk ke arah perutnya. Saya terdengar suara pekikan dalam rasa senak yang amat sangat si baju hitam cuba menendang tubuh datuk. Ternyata datuk lebih cekap bertindak. Kain hitam penutup wajah segera di rentap dan dibuang oleh datuk ke dalam belukar. Datuk berhenti dari memeluk tubuh si baju hitam dan dia terus mencangkung di depan si baju hitam yang tewas.

"Kamu bukan lawan aku, pulanglah," kata datuk.

Si baju hitam yang tewas segera duduk bersila di tanah sambil merenung penuh dendam ke wajah datuk. Tanpa diduga dia melepaskan tendangan dari kaki kiri ke arah kemaluan datuk. Mujur datuk menepis tendagan itu lalu menangkap kaki kirinya. Datuk rentap ke kanan hingga si baju hitam menjerit kesakitan.

"Kamu bukan lawan aku," ulang datuk lagi.

"Ahhhh..." Si baju hitam bersuara dengan wajah yang amat pucat.

Tanpa menunggu arahan dari datuk, saya terus mendekati si penyerang yang terbaring dengan keadaan terkangkang di bumi. Saya tatap wajahnya dan saya kira usianya sekitar 21-25 tahun. Air mukanya bersih macam orang bijak pandai.

Dari raut mukanya, saya menduga dalam tubuhnya mengalir darah kacukan Melayu-Cina. Gerak matanya membayangkan dirinya seorang yang berotak cerdas. Ada tokoh untuk menjadi pemimpin dan pendekar.

"Kenapa kamu serang aku? Aku tak buat apa-apa dengan kamu?" Suara datuk meninggi, tangan si baju hitam segera di kilas hingga keris di tanganya jatuh ke tanah.

"Cakap kenapa kamu serang aku?" Desak datuk.

"Ada orang yang suruh," katanya tercungap-cungap. Tangan yang dikilas segera datuk lepaskan. dan keris yang tersadai di bumi segera datuk ambil. Dengan tenang datuk menatap luk dan besi keris yang hulunya dibuat dari gading gajah dalam bentuk paruh burung lang (helang).

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now