500 Meter

173 7 2
                                    


Tersengih-sengih Adi membuka peranti navigasi pada telefon pintar. Dia klik Choose destination: Home. 

"Sekarang waktu puncak, orang keluar pejabat. Jadi, mari kita lihat, jalan pulang ke rumah warna biru, kuning, ataupun merah?" dia berkata kepada diri sendiri.

Laluan yang ditunjukkan berwarna kuning.

"Okey, taklah teruk sangat. Boleh gerak sekarang."

Transmisi gear ditukar ke huruf D, brek di sisi diturunkan. Pedal minyak dipijak, stereng digerakkan menghala keluar dari kawasan parkir.

Sambil memandu, Adi menyanyi-nyanyi lagu band K-Pop kegemaran, TWICE. Trafik yang bergerak sederhana membenarkan dia sesekali bergoyang mengikut koreografi kumpulan itu.

"Cheer up baby! Cheer up baby!"

Kemudian dia tergelak.

"Mati aku kalau budak-budak ofis tahu senior programmer mereka yang kacak ni layan K-Pop!"

Adi menjeling GPS. Lebih kurang 500 meter di hadapan, laluan kuning menjadi merah. Ada ikon baru muncul.

"Aduh ... kemalangan pula! Jem teruklah macam ini!"

Tiba-tiba, sebuah kereta kompak berwarna biru memotong laju antara kereta Adi dengan kereta di sebelah kanan! Hampir sahaja dia terpusingkan stereng jauh ke kiri, namun sempat memijak brek dan stereng ditarik semula. Kedengaran hon dibunyikan panjang oleh beberapa pemandu lain.

"Allah! Alhamdulillah, tak ada motor lalu. Kurang ajar punya kereta kompak! Sedang macam ini punya jem pun nak memotong. Kau fikir kau saja nak cepat balik? Mabuk!"

Adi menarik nafas panjang.

"Ah, sangka baiklah. Dia sakit perut nak tercirit agaknya." Dia ketawa mendengar lawak sendiri.

Menghampiri lokasi laluan merah. Kenderaan bergerak 20km/jam. Di hadapan, kenderaan-kenderaan di lorong kanan mula memberi lampu tanda untuk masuk ke lorong tengah, lorong Adi memandu. 

"Di sini rupanya. Tempat biasa."

Hampir lima belas minit trafik merangkak, barulah Adi melintasi kawasan kemalangan sebenar. Ada tiga kereta lain berhenti dan memasang lampu hazard. Ada yang membantu mengawal lalu lintas.

Seperti pemandu Malaysia lain, Adi juga mengurangkan kelajuan menjadi hampir 0km/jam.

Sebuah kereta kompak warna biru terbalik. Keempat-empat roda menghala ke langit. Kesemua cermin pecah. Badan kereta remuk teruk. Darah mengalir dari bawah kereta ke jalan raya.

"Teruk ni. Mati agaknya ni."

Adi menggeleng-geleng.

"Kereta kompak, selalu sangat kemalangan macam ini. Agaknya sebab ringan, jadi pemandunya suka pandu laju."

Beberapa orang dilihat berusaha membantu mengeluarkan pemandu yang masih berada di dalam kereta.

"Itulah, pandu lagi macam orang gila. Nak kasihan pun susah kalau begini."

Dia mengerling cermin sisi kanan, memandang kereta biru itu, sebelum menekan pedal minyak dan memandu dengan kelajuan biasa. Jalan kembali lancar. Di GPS pun sudah berwarna biru.

"Horei! Sudah tak jem lagi!"

Adi kembali menyanyi-nyanyi.

"I'm like T-T. Just like T-T."

Tiba-tiba, Adi terdiam. Wajahnya bertukar pucat! Manik-manik halus muncul pada dahinya. Dia menyalakan lampu isyarat ke kiri, perlahan-lahan menukar lorong, lalu memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Matanya bulat merenung skrin GPS. Tangan Adi menggeletar. Dadanya turun naik, laju!

"Kereta biru ...," dia menuding ke arah belakang, "... GPS kata ... kemalangan di depan ... tapi ...."

Adi menggenggam kuat stereng dengan kedua tangan. Nafas ditarik dalam, dan dihembus kuat. Berulang kali.

"Sekejap ... sekejap. Fikir logik. Fikir logik."

Dia mengurut-urut dahi. Matanya melilau.

"GPS beritahu, di depan jalan jem sebab ada kemalangan. Kemudian, kereta biru potong kereta aku. Sepuluh minit selepas itu, aku lalu di kawasan kemalangan. Yang kemalangan, kereta biru itu."

Pantas tangan kanan Adi memegang tengkuk!

"GPS ... GPS ni ... rosak ... ke?"

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 12, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

GPSWhere stories live. Discover now