Bab 148-Membuang Ancak

1.6K 35 1
                                    

Kononnya ada nelayan sungai yang memancing waktu malam terserempak dengan jembalang sungai menjilat dalam tulang-tulang dan memakan bunga yang terdapat dalam ancak di kawasan lubuk. Mereka melihat jembalang itu timbul di permukaan sungai dengan badan sebesar kerbau, mempunyai belalai macam gajah , kepalanya macam kepala sotong dan bermata satu yang memancarkan cahaya macam bara api menerangi keseluruhan bahagian lubuk. Sebahagian dari kulitnya mengerutu dan sebahagian lagi bersisik tenggiling.

Dari hujung belalai terkeluar lidah yang cukup panjang berwarna kehijau-hijauan. Dari bawah lidahnya menitik air liur yang menyerupai buih sabun. Lidah yang panjang itu terus menjilat-jilat tulang hinga nipis.

Masa jembalang sungai itu menjilat tulang, udang dan ikan berlompatan bagaikan bermain-main di sisinya yang jumlahnya cukup banyak. Semua ikan, udang dan ketam besar-besar belaka. Buaya pun menimbulkan badan seolah-olah menjaga keselamatan diri jembalang sungai. Air sungai segera berombak dan melimpah ke atas tebing.

Bila semua tulang dijilat, bunga dimakan, jembalang sungai terus mengibas-ngibas belalainya ke tepi sungai. Pokok dan tumbuhan yang kena libasan belalainya tunduk ke bumi. Sebelum menghilang diri dalam perut sungai si jembalang berpusing-pusing di lubuk menghempas-hempaskan badan di permukaan sungai hingga melahirkan gelombang yang besar mengkarakan kiri kanan tebing sungai.

"Begitulah ceritanya, entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri pun tak tahu. Saya juga tidak berhajat untuk menyiasatnya. Buat apa cari penyakit," kata Fuad Hassan denga nada suara yang melucukan. Datuk dan saya tersenyum panjang.

"Sekarang, semuanya sudah terang. Kamu sendiri dah dengar cerita dari Pak Cik Fuad. Lain kali, kalau tengok benda-benda ganjil, janganlah gatal tangan pergi mengusiknya," ungkapan itu datuk tujukan kepada saya.

"Betul apa yang datuk kamu cakapkan tu, Tamar," Fuad Hassan mencelah. Saya terdiam menelan air liur.

LANCAR

Bot terus membelah arus Sungai Batanghari tetapi, tidak selancar tadi. Barangkali, demi keselamatan perahu-perahu kecil milik orang kampung yang berada di dada sungai menyebabkan Nurul Hayat memperlahankan laju bot yang dikendalikannya.

Sampan yang dinaiki oleh pemancing nampak terumbang-ambing di sungai, dilambung oleh alun hasil dari gerakan bot yang kami naiki. Saya makin terhibur melihat pokok kelapa dan pepohon bacang yang sedang berbunga di sepanjang perkampungan di kiri kanan tebing.

"Pelik," kata saya.

"Apa yang peliknya, Tamar?" Sahut Fuad Hassan yang mendengar keluhan saya.

"Siapalah yang buat kerja syirik, jamu hantu jembalang, hanyut ancak di sungai," saya hadapkan pertanyaan itu kepada Fuad Hassan. Saya kira, dia wajar menjawapnya kerana dia tahu selok-belok, perangai dan budi bicara, adat dan pantang larang orang-orang yang mendiami perkampungan di sepanjang Sungai Batanghari.

Fuad Hassan ketawa kecil, dia menepuk bahu saya beberapa kali. Datuk hanya melihat saja gerak geri saya dan Fuad Hassan. Dengan tenang Fuad Hassan menarik dan melepaskan nafas. Dia merenung kearah tebing sebelah kiri. Saya masih menanti jawapan darinya.

"Hanyut ancak atau sesajian di sungai, sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk di sini, lebih-lebih lagi kalau terjadi kemalangan di sungai, mati lemas, sampan karam, ditangkap buaya atau kampung dilanda banjir. Penduduk yang terbabit terus mengadakan jamuan atau sesajian," begitu tenang Fuad Hassan memberi penjelasan. Di bawah hembusan angin sungai, saya anggukkan kepala. Datuk tidak memberikan sebarang komentar.

"Sepatutnya, perkara semacam tu tak patut terjadi. Bertentangan dengan agama," secara spontan terpancut ungkapan itu dari kedua belah bibir saya. Fuad Hassan tersenyum, saya tak tahu sama ada semua itu tanda gembira atau senyum mengejek.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 11 )(COMPLETE)Where stories live. Discover now