Exordium | Remaja Misteri

46 2 0
                                        


            ANGIN pantai bertiup membawa bayu malam bersama. Suasana malam yang tenang dan nyaman dirasai setelah beberapa lama kawasan tersebut dilanda ribut. Di dalam kegelapan malam, kelihatan kelibat dua tubuh duduk di pinggir pantai menikmati sinaran cahaya bulan yang telah sekian lama tidak kelihatan.

            Kedengaran tiupan seruling membawa irama merdu didengari seluruh penghuni pantai. Deruan ombak pantai, unggas berbunyi dan keheningan malam ibarat saling melengkapi ditemani alunan seruling tersebut.

            "Ah!"

            Terhenti seketika tiupan merdu seruling Eris tatkala melihat adiknya tersedar secara mengejut. Rasanya dia telah pasti Ilya sudah pun terlena semasa mendengar serulingnya sambil menikmati pemandangan pantai namun reaksinya sebentar tadi menimbulkan persoalan.

            "Mengapa Ilya? Ada sesuatu yang mengganggu?"

           Ilya yang muda lima tahun darinya seperti tersedar dari lamunan dan terus menggelengkan kepalanya. Dia kemudiannya senyap dan memandang Eris lama.

            "Perlukah kakak tahu tentang hal itu?"

            Ilya menyoal sendiri. Jelas seperti ada sesuatu yang hendak diluahkannya. Sesungguhnya, dia memerlukan seseorang yang mampu mendengar apa yang terbuku di dalam kotak fikirannya.

            Namun, dia juga bimbang jika apa yang bakal diperkatakannya nanti bakal mengundang kerisauan kakaknya pula.

            "Err, tiada apa. Ilya hanya terkejut dengan tiupan angin yang agak kuat tadi..."

            "Tiupan angin yang kuat..?"

            Eris mengulang kembali jawapan adiknya. Jawapan yang diberikan Ilya kedengaran janggal baginya. Jika sudah berada di pantai, pastinya angin akan bertiup membawa ombak!

            "Sudahlah, tak perlu hiraukan saya."

            Ilya menambah sambil menguntumkan senyum.

           "Teruskan sahaja meniup, Ilya suka dengar tiupan seruling kakak."

           Sememangnya Eris memiliki bakat dalam memainkan seruling. Sesiapa yang mendengar tiupannya yang merdu pasti akan terhenti untuk mencari gerangan si peniup.

           "He-he, terima kasih."

           Walaupun dia sudah biasa dengan pujian yang diberikan oleh ramai pihak kepadanya, dia tidak pernah bersikap riak. Setiap pujian adalah pendorong untuk dia memperbaiki kelemahan yang sedia ada.

            Suasana sunyi sebentar dengan berakhirnya perbualan mereka berdua. Ilya kembali termenung jauh melihat ke arah laut yang terbentang luas. Eris melihat keadaan sekeliling. Bayu malam yang nyaman ini cukup selesa, hilang kepenatannya bekerja di siang hari.

            Baru sahaja dia mahu meniup serulingnya kembali, matanya menangkap sesuatu.

            "...Apa itu?"

            Suaranya bernada tinggi ditujukan kepada Ilya.

            Ilya tersedar dari lamunannya dan terus memandang ke arah yang ditunjukkan kakaknya.

            Benar, kelihatan kelibat seseorang di gigi pantai dalam keadaan terbaring. Memberanikan diri, mereka menghampiri kelibat tersebut dalam kegelapan malam yang hanya diterangi bulan dan bintang.

            "...seorang Aurelia."

            Perkataan itu terluah dari mulut Eris. Di hadapan mereka berdua, terbaring seorang remaja lelaki yang tidak sedarkan diri. Pakaian dan bentuk tubuhnya jelas menunjukkan dia berbeza dengan mereka berdua.

RenestraeTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang