Bab 150-Ditawan Dara Kubu

1.7K 33 0
                                    

Bot yang dinaiki makin rapat ke tebing, perjalanan nya seolah-olah menyusur bibir tebing. Kalau boleh, biar bot berjalan tanpa berhenti dimana-mana, saya merasa senang duduk berdua dan berdekatan dengan Nurul Hayat. Kehadirannya membuat saya lupa nama-nama gadis yang pernah mengetuk pintu hati kecil saya.

Menurut cerita Nurul Hayat, sebaik saja pemuda nakal yang dipanggil Unang itu mahu pulang kerumah untuk membawa hasil buruannya iaitu seekor kijang dara, dia tidak menemui jalan pulang. Tanda-tanda penunjuk pulang yang dibuat pada pokok semuanya hilang. Apa yang ditemuinya ialah denai yang dilalui oleh anak dara KUBU. Denai itu ditemuinya di mana-mana.

Di hujung denai dia ternampak anak dara KUBU berdiri dengan keadaan yang amat menghairahkan. Bahagian kemaluan ditutup dengan sehelai daun yang lebar, begitu juga dengan bahagian buah dada. Gadis KUBU nampak cukup cantik, tidak selekeh seperti yang dilihat pada sebelah pagi.

Setiap denai yang terbentang di depan mengeluarkan bau yang cukup harum. Gadis KUBU menggamit Unang. Tanpa membuang masa Unang terus memburu si gadis hingga sampai ke kawasan perkampungan orang KUBU. Hasil buruannya terus dibuang.

Sebaik saja memasuki ke kawasan perkampungan, Unang mendapati gadis KUBU duduk di atas pelantar kecil yang dibuat dari buluh kuning. Pelantar itu diletakkan di atas tanah lapang yang dikelilingi dengan garisan bulat. Garisan bulat itu tidak bersambung, bahagian garisan yang terputus diletakan ketul batu sungai yang diletakkan bertindih.

Di situ juga dibakar sejenis sabut yang dihasilkan dari pokok hutan. Sabut yang dibakar mengeluarkan asap nipis. Terdapat lima garisan yang terputus tetapi garisan yang di depan gadis saja yang sabutnya dibakar.

Tidak jauh dari garisan bulat, arah sebelah kanan terdapat seorang tua yang hanya memakai cawat duduk bersila diatas batu. Tangan kanannya memegang kayu bercabang dua. Rambut putihnya menutup sebahagian dari bahagian belakangnya. Mulut orang itu berkumat kamit membaca mantera. Setiap kali mentera selesai dibaca dia terus menghembus kearah Unang.

Sebaik sahaja Unang melangkah dan berada dalam garisan, dia terus membuka baju dan seluar dipakai. Unang terpaku di situ dalam keadaan bogel. Gadis KUBU melompat dari pelantar lalu membalut tubuh Unang dengan kulit kayu. Unang benar-benar berada dalam dunia orang KUBU. Dia lupa dengan dunia luar.

Dalam beberapa detik orang-orang KUBU, sama ada lelaki dan perempuan terus mengerumuni Unang. Lelaki tua yang duduk di atas batu terus bangun dan mengistiharkan Unang dan gadis KUBU menjadi pasangan suami isteri. Lama kelamaan Unang lupa pada bahasanya sendiri, makan pakai, bercakap dan patuh dengan pantang danpetua orang KUBU.

TUTUR

Sejak itu Unang tidak pulang-pulang ke kampungnya. Ada orang yang terserempak dengan Unang tetapi, dia tidak bertutur dalam bahasa sendiri kecuali dan bahasa KUBU. Biasanya Unang selalu mengelakkan diri dari bertemu denagan orang kampungnya.

"Itulah kisah Unang yang menyayat perasaan, kamu harus hati-hati, bila melihat keadaan orang yang aneh berkeliaran di jalanan, kamu harus mengunci mulut."

Sebaik saja selesai mendengar cerita dari Nurul Hayat, saya anggukkan kepala dan berazam mahu mematuhi cakapnya. Saya tak mahu kisah Unang terjadi pada saya.

"Aku ingat pesan kamu," kata saya."

"Bagus, aku tak mau kamu jadi korban kerana kelancangan mulut sendiri."

"Benarkah Hayat?" tanya saya gementar."

"Iya," jawapnya lembut.

Perasaan saya gementar, ada sesuatu yang beralun dan berombak dalam hati nurani saya, hati nurani seorang muda yang sedang memburu sesuatu yang indah dalam alam ini. Kata-kata yang lahir dari mulut Hayat mengambarkan ada sebuah janji dan harapan yang ditumpahkan oleh Nurul Hayat kepada saya.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Onde histórias criam vida. Descubra agora