Jangan Padam Rindu - Bab 12

2K 13 1
                                    


Dua tahun lalu.

APA TERJADI BILA KAMU CECAH UMUR 30-AN?

AMBOI…..sentap baca tajuk artikel ni! Terus Ellina mengeluh. Majalah yang diangkat tinggi itu tadi sudah diletakkan di atas riba. Ditatap saja artikel itu dengan lemah. Siapa tulis artikel ni?
Dalam artikel itu ada menyebutkan, kenapa usia tiga puluhan itu lebih hebat.
1. Berdasarkan kajian, wanita lebih rasa berkeyakinan bila usia mencecah 31 tahun. Bila rasa yakin, wanita akan rasa lebih cantik dan superstylish!
2. Wanita lebih bijak mengenai fesyen dan lebih teratur berbanding pada usia yang lain.
3. Wanita tidak moody seperti dulu disebabkan kestabilan emosi. Wanita lebih gembira menjalani kehidupan pada usia begini.
Okey, dia setuju dengan ketiga-tiga rumusan kajian itu. Bila kita yakin dengan diri kita sendiri, automatik kita akan rasa cantik dan superstylish tanpa pakaian yang hebat atau ternama. Kan ke orang selalu sebut, cantik itu datang dalam diri kita? Inner beauty!
Dan wanita yang berada di fasa ini memang kebanyakannya sudah stabil, baik dari segi karier dan juga kewangan. Bila karier dan kewangan sudah stabil, fesyen dan emosi akan berkembang dengan baiknya. Ada duit, boleh shopping, melancong atau boleh ke mana saja dengan gembira.
Tapi… ada juga yang tak bestnya! Yang tak bestnya, bila umur sudah mencapai tiga puluhan dan anda masih single!
Dia mencebik, semakin lemah dengan status diri. Masih sendiri, single! Bunyi ‘single’ tu macam best, maklumlah single. Bila single, kita boleh buat apa saja tanpa perlu merujuk atau minta izin daripada suami.
Dan yang tak bestnya tu… kita jadi tertekan disebabkan beberapa perkara. Contohnya, orang keliling asyik tanya, bila nak makan nasi minyak? Penat nak jawab. Makan ajelah kat kedai, apa susahnya? RM7.00 sepinggan aje kut?
Mak pula asyik membebel, sampai bila nak macam ni? Nak membujang sampai ke tua? Tak teringin ke nak hidup bahagia di samping suami dan anak-anak?
Alahai mak… kalau sudah ditakdirkan membujang sampai ke tua, apa boleh buat mak oi? Nak lawan takdir Allah? Mampu ke?
Tapi yang paling terasa hingga ke tulang sum-sum, bila nampak couple yang tengok wayang atau bershopping dengan mesra. Lagi-lagi kalau couple tu ada anak-anak yang sangat comel. Bahagia sungguh nampaknya!
Terasa macam nak tarik boyfriend atau suami dia orang tu! Tapi… takkanlah nak buat macam tu? Ada tak ada, tengok sajalah couple yang lovey-dovey tu dengan hati yang tersayat pedih.
Helo, aku pun ingin bahagia! Tak ada manusia yang mahu hidup sendiri dan kesepian.
Majalah diletakkan di atas meja. Kesian sungguh nasib orang yang single ni. Kan?
Serentak itu baru dia tersedar, ada seseorang yang duduk di hadapannya. Ellina mengangkat muka, memandang pada orang yang duduk itu. Dia menelan air liur, tak sangka ada orang yang duduk dalam diam dan memandangnya dengan bersahaja begitu. Dia tak tahu siapa orang itu dan tak sedar langsung bila orang itu datang, duduk di hadapannya. Entah berapa lama orang itu sudah ada di situ.
Dia dan orang itu, duduk di sofa yang saling mengadap. Kedudukan mereka hanya dipisahkan dengan meja kopi yang sederhana besar dan boleh nampak dengan jelas kalau wajah masing-masing punya cela dan kedutan.
Orang itu mula tersenyum. Sedikit saja tapi mampu menggoncangkan hati dan perasaan. Mampu buat mata yang memandang senyuman itu, terpanar. Dan dia, terkaku. Kejung ssatu badan kerana terpanar melihat senyuman itu dan seraut wajah yang… handsome?
Ya, sangat handsome dan cheeky! Yang paling dia suka, wajah itu bersih dari sebarang cela. Jambang nipis yang dibiarkan tumbuh itu kelihatannya seperti ditrim kemas setiap hari. Oh… dia tak tahu kalau di hadapannya ini memang seorang manusia atau apa.
Ellina menggigit bibir, betul-betul rasa semacam melihat ciptaan Tuhan yang sempurna itu. Apabila pandangannya bertaut pada sepasang mata yang mengecil dan merenungnya tanpa berkedip, dia jadi semakin nanar. Mata yang mengecil itu, mampu buat dia sesak nafas. Entah kenapalah dia perlu merasakan begini. Pelik!
“Age is just a number, why should you worry?” Tiba-tiba lelaki itu bersuara sambil mengerling pada majalah yang ada di atas meja kopi dengan ekor mata.
Dia turut sama mengalihkan pandangan, melirik pada majalah yang terbentang itu. Artikel yang dibacanya itu tadi terpampang dengan jelas. Patutlah lelaki itu boleh bercakap macam tu. Alamak!
Dia menghela nafas sambil cuba menyembunyikan rasa bengang. Kulit muka terasa panas bila lelaki itu selamba bercakap dengannya. Namun, dia tak dapat menolak yang dia sukakan suara yang kedengaran agak dalam dan husky itu. Suka suara saja ke? Orangnya, tak suka?
Ellina menggigit lagi bawah bibir sambil menahan perasaan yang mula rasa semacam. Tuhan, kenapa lelaki itu mampu menerbitkan bermacam rasa dalam dirinya?
Lelaki yang duduk bersandar, tangan bersilang di dada, kaki yang panjang diluruskan ke hadapan dan disilangkan dengan bersahaja itu, mula mengecilkan mata sekali lagi. Merenung dengan tajam seolah-olah, ada sesuatu yang tak kena.
Apa yang tak kena? Dia tak tahu apa yang tak kena. Tak tahu juga apa yang sedang lelaki itu fikirkan dan lihat padanya. Yang pasti, postur tubuh lelaki itu kelihatan sempurna biarpun hanya duduk bersandar malas begitu. Jujur, dia cemburu melihat orang itu boleh duduk dengan tenang sambil merenungnya begitu sedangkan dia sekarang terasa sangat canggung walaupun duduk dengan sopan.
Dari manalah datangnya makhluk Tuhan yang satu ini? Lelaki yang bersuara husky itu tak diketahui siapa, kelihatan sangat memikat tanpa berbuat apa-apa. Lagi-lagi bila terpandangkan kemeja putih lengan panjang yang butang di bahagian dada dibiarkan tidak berkancing dan terdedah. Hot!
Kulit pipi terasa hangat. Mana tidaknya, lelaki itu hot di matanya. Nak-nak rambut yang bercoklat gelap itu digayakan dengan sedikit messy di bahagian hadapan dan menutup dahi. Stylish!
“Do you enjoy watching me?”
Pipi terasa macam ditampar. Sentap habis jadinya! Walaupun suara husky yang bertanya itu kedengarannya lembut, tapi nada yang terlontar sangat jelas sedang menyindirnya. Ya ampun! Sungguh, dia tak sedar yang dia kelihatan ralit merenung lelaki itu.
Serentak itu dia bingkas, tidak berhasrat mahu terus duduk mengadap lelaki itu. Lebih baik dia menyertai teman-teman yang sedang leka berhibur. Majlis hari jadi yang diadakan secara tertutup dan bertempat di sebuah banglo mewah ini memang meriah habis. Dia saja yang lari ke sini tadi untuk bernafas setelah sesak berada di dalam kumpulan manusia.
Ketika melangkah, dia sempat menoleh sedikit untuk melihat lelaki yang masih duduk itu. Lelaki itu masih merenungnya dan dia seakan-akan terperangkap pada lelaki yang punya tarikan yang sangat kuat itu. Tak pernah dia jadi macam ni, galak merenung lelaki yang tak dikenali. Dia juga tak pernah rasa semacam seperti waktu ini. Matanya hanya melekat pada lelaki itu, yang masih turut merenungnya.
Apa yang terjadi ni? Why can’t I take my eyes off of you, huh?!
“Ellina!”
Dia terpaksa menoleh, mencari orang yang memanggil namanya. Saat terpandangkan Akma, dia sekadar tersenyum.
“Hish… mana sajalah kau pergi ni? Jomlah.” Bebel Akma.
Dia membiarkan Akma menariknya untuk mendekati teman-teman yang lain. Dia hanya menjadi pendengar di dalam kumpulan yang dia berada waktu ini. Teman-temannya begitu ceria bercerita tentang perkembangan diri masing-masing dan dia cuba mengikuti perbualan mereka namun, tumpuannya tidak ada di situ. Otaknya tak berhenti memikirkan lelaki tadi. Lelaki yang selamba merenungnya, yang bersahaja menyapanya dan berjaya memukau perhatiannya.
Apa nak jadi dengan kau ni, Elli! Aduhai….
Pandangan dikalihkan untuk kembali melirik ke tempat dia dan lelaki tadi bertemu. Lelaki tadi sudah tiada di situ! Dia mula memandang sekeliling dan tercari-cari bayang lelaki tadi namun, hampa. Dia menghela nafas berat dan tanpa disangka-sangka, matanya menangkap bayang seseorang.
Lelaki itu!
Lelaki itu tiba-tiba kelihatan di suatu ruang yang agak terpencil. Jantungnya terus berdegup diluar kebiasaan dan adrenalin meningkat secara tiba-tiba bila melihat lelaki itu juga sedang merenungnya. Oh, ada sesuatu tentang lelaki itu dan dia tak tahu apa.
Matanya bersatu dengan mata lelaki itu. Otak mula ‘terbius’ dan minda sedar sekali lagi gagal berfungsi. Lelaki itu benar-benar mengikat pandangannya. Dia menggigit bibir, terasa diri tak dapat diselamatkan lagi. Pasrah dalam dunia yang mengasyikkan.
Lelaki itu terus mengecilkan mata.
Dia tak dapat nak mengagak, apa yang sedang lelaki itu fikirkan sekarang. Atas alasan apa mata itu mengecil macam tu, sepertinya ada sesuatu yang mengganggu. Dan mata yang mengecil itu kelihatan memikat. Oh my!

- Rina Farizq -

**pertemuan pertama!!

Jangan Padam RinduWhere stories live. Discover now