Sejak itu jugalah, hubungan mereka semakin membaik meski dia tahu, Wafiy takkan mampu untuk menerima dia sepenuhnya atau untuk menyayanginya sebagaimana anaknya menyayangi papanya. Namun, dia tetap cuba sehabis baik, kerana dia mahu keluarga kecil yang dia miliki ini terus kekal utuh.

Dia sedar, dia seorang ibu yang tak sempurna dan penuh dengan cela. Kerana itu dia tahu, Wafiy tak pernah bangga untuk memiliki ibu sepertinya. Dan kerana itu juga, hari demi hari selepas kejadian hitam sepuluh tahun lalu, Datin Raiha telah mencuba sehabis baik untuk membaiki dirinya. Dia sudah berjaya meninggalkan tabiat mengambil minuman keras kalaupun dia stres. Hubungan dengan kekasih mudanya juga sudah lama diputuskan dan Datin Raiha berusaha sehabis baik untuk membaiki dirinya. Kerana itu, salahkah untuk dia meneruskan hidup dan melupakan kisah lalu bersama satu-satunya anak dan keluarga yang dimilikinya itu?

***

Seminggu berlalu, Puan Ros telah dibenarkan untuk keluar dari hospital. Atas rahmat Ilahi juga berkat doa semua anak yatim yang menghuni Rumah Cahaya serta seluruh stafnya, keadaan Puan Ros telah kembali stabil dan dia telah keluar dari fasa kritikal.

Pun begitu, Puan Ros diarahkan untuk berehat dan tidak melakukan kerja berat. Pemakanan wanita tua itu juga perlu dijaga dengan sangat ketat bersama perskripsi lengkap dari doktor yang perlu dipatuhi.

Hanum terasa seakan nasib menyebelahi dirinya kerana dua hari selepas Puan Ros dikeluarkan dari hospital, cuti persekolah pertengahan tahun selama 2 minggu telah bermula. Dia yang merupakan guru sekolah rendah membuatkan jadual kerjanya sangat kosong selama dua minggu itu.

Sepanjang tempoh itu juga, Hanum dapat lihat Wardah seakan semakin menerima dirinya. Gadis itu terlihat lebih mesra dengannya dan Hanum juga tidak menyalahkan gadis itu atas layanannya yang agak dingin pada awalnya, kerana Hanum tahu Wardah mungkin tak suka dengan sikap Hanum yang sudah lama tidak menziarahi Rumah Cahaya.

Pagi itu, semua orang di Rumah Cahaya agak kekalutan memandangkan mereka akan mengadakan sedikit jamuan kecil petang nanti, untuk meraikan kepulangan Puan Ros ke rumah itu semula juga kerana keadaan Puan Ros yang semakin baik. Pagi Ahad yang cerah di Rumah Cahaya itu gamat dengan suara anak-anak kecil yang tinggal di rumah itu, bergurau sesama mereka sambil berlari ke sana ke mari.

"Firdaus, Hanif, Fazrul! Jangan berlari dekat sini, orang tengah buat kerja ni!" Suara Cik Na kedengaran kuat memarahi tiga kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun yang sedang berlari ke sana ke mari di ruangan dapur itu.

"Ana, Mimi, sayang... Akak dah suruh simpan kan mainan tu, akak nak guna meja ni," Wardah turut sama dalam kekalutan, menyuruh kanak-kanak yang perempuan pula untuk menyimpan mainan mereka yang memenuhi ruangan meja makan.

Hanum tersenyum sendiri saat dia sedang membasuh pinggan. Suasana yang sangat gamat saat itu menggamit kembali kenangannya semasa dia tinggal di situ, dengan bunyi bising kanak-kanak berlari, bergurau, menangis, ketawa dan berbual, suasananya sangat menenangkan bagi Hanum.

Namun sesekali itu, dia akan teringat kembali malamnya di hospital seminggu lalu, saat dia menemani Wafiy semalaman. Itu boleh dikatakan antara malam yang sangat indah dan terasa sangat ajaib baginya. Malam itu, