Jangan Padam Rindu - Bab 7

2.1K 21 14
                                    

ELLINA duduk di atas pelamin kecil yang terletak di tengah-tengah ruang tamu kediaman. Dia semakin tak keruan bila dijadikan tatapan para tetamu yang hadir ke majlis pertunangannya itu. Sudah beberapa kali melarikan pandangan bila mata tuan haji singgah padanya.
Hari ini barulah dia nampak dengan jelas rupa tuan haji. Macam yang Akma kata, rupa tuan haji macam Liam Neeson, hero untuk filem Taken. Okay, not badlah. Rupa tu sepadanlah dengan usia dan dia pasti, lelaki itu pasti memikat pada usia muda kerana sekarang ini pun lelaki itu punya pesona yang tersendiri. Tapi tak adalah sampai dia rasa ‘tersyok’ pada tuan haji!
Dia menunduk, rimas bila mata tuan haji asyik terarah padanya sambil tersenyum meleret. Oh… dia rasa mahu menjerit waktu ini. Sungguh, dia rasa terseksa berada dalam majlis yang tak pernah dia inginkan bersama seseorang seperti tuan haji. Walaupun tuan haji segak berbaju Melayu warna pink, hatinya tetap rasa tak senang. Dia cuba fokus dengan mendengarkan perbincangan yang sedang berlangsung di antara kedua-dua belah pihak.
“Pihak lelaki juga ingin menghadiahkan kepada Ellina Binti Hashim, RM150,000.00 sebagai hadiah perkahwinan.”
Serentak itu, suasana jadi sunyi serta-merta. Masing-masing terkejut mendengarkan ayat yang diucapkan oleh wakil pihak lelaki.
Ellina pula terkedu dan jantungnya seakan berhenti berdegup untuk seketika. Dia tak sangka, tuan haji sanggup memenuhi permintaannya. Bukan RM100,000.00, tapi RM150,000.00. Lebih RM50,000.00!
Lalu dia menoleh ke sisi, memandang wajah ibunya yang kelihatan tenang. Ibunya sampaikan kepada tuan haji tentang syaratnya? RM100,000.00 itu adalah syarat untuk meneruskan pertunangan dan perkahwinan mereka.
Ibunya menoleh dan tersenyum padanya. Dia dapat rasakan yang ibunya sedang memberitahu, itu yang Elli mahukan. Kan?
Ya Allah! Dia tak sangka yang ibunya betul-betul sampaikan syaratnya itu kepada tuan haji. Dan lebih tak sangka tu, tuan haji sanggup memenuhi syaratnya. Tuan haji ni dah kemaruk sangat dengannya ke sanggup penuhi syarat gilanya tu? Sanggup kahwin dengan perempuan mata duitan sepertinya. Dia memejamkan mata. Perempuan mata duitan.
“Jangan salah faham. Ini bukan wang hantaran. Pihak perempuan tak minta wang hantaran langsung. Hantaran yang diminta oleh pihak perempuan adalah senaskah al-Quran yang telah dikhatamkan sendiri oleh bakal pengantin lelaki. Akan tetapi, wang yang berjumlah RM150,000.00 itu diberikan sebagai hadiah perkahwinan oleh bakal pengantin lelaki dengan ikhlas. Diulangi ya… hadiah perkahwinan. Bukannya wang hantaran.”
Penjelasan pihak lelaki itu buat tetamu yang hadir mula berbisik sesama sendiri.
Ellina sendiri sudah sangat bengang dan malu. Dia tahu sangat dengan lirikan mata pandangan mereka yang memandangnya saat ini. Ingin saja dia bersuara agar pihak lelaki menarik semula pemberian itu namun, bibirnya kaku apabila ibunya menyentuh jari-jemarinya dengan lembut. Erat dan hangat. Dia tahu, ibunya sedang memberi kekuatan buatnya.
Ini yang kau nak kan, Elli? Sekarang, hadapilah dengan tabah! Kata keji dan umpatan orang akan bermula detik ini. Walaupun pihak lelaki menegaskan yang pemberian itu sebagai hadiah, orang kampung tetap akan mengatakan pihak perempuan mata duitan. Pihak perempuan menjual diri.
