Aku berbaring malas di atas katil. Katil ke dua dari tingkap. Buku yang mengandungi teks khutbah jumaat dalam tulisan jawi aku baca, sebagai persediaan untuk menyampaikan demo khutbah pada perhimpunan pagi isnin di sekolah. Khutbah bertajuk 'Kewajipan Menunaikan Zakat' perlu aku sampaikan. Berkobar-kobar rasanya, buat kali pertama muncul di khalayak ketika perhimpunan pagi. Mungkin aku bakal menjadi tumpuan adik-adik cun tingkatan 3 yang baru bertukar persekolahan ke waktu pagi.
Muncul Fahmy, rakan sekelasku dari dewan makan setelah selesai menghadam hidangan tengahari. Dicapainya tudung tong sampah di depan dorm lalu diletakkan di atas pintu jeriji besi. Dibiarkannya sedikit terbuka agar dapat dilintasi oleh sekujur tubuh manusia yang keluar masuk dorm. Aku tertawa melihat keletah Fahmy. Sudah 2 tahun lamanya prank tudung tong sampah dan segala macam perkakas di atas pintu dorm ditinggalkan. Kali terakhir menjadi fenemona pada tahun 1996. Bermula pada suatu malam di Dorm E apabila umpan penyapu mengena dan baldi kosong menghempap kepala, permainan perangkap pintu tersebar ke seluruh aspura. Pernah sekali timbunan 20 pasang kasut menghempap kepala seorang pelajar tingkatan 5. Lupakan dulu sejarah perangkap pintu. Jika diceritakan satu persatu agak panjang perjalanannya.
Tudung tong sampah dibiarkan di atas pintu, menantikan mangsa yang bakal mengena. Fahmy memanjat katil atas. Memang sudah rutinnya tidur petang selepas pukul 2. Aku teruskan membaca. "Wala tattabiu hutua tish syaiton........" Pang!!!! Berdentum di depan pintu. "Pelaq sungguh! Sapa pekena aku?" Ham yang keberangan menggosok-gosokkan dahinya yang baru dihempap tudung tong sampah berwarna hijau. Aku dan Fahmy ketawa terbahak-bahak melihatkan Ham yang termakan umpan. Namun jauh di sudut hati Fahmy, pastinya bimbang ditimpa bala. Ham memang terkenal dengan solat hajatnya. Pantang dikenakan oleh rakan-rakan, dengan serta-merta dibentangkan sejadah di tengah dorm. Meminta pertolongan daripada tuhan. Bak kata ustaz, doa insan yang teraniaya akan termakbul. Dalam hati Ham tersimpan dendam yang sudah terpendam begitu lama. Sejak dari tahun 1995 apabila almarinya disembunyikan. Tahun 1996 tilam dan baju sekolahnya pula disembunyikan.
Namun Ham nyata sudah berubah. Dia tidak lagi bersolat hajat. Ham benar-benar mengejutkan aku. Dia adalah pelajar paling alim, budiman, jujur, ikhlas dan berakhlak mulia dalam kelasku. Tindakannya meletakkan kembali tudung tong sampah di atas pintu telah mencerminkan keperibadiannya yang sebenar. Mungkin dia sudah lali dibuli. Mungkin kerasukan jin tong sampah sudah meresapi diri. Sambil tersengih dia berlalu ke katilnya. Entah siapa pula yang bakal terkena. 1 jam telah pun berlalu. Masing-masing yang ada di dalam dorm semuanya membuta. Aku hampir melelapkan mata sambil teks khutbah yang sebelum itu di genggamanku entah di mana.
Tiba-tiba.........Assalamualaikum..........Suara merdu Kak Ton (Penyelia Asrama) kedengaran sayup. Begitu merdu alunan suara manjanya memberikan salam. Bait-bait salamnya begitu puitis. Bisa meruntun jiwa teruna yang sedang bergelora. Kak Ton sangat terkenal dalam kalangan pelajar aspura. Bertubuh montok dan bersuara manja, Kak Ton pastinya menjadi idaman jejaka, seandainya dia masih muda. Namun ketika itu Kak Ton sudah pun melangkaui 'Krisis Pertengahan Hidup' di usia 40an. Anak lelakinya juga pernah tinggal di asrama. Jadi tidak elok jika Kak Ton dijadikan inspirasi imaginasi berlebihan.
