Jangan Padam Rindu - Bab 9

2.3K 23 5
                                    


“ASSALAMUALAIKUM.
“Hmmm….”
Fauzan tersenyum bila mendengarkan sahutan Ellina yang malas dihujung talian. Dia dapat membayangkan yang Ellina masih berada di atas katil dengan mata yang masih terpejam tapi terpaksa menjawab panggilannya yang berbunyi tanpa henti sejak setengah jam tadi.
“Still not a morning person, huh?” tanyanya sambil merenung tingkap bilik Ellina yang masih bertutup rapat.
“Hish….” Ellina mendengus di hujung talian.
“Bangun cik adik… subuh dah nak habis ni.”
“I’m sleepylah….”
Suara mengantuk yang sedikit serak itu buat dia melebarkan senyuman. Bunyi yang mencuit hati!
“Belum solat, kan? Bangunlah….” Dia memujuk sambil bergerak keluar dari bilik. Langkah dihayun untuk menuruni anak tangga.
“Hmmm….”
“Hmmm?”
“Hish, sibuklah!” herdik Ellina.
“Period, bukannya boleh solat. Menyibuk sungguh….” omel Ellina perlahan.
Entah Ellina sedar atau tidak tika mengomel begitu. Yang pasti, Fauzan sudah tersengih mendengarkan omelan itu.
Paginya jadi indah hari ini bila dia dapat mendengar sendiri suara itu setelah begitu lama menahan diri dan bersembunyi di balik ‘tuan haji’. Betapa dia sangat terseksa!
“Kenalah sibuk, saya tengah practice nak jadi suami terbaik untuk bakal isteri saya.”
“Hah?”
“Practice nak jadi suami yang terbaik untuk awak, sweetie!” ulangnya dengan sedikit kuat supaya Ellina yang mamai itu mendengar.
“Oh… shut up!”
Serentak itu talian terputus dan senyumannya makin panjang.
Ellina, Ellina….
Fauzan meletakkan telefon bimbit di atas meja konsol menuju ke muka pintu. Pintu utama dibuka dan terus saja dia menarik nafas panjang. Segar! Dia sukakan ‘rasa’ pagi yang segar seperti waktu ini. Tak salah dia membina kediaman di kampung ini. Kampung Ellina!
Dia bergerak menuju ke rak kasut dan mencapai kasut Nike berwarna hitam. Betapa leganya dia bila tak perlu lagi menyembunyikan diri dari pandangan sesiapa di kampung ini, terutamanya Ellina. Sekarang dia dapat bergerak dengan bebas dengan sesuka hati. Selama berada di sini, dia dah macam pencuri di rumah sendiri. Nak keluar dan balik rumah kena berhati-hati. Itu pun ikut pintu belakang! Kalau ikut pintu depan, harus pecah rahsianya.
Nasib baik Ellina menyangka dia dilamar oleh tuan haji. Untuk itu, dia telah meminjam tuan haji yang sebenar iaitu papanya sendiri untuk duduk sementara di kediamannya ini. Pada mulanya, dia tak berniat pun nak menyamar jadi tuan haji tapi bila Ellina sudah tersalah sangka, terus idea nak meneruskan penyamaran itu berlaku. Lagipun dia sedar Ellina tentu tak dapat menerima dirinya berbanding tuan haji.
Kasihan papa… jadi mangsa kebencian Ellina.
Dan tanpa Ellina ketahui, dia juga memiliki teropong untuk melihat Ellina. Tanpa teropong binokular yang mempunyai pembesaran 7x50 dan bidang pandang 100/1000mm, mana mungkin dia dapat melihat Ellina dari jarak yang jauh? Dapatlah dia melihat Ellina tersenyum ketika memandang ke dada langit. Begitu juga ketika Ellina sedang bersedih dan menangis. Betapa hatinya sangat terusik melihat Ellina bersedih dan menangis.
Stalker! Ya, sangat bersesuaian gelaran itu dengannya cuma dia tak mahu mengaku bila Ellina menuduhnya begitu.
Hud jaket ditarik menutupi kepala. Dia mula bergerak keluar dari perkarangan kediaman untuk berlari mengelilingi kampung sejauh yang boleh. Bosan juga bila asyik berlari di atas treadmill. Memang dah jadi habit memulakan hari dengan larian. Terasa lebih sihat, badan jadi cergas dan bertenaga.
Betapa dia gembira dapat berlari dalam suasana pagi yang sunyi dan mendamaikan sambil menikmati pemandangan kampung yang tak sama seperti di kota yang sibuk dan bingit dengan kesesakan lalu lintas. Kampung ini, tenang. Dia tenang berada di sini, dekat dengan Ellina.
“Assalamualaikum!”
Fauzan menoleh dan segera mendekati warung yang berada di tepi jalan. Lariannya ditamatkan di situ sebaik disapa oleh pemilik warung, Haji Osman. Haji Osmanlah orang yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tanah di hadapan kediaman Ellina. Dia sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan tanah itu.
“Waalaikumusalam. Apa khabar, haji?” soalnya setelah salam Haji Osman disambutnya.
“Baik. Lama tak nampak? Sihat kamu, Fauzan?”
“Alhamdullilah… sihat. Haji?”
“Sihat juga. Marilah minum dulu.”
“Tak apa haji, saya masih nak berjogging lagi ni.”
Haji Osman mengangguk perlahan. “Jadi ke kamu nak beli tanah yang kat hujung kampung tu pulak?”
“Jadi.”
“Baguslah sebab Mat Ali pun dah setuju nak jual. Katanya, daripada dibiar berhutan ada baiknya dijual pada orang yang mahu mengusahakannya. Kamu memang nak usahakan tanah tukan? Nak jadikan apa pula kali ni?”
Dia sekadar tersenyum, tidak mahu mendedahkan dahulu rancangannya. Nanti bila tanah tu dah rasmi menjadi miliknya, barulah dia akan maklumkan kepada Haji Osman.
Haji Osman yang sebaya dengan papanya itu, ditatap untuk seketika. Lelaki itu lebih sihat berbanding papanya. Lelaki itu juga, sangat prihatin dan banyak membantunya. Hanya lelaki itu yang mengenalinya di sini. Itu pun, dia suruh Haji Osman berjanji agar tak didedahkan identitinya. Dia tak mahu dikenali sebelum Ellina mengetahui siapa ‘tuan haji’ yang sebenarnya.
“Haji uruskanlah apa yang patut dulu pasal tanah tu. Nanti beritahu saya bila dah siap.”
“Yalah. Hmmm... betul kamu tak nak minum ni?”
“Lain kali, haji. Saya nak teruskan jogging.”
“Yalah… nanti bila-bila senang, datang dan minumlah kat sini. Untuk kamu, free.”
Dia mengangguk, segera menyalami Haji Osman. “Assalamualaikum.”
“Walaikumusalam.”
Dia meneruskan larian, mengelilingi kampung. Ketika lariannya sudah kembali semula ke kediamannya, dia ditegur oleh Fatimah yang ada di ruang laman.
“Mak cik…” sahutnya sambil mendekati wanita yang masih anggun. Mungkin beginilah rupa Ellina bila dah meningkat usia nanti.
Ellina dan ibunya, seiras. Sama manis dan menawan. Cuma, ibu Ellina nampak lebih tegas berbanding Ellina. Mungkin sebab ibu Ellina bekas pengetua.
“Dah breakfast?”
Fauzan tersenyum dan menggeleng perlahan sambil matanya sempat dilarikan ke atas, melihat bilik tidur Ellina. Ellina masih tidur?
“Tunggu sekejap, mak cik nak bagi mihun goreng.” Kata Fatimah yang berlalu masuk ke dalam kediaman.
Dia hanya menanti di ruang laman kediaman Fatimah. Kereta pink Ellina terparkir tidak jauh darinya. Dia mendekati kereta itu dengan senyuman.
Ellina dan pink, memang tak dapat dipisahkan!
Dia berpaling bila terdengar suara seseorang dari dalam kediaman. Lantas langkahnya bergerak menuju ke muka pintu.

Jangan Padam RinduWhere stories live. Discover now