040 | Alasan

8.6K 819 16
                                    

Kunjungan Wafiy ke Rumah Cahaya semestinya membawa seribu kejutan buat Hanum dan Aniq. Gadis itu bahkan seakan tak mampu mempercayai matanya sendiri saat Wafiy tersenyum lebar sambil melangkah masuk, membawa beg-beg kertas di tangannya bersama.

"Assalamualaikum," Wafiy tersenyum penuh ceria, menyembunyikan degup jantungnya yang tak tentu arah saat itu. Lepas saja dia tekan loceng Rumah Cahaya, terus dia menyesal. Apa yang perlu dia katakan kepada Hanum? Bahawa segala ini ialah kebetulan?

"Encik... Encik buat apa dekat sini?" Hanum bertanya setelah lama mereka berdiam. Aniq di sisinya juga seakannya masih belum mampu memproses akan kehadiran Wafiy di situ. Baru saja tadi mereka bertengkar kecil kerana lelaki itu!

"Oh, this," Wafiy mengangkat beg-beg kertas yang dipegangnya. Bila saja Mary mendapatkan maklumat tentang bilangan kanak-kanak yang tinggal di Rumah Cahaya, Wafiy terus saja ke pusat membeli-belah dan membeli mainan buat 13 orang kanak-kanak yang tinggal di situ.

Hanum dan Aniq masih memandang lelaki itu dengan penuh kehairanan.

"Itulah, tak sangka, kan? Kecil betul dunia, boleh jumpa kau dekat sini pula. Sebenarnya, aku ada hantar e-mel dekat sini, pasal nak derma?" Wafiy cuba melihat reaksi Hanum saat dia menyebut tentang e-mel. Jika Hanum yang membaca e-mel itu, pasti wajah Hanum berubah. Namun, biasa saja dilihatnya.

"Oh, Yayasan Najmina?" Wardah yang dari tadi memandang dari belakang, datang menyampuk. Wafiy mengalihkan pandangan kepada gadis manis bertudung hitam itu.

"Ya, yang itulah. Dah baca ke e-mel saya?" Wafiy bertanya lagi. Mungkin e-melnya dibaca oleh gadis itu? Kalau betul, dia perlu mencari jalan agar gadis itu tidak memberitahu Hanum tentang isi e-mel itu.

"Belum, encik. Maaflah, kami agak busy sebab pengasas Rumah Cahaya sakit sejak seminggu lepas, cuma sekarang baru okey. Jadi, encik datang ni, sebab?" Wardah melangkah ke sisi Hanum, menjadi wakil bersoal jawab dengan Wafiy memandangkan Aniq dan Hanum seakannya sudah kehilangan suara.

"Er, saya nak bagi sedikit sumbangan," Wafiy berkata, mengunjuk pada beg-beg kertas yang dibawanya. Lega hatinya bila e-melnya masih belum dibaca.

"Kalau macam tu, masuklah dulu encik. Biar saya sediakan minum sekejap," Wardah terus saja menjemput Wafiy yang sedari tadi tercegat di hadapan pintu utama Rumah Cahaya. Aniq dan Hanum pula masih sama, dah macam patung cendana pandang Wafiy!

"Okey," Wafiy senyum kemudian melangkah ke arah ruang tamu rumah itu.

Ya, Aniq dan Hanum masih terkaku, kemudian pandang sesama sendiri. Dunia ni sememangnya gila!

***

"Datin," pembantu rumahnya datang menegur saat Datin Raiha sedang berehat di tepi kolam renang di sisi banglonya. Datin Raiha hanya berpaling memandang wanita di usia 40-an itu tanpa bersuara.

"Ini, saya jumpa album lama ni dalam almari masa simpan bilik Datin. Datin nak simpan lagi ke?" Pembantu rumah itu mendekat dan mengunjukkan album itu kepada bosnya.

Tanpa suara, Datin Raiha mencapai album usang itu yang sudah dia lupa kewujudannya.

"Pergilah sambung, biar saya tengok-tengok dulu," maklumnya kepada pembantu rumahnya itu. Wanita itu hanya mengangguk kemudian berlalu. Album lama yang sangat lusuh yang kini sudah di tangannya itu dipandang lama.

Dia mula membelek album tersebut dan cukup saja untuk menjengah muka surat pertama, Datin Raiha sudah terkesima. Ianya merupakan album di waktu-waktu dia masih kecil dan ketika ibu bapanya masih hidup. Pelbagai gambar hitam putih saat dia di usia 5 hingga 17 tahun terdapat di dalamnya.

Bintang Furqan al-Wafiyحيث تعيش القصص. اكتشف الآن