Dia menundukkan kepala. Hati tersayat hiba. Dia bukan bersedih untuk dirinya tapi dia dapat membayangkan ibunya akan terluka dengan kata cela orang kampung. Nama baik ibunya akan tercemar kerana permintaannya yang tak masuk akal tu. Permintaan yang dibuat berlandaskan amarah sudah memakan diri. Rasakan! Sekarang dia terpaksa hadapinya dengan cekal. Ibu, maafkan Elli.
Perbincangan di antara kedua-dua belah pihak telah berakhir dan sekarang upacara menyarungkan cincin pertunangan.
Tiada lagi debar yang Ellina rasakan memandangkan dia sudah cukup terkesan dengan ‘pemberian gila’ pihak lelaki tadi. Dia hanya menurut saja arahan ibunya agar menghulurkan tangan sebaik seorang wanita yang anggun dan manis berbaju kurung pink yang mula mengambil tempat di sisinya. Siapa wanita itu, dia tak ambil peduli. Otaknya sudah tak mampu memikirkan apa-apa.
Dia hanya memandang kosong cincin berlian di jari manisnya. Rekaan cincin itu ringkas. Hanya terdapat sebutir berlian yang bersinar indah. Namun, hatinya masih tetap hiba biarpun cincin itu menyerlah di jari manisnya.
Dia mengetap bibir rapat-rapat. Hati berbuku rasa marah. Marahkan tuan haji. Marahkan dirinya sendiri. Marah dengan apa yang berlaku.
“Mana tunangnya ni? Marilah bergambar sama.”
Ellina mendongak apabila terdengar satu suara yang menyuruh tuan haji untuk bergambar dengannya. Dia mula tak sedap hati. Perlu ke? Bertunang aje, kut? Tak payahlah nak bergambar sama.
“Ini dia orangnya. Macam pinang dibelah dua! Sama cantik, sama padan.”
Dia mengerutkan dahi bila terdengar ayat itu. Matanya melirik pada tuan haji yang tersenyum senang. Dia dan tuan haji dikatakan sepadan? Uh! Buta ke orang yang memberi komen itu tadi? Bagai pinang di belah dua? Sama cantik, sama padan? Bukan mereka macam pinang terlenyek dek jentolak ke?
Ellina melarikan pandangan. Tak sanggup direnung oleh tuan haji dan serentak itu matanya terpaku pada seseorang yang sedang melangkah menuju ke arahnya.
Orang itu!
Kenapa orang itu ada di sini? Apa kena-mengena orang itu dengan majlis pertunangannya? Dia terkebil-kebil melihat orang itu dengan dada yang makin mengetat. Rasa macam nak pengsan!
Kenapa ujian demi ujian datang padanya? Mula-mula tuan haji dan sekarang… orang itu? Ya Allah! Berikanlah dia kekuatan. Berikan dia keberanian. Dia cuba cekalkan diri dan mata tetap saja terhala pada orang yang melangkah dengan sopan sambil tersenyum padanya itu.
Dia menelan air liur, mula perasan tentang sesuatu. Orang itu lengkap berbaju Melayu sedondon dengannya, dusty pink. Dusty pink? Segera dia berkalih, melihat tuan haji yang mengenakan baju Melayu pink terang. Eh! Kenapa dia tak sedondon dengan tuan haji? Kenapa dia dan orang yang sedang melangkah padanya itu pula boleh sama-sama mengenakan warna yang sama? Apa semua ni?!
Dia sangat-sangat tak sedap hati! Lantas matanya dipejamkan, mahu bertenang dan mencari kekuatan diri. Dia berharap sangat yang dia takkan rebah di hadapan orang ramai. Kalau tidak, bertambah spekulasi. Sukalah nanti Mak Cik Hasnah menjaja cerita.
“Assalamualaikum, El… lina.”
Jantungnya bagai direntap dengan kasar. Orang itu menyebut namanya seperti dulu, memisahkan nama itu menjadi dua sebutan. Suara mendalam dan husky itu masih mampu menggetarkan hatinya. Oh….
Lalu dia membuka mata, mengangkat sedikit wajahnya dan memandang pada lelaki yang berdiri tegak di hadapannya itu. Dia merenung lelaki itu sambil menggigit hujung bibirnya. Geram!
Lelaki itu terus mengecilkan mata.
Dan… dia terlupa yang lelaki itu sangat terganggu bila dia menggigit bibir.

*****


TANGAN yang masih menggigil itu digenggam dengan erat. Sejak tadi, Ellina tak mampu meredakan perasaannya. Sesaat pun hatinya tak bisa tenteram apatah lagi nak merasa senang. Biarpun semua yang datang mengucapkan kata tahniah dan dia sekadar membalasnya dengan senyuman manis, hatinya tetap gelisah. Resah. Galau.
Apa yang berlaku ini bagaikan sebuah mimpi. Segalanya berlaku tanpa jangkaannya. Kenapa dia diuji sebegini? Kenapa dia harus bertemu semula dengan lelaki itu? Kenapa dia boleh tak tahu yang lelaki itu wujud dan berada di sini selama ini? Kenapa dan kenapa? Dia ke yang salah? Atau dia yang bodoh?
Kau memang bodoh, Elli! Kenapa kau tak selidik siapa tuan haji yang sebenarnya?
Disebabkan rasa benci, dia buat tak tahu tentang tuan haji. Sekarang baru dia tahu yang lamaran tuan haji itu untuk anaknya. Anaknya! Dan dia tak pernah pun terfikir akan alasan itu!
Oh… patutlah orang itu hanya berinteraksi dengannya melalui pesanan. Agaknya orang itu tak mahu dia tahu siapa sebenarnya ‘tuan haji’. Aduh! Dia dipermainkan! Dengan mudah, dipermainkan. Berkali-kali.
“El… lina.”
Dia mengalihkan pandangan, tak mahu bertentang mata dengan lelaki yang sudah sah menjadi tunangannya itu. Dia bencikan lelaki itu. Sangat benci!
“I’m really sorry. Saya tahu, kata-kata maaf saya tak memberi apa-apa erti pada awak tapi saya dengan rendah diri, seikhlas hati nak memohon maaf atas semua kesalahan saya. Saya menyesal dengan apa yang terjadi dulu. Saya sangat kesal sebab dah melepaskan awak.”
Dia rasa macam nak hempuk kepala anak tuan haji itu dengan kerusi plastik yang ada di sini. Dia bencikan lelaki itu. Dia bencikan haruman yang menusuk masuk ke hidungnya.
Haruman yang lelaki itu pakai masih sama seperti dahulu. Bau yang keras tapi memikat, melambangkan lelaki sejati. Dan haruman jenis itulah yang pernah dia berikan kepada lelaki itu kerana dia sukakan lelaki maskulin yang nampak tegas dan berpendirian. Lelaki yang boleh memberi perlindungan dan ketenangan.
Namun, dia silap menilai. Lelaki itu tak seperti apa yang dia bayangkan. Lelaki itu tak pernah menempatkannya dalam ruang lingkup masa hadapan lelaki itu. Dalam erti kata yang lain, lelaki itu tak berniat mahu ada ikatan yang lebih serius dan sah. Lelaki itu tak mahukan komitmen. Lelaki itu juga tak percayakan perkahwinan. Jadi sekarang, kenapa lelaki itu mahu berkahwin dengannya?
“El… lina.”
“Stop calling my name.”
Hatinya sakit! Sangat sakit. Kenapa dia harus disakiti sekali lagi?
“Then, what should I call you? Princess, like before?”
Princess? Dia memandang tepat ke muka lelaki itu dengan rasa benci. Tahukah lelaki itu yang dia bencikan panggilan itu? Dia bencikan sejarah silam yang terlakar buruk dalam hidupnya. Malah, dia tak rela mengulang semula sejarah itu. Tapi sekarang, lelaki itu mengembalikan semula sejarah yang buruk itu. Mengembalikan dirinya ke dunia yang dia tak ingin jejaki semula itu.
“Saya benci awak!” Ucapnya dengan keras.
“El….”
Panggilan pendek itu buat dia mengalihkan pandangan. Hanya lelaki itu yang akan menyebut namanya menjadi El… lina dan El.
Lelaki yang dibencinya itu berjaya mencipta rasa yang istimewa.
“Saya sangat bencikan awak!”
Sekali lagi dia menegaskan dengan perasaan yang ditahan-tahan sambil menjeling tajam ke dalam mata coklat milik lelaki di sisinya itu. Sungguh, dia bencikan lelaki itu. Tapi, kenapa ada perasaan lain menyelinap masuk ke dalam hatinya? Lelaki itu mengembalikan perasaan benci yang tersemat kemas di dalam hati.

- Rina Farizq -

**benar-benar bencikah Ellina?

Jangan Padam RinduWhere stories live. Discover now