Jangan Padam Rindu - Bab 1

4.6K 36 0
                                    


“HAH? Kahwin?!”
“Ish….yang terperanjat sangat ni, kenapa? Kan ibu dah cakap hari tu.”
“Yalah, ibu memang ada cakap tapi ibu tak cakap yang Elli mesti kahwin dengan dia!” bentaknya perlahan, hati mula resah. Tak senang!
“Habis tu, tak nak kahwin ke ni?”
“Tak nak,” sahutnya dengan pantas sambil mencebik.
“Hah? Tak nak?!” Melengking suara Fatimah apabila mendengarkan jawapan spontan anaknya itu.
“Errr…..”
“Apa errr... errr? Betul-betul tak nak kahwin ke ni?” Suara Fatimah makin keras, malah anak perempuannya itu sudah direnung dengan tajam.
Ellina menggaru kepala. Cuak dengan renungan ibunya itu. Dia tak berniat pun nak buat ibunya marah. Apa lagi nak buat ibu bermuka ketat macam cikgu displin.
“Elli tak sedia lagi la.”
“Tak sedia? Habis tu, bila masanya nak bersedia?”
“Hmmm….tengoklah, lagi dua atau tiga tahun lagi ke?” jawab Ellina perlahan, takut-takut sambil mengerling pada ibunya yang masih tayang muka garang.
Ibu kalau dah buat muka macam tu, memang kecut perut dia dibuatnya. Baik-baik tak ada masalah sembelit, terus membekubahan tinja dalam perut. Frozen satu badan!
“Dua atau tiga tahun lagi? Kenapa? Elli ada tunggu sesiapa ke?”
“Eh… tak adalah. Mana ada tunggu sesiapa.”
“Habis tu?”
“Errr….. Elli nak mantapkan diri dulu. Nak jadi isteri ni, bukannya mudah. Bukan sekadar layan suami atas katil. Bukan semata nak sediakan makan, pakai aje…..” jawabnya perlahan sambil menggigit bibir dan mengintai reaksi ibu. Agak-agak boleh pakai tak alasannya itu?
Fatimah mengetap bibir rapat-rapat dan merenung Ellina dengan lebih tajam. Dia yakin, itu hanya alasan Elli! Bukan dia tak tahu perangai anaknya itu. Macamlah ini kali pertama Ellina dirisik orang.
Ellina menelan air liur. Ibunya macam tak percaya saja dengan alasannya? Kena mantapkan lagi alasan tu, biar bernas dan padat! Okay, here we go…..
“Perkahwinan tu penyatuan dua hati. Menyatukan dua jenis manusia yang berlainan jantina, cara hidup dan pemikiran. Oleh sebab itu, pasangan yang nak berkahwin ni perlu memahami pasangan mereka. Perlu belajar memantapkan diri sebelum menerima orang baru dalam hidup mereka. Kena bersedia dari segi fikizal dan juga mental kerana perkahwinan tu bukannya untuk sehari dua. Kalau boleh, biarlah sampai ke akhir hayat. Elli sendiri banyak kekurangan. Ilmu agama pun tak sebanyak mana. Elli…”
“Cukup! Jangan nak berhujah atau buat esei tentang alasan tak nak kahwin. Ibu tak nak dengar!”
Ellina terus menjatuhkan pandangan ke lantai. Habis sudah pembentangannya dicaras dengan sekali nafas dari ibu. Terus dia kalah! Hilang keyakinan.
Apabila suasana bertukar sepi dan suara ibunya pun dah tak kedengaran lagi, perlahan-lahan Ellina mengangkat muka. Dia terkejut melihat ibunya memandang dia semacam, naik seram jadinya. “Ke… kenapa ibu pandang macam tu?”
“Kenapa ibu rasa, Elli macam tengah berbohong?”
Ellina menelan air liur. Takut! Ibunya macam sengaja nak buat dia rasa begini agaknya. Sungguh dia tak suka. Rasa bersalah mula menyelubungi diri. Ya Allah, berikan aku kekuatan!
“Bohong? Ma… mana ada? Bohong pasal apa pula?”
Fatimah memerhatikan reaksi anaknya yang mula nampak kalut. Dia yakin ada sesuatu yang Ellina sorokkan darinya. Sebagai ibu yang mengandungkan dan melahirkan Ellina, dia kenal benar dengan anak perempuannya itu. Ellina tak kan berjaya membohonginya.
“Ini ibu, Elli. Ibu tahu bila masa Elli berbohong. Tengok muka Elli tu, nampak sangat ada sesuatu. Apa yang Elli sorokkan dari ibu?” duganya.
Ellina melarikan pandangan, tak sanggup nak bertentang mata dengan ibunya. Dia cuba bertenang. Nafas ditarik dalam-dalam dan dihembuskan dengan perlahan. Dia tak mahu kelihatan kalut lagi di depan ibunya. Dia sedar, ibu tak mudah dibohongi jadi, dia perlu bertenang sehabis baik. Bukan mudah nak mengadap pengetua pencen ni.
“Elli dah ada boyfriend ke?”
Terus Ellina menatap wajah ibunya yang semakin nampak curiga. “Eh! Mana ada… Elli tak ada boyfriend. Ibu sendiri tahu, kan? Elli tak ada sesiapa pun. Kalau ada, dah lama Elli ajak dia kahwin. Tak adalah Elli macam single walaupun umur da masuk tiga puluh tiga tahun.”
Okey, kali ni dia beri jawapan yang jujur. Bukan jawapan nak buat ibu percaya. Kalau betul dia ada boyfriend, dah lama disuruhnya masuk meminang. Senang cerita, tak payah nak bersusah hati macam ni. Dahlah asyik kena risik, kahwinnya tak. Alahai, sedih nak cerita!
“Okey… kalau Elli kata macam tu.”
Ellina menghela nafas lega. Ibunya percaya! Dia cuba untuk tersenyum walaupun senyumannya tak semanis biasa. Tapi tak apalah, yang penting dia tersenyum. Biar ibunya tahu, dia tak rasa apa-apa dengan jerat ibunya yang mahu menduganya. Macamlah dia tak kenal dengan ibunya, suka sangat psiko dirinya. Tertekan sungguh!
“Minggu depan, Elli bertunang!” putus Fatimah secara tiba-tiba.
“Oh, bertunang…” sahut Ellina perlahan namun selepas itu terkedu seketika sebelum terjerit perlahan. “Ap…apa? Bertunang?”
Betul ke apa yang dia dengar ni?
“Elli akan bertunang minggu depan. Kan Elli tak ada boyfriend? Tak ada sesiapa? Jadi… tentu tak salah dan tak ada halangan untuk terima lamaran tu. Lainlah kalau Elli dah ada boyfriend, ada sesiapa.”
Ellina terpinga-pinga. Bertunang?
“Oh ya, ibu nak cakap sikit. Tentang persediaan nak mendirikan perkahwinan.”
Ellina yang masih terpinga-pinga hanya mampu menelan air liur dan mendengar saja kata-kata ibunya.
“Perkahwinan ni, pembelajaran yang berterusan. Tak semestinya Elli hebat dengan segala macam persediaan, dah hebat nak melayari alam perkahwinan. Kita akan belajar dan jadi lebih baik setiap kali kita berdepan dengan masalah. Adatlah dalam perkahwinan kalau ada yang terkurang, itu sebabnya kita perlukan pasangan untuk membaiki dan melengkapkan kekurangan yang ada. Dengan toleransi dan kerjasama, barulah dapat menyatukan dua manusia yang berlainan jantina, cara hidup dan pemikiran. Dan ibu percaya, insha-Allah… Elli akan bahagia dan akan jadi isteri yang baik berkat bimbingan suami nanti.”
Tu dia! Hujah Fatimah yang fabulous delicious! Sempat pula pulangkan semula ayat Ellina tadi. Sajalah tu nak buat Ellina terasa. Dan dia memang kalah kalau berdebat dan berhujah dengan ibunya. Maklumlah pengetua pencen!
“Elli…..” Panggil Fatimah dengan lembut. Satu cara untuk melembutkan hati si anak, buatlah drama sedih. Ellina pasti cair dan akan menurut. “Selama ni, pernah tak ibu bangkang kehendak Elli? Hmm?”
Ellina menggeleng, perlahan.
“Selama ni, ibu turutkan saja apa kemahuan Elli. Kan?”
Ellina mengangguk.
“Bila Elli nak jadi arkitek, ibu support Elli. Ibu doa setiap masa agar Elli berjaya. Elli tahu, kan tu?”
Ellina menggigit bibir, mata hanya terarah tepat ke wajah ibu.
“Dan bila Elli putuskan untuk berhenti kerja, jadi freelance... ibu tetap support Elli walaupun Elli tahu ibu kurang setuju. Right?”
Ellina mula menundukkan kepalanya. Apa yang ibu cakap semuanya benar. Sangat benar!
“Jadi, kenapa Elli tak sanggup nak tunaikan permintaan ibu kali ni?”
Dah agak! Dia akan kalah. Dia takkan dapat melawan ibunya kali ni kerana dia benar-benar kehilangan bicara. Dia pasrah! Dia tahu ini masanya untuk dia menurut permintaan ibunya itu.
Buat sementara waktu, Ellina tak ada pilihan lagi kecuali menurut walaupun hati menjerit-jerit kata tak mahu.
Aku tak nak kahwin! Tak nak kahwin dengan pilihan ibu, tuan haji yang tua kerepot tu!

TELEKUNG ditanggalkan dan dilipat kemas sebelum diletakkan di birai katil. Ellina menghela nafas panjang sebelum bergerak menuju ke tingkap. Langsir tebal yang dibiarkan terselak, ditarik dan dirapikan semula.
Untuk seketika, matanya tertancap ke hadapan. Sakit sungguh hatinya melihat banglo yang tersergam indah di hadapannya itu. Geram sungguh bila melihat kediaman mewah itu. Ikutkan hati, macam nak lancarkan peluru berpandu ke banglo tu.
Dia tak puas hati dengan tuan punya banglo tu. Sungguh-sungguh tak puas hati! Banglo itu sudah siap enam bulan yang lepas namun sampai sekarang, dia tak pernah nampak muka tuan rumah.
Okey, dia bukan sakit hati sebab tak nampak muka tuan rumah tapi dia sakit hati sebab tuan rumah tu pergi merisik dan melamar dirinya. Apa hal nak merisik dirinya? Kenapa tak merisik Mak Cik Peah yang duduk kat hujung kampung tu? Tak pun, Mak Cik Hasnah yang mulut macam burung murai tu? Atau, lamar sajalah ibunya. Kan ke lebih molek, lebih sepadan? Ibunya pun dah lama menjanda. Cantik sangatlah kalau berjodoh dengan tuan haji tu.
Tuan haji tu sah-sahlah dah tua. Rasa-rasanya, tuan haji tu sebaya kut dengan ibunya sedangkan dia, baru tiga puluh riga tahun. Aduhai… untungnya tuan haji tu ya dapat kahwin dengan perempuan muda sepertinya. Walaupun tak semuda belia remaja, dia tetap lebih muda daripada tuan haji! Tak ke patut dia gelar tuan haji tu, gatal dan tak sedar diri?
Kesian sungguh nasib dirinya, kena kahwin dengan tuan haji yang kerepot! Nama saja tuan haji, tapi gatal! Nak yang muda dan cantik. Dia mengeluh, geram. Tak sangka tuan haji ada hati nak kahwin dengannya. Seingatnya, sejak tuan haji tu datang ke kampung ini dan menetap di banglo depan rumahnya itu, mereka tak pernah berjumpa. Nak kata, terserempak atau berselisih pun tak pernah. Entah bila tuan haji tu perasan ada anak dara yang cun duduk depan rumah tah! Ke… tuan haji ada terdengar cerita daripada orang kampung tentang dirinya?
Anak dara Puan Fatimah, cun orangnya dan masih belum dimiliki sesiapa!
Alahai Cik Elli, sempat masuk bakul!
Dan dengar cerita, tuan haji yang gatal dan tak sedar diri tu sibuk benar orangnya. Macam-macam urusan, tu sebabnya keluar pagi pulang malam. Dia selalu juga mengintip di balik langsir. Nak tengok macam mana rupa tuan haji tu. Hmm… hampeh! Tak pernah dia dapat tengok muka tuan haji tu. Eksklusif sungguh!
Sampai sekarang, dia tak tahu macam mana rupa tuan haji tu. Entah macam siapa agaknya ek? Macam Dato Jalaludin Hassan ke? Atau… macam Ahmad Nisfu, pelakon sezaman Tan Sri P.Ramlee yang dah lama meninggal dunia tu?
Teringat ayat yang sinonim dengan Ahmad Nisfu.
Walaupun rupa mu tak ku kenal tetapi lubang hidungmu tetap menjadi po… jaan hatiku!
Ceh! Kalau macam Ahmad Nisfu, tak naklah. Nak panggil ‘abang’ bila dah kahwin nanti mau terus muntah hijau. Panggil atuk, bolehlah!
Eh… abang? Adui, geli-geleman sungguh!
Terus Ellina menggosok lengan sendiri. Sungguh dia tak boleh nak bayangkan yang dia akan bertunang dan berkahwin dengan tuan haji. Serentak itu dia menutup rapat langsir dan bergerak ke katil untuk tidur.

-Rina Farizq-

Jangan Padam RinduWhere stories live. Discover now