Belum sempat aku menyahut salam manja Kak Ton, Pangg!!!!! "Adoi!! Haram jadah!!!! Sapa yang buat ni Kak Ton mintak tak pass periksa." Sungguh tidak disangka, kepala Kak Ton dihempap tudung tong sampah hijau yang diletakkan oleh Ham, pelajar paling alim, budiman, jujur, ikhlas dan berakhlak mulia. Dipijaknya tudung tong sampah berkali-kali. Digoncangnya pintu jeriji besi. Kak Ton pula bagaikan dirasuk jin. Suara yang lembut menghulurkan salam bertukar ganas bermotifkan dendam. Aku yang pada mulanya ingin menjawab salam terpaksa berpura-pura tidur, melekap rapat kepala di bantal. Fahmy yang terjaga setelah dikejutkan dengan kata- kata kesat Kak Ton juga terpaksa berpura-pura. Bimbang nanti dituduh menjadi dalang. Ham yang dirasuk jin tong sampah pula tidur lena. Tidak diendahkan langsung Kak Ton yang sengsara. Buat pertama kali dia memasang umpan, ikan besar terus mengena. Aku bagaikan tidak percaya kata-kata kesat sebegitu keluar dari bibir mungil Kak Ton. Mana hilangnya perwatakan manja Kak Ton? Mana hilangnya liuk tubuh menggoda? Yang tinggal hanyalah jelmaan ibu tiri sinetron Indonesia.
Kak Ton yang bengang terus meninggalkan dorm. Hasratnya untuk mengutip yuran asrama dilupakan sama sekali. Aku, Fahmy dan beberapa rakan lain ketawa terbahak-bahak. Barulah Ham sedar dari tidurnya. Dia juga ketawa gembira. Walau Kak Ton pun dia tidak peduli asalkan umpannya mengena. Dua minggu selepas itu, berita sedih kami terima. Kak Ton bakal meninggalkan asrama dan berkhidmat di sekolah lain. Mungkinkah kerana tudung tong sampah Ham? Ia kekal menjadi tanda tanya. Tudung tong sampah hijau menjadi kenangan terakhir buat Kak Ton. Beliau akhirnya digantikan oleh penyelia asrama yang baru, yang aku kenali dengan panggilan Umie. Ketika era beliaulah tercetusnya 'Reformasi Nasi Tomato.'
Pemergian Kak Ton diraikan penuh gilang-gemilang. Ketika majlis perpisahan Kak Ton di dewan makan, aku yang diberikan tugas sebagai pengacara secara tidak sengaja tersasul berpantun. 'Hutang body Kak Ton dibawa ke mati.' Kak Ton yang duduk di sebelah terus berpaling padaku sambil menjeling manja. Begitu menggoda. Aku cuba membalas jelingannya namun terbantut pula dengan jelingan berpuaka pengetua, Puan Amra.
Berakhirnya era Kak Ton sebagai penyelia asrama. Jerat tong sampah juga tidak dimainkan lagi. Ham kekal sebagai rakan kelasku yang paling beriman. Namun keperibadiannya mula diragui semenjak kes tudung tong sampah hijau. Aku hanya mampu tersenyum mengenangkan begitu banyak kisah dan peristiwa. Kisah yang bermula pada tahun 1995 saat pertama kali aku menjejakkan kaki di asrama.
ŞİMDİ OKUDUĞUN
Sengal
MizahKorie berlari laju menuju ke Dorm B. Dicapainya tuala yang tersidai di hujung katil. Dibawa bersamanya baldi merah dan gayung yang dalamnya berisi sabun Popinjay berwarna hijau, lantas menuju ke bilik air. Laju seperti Gaban Korie mandi. Berdebar-de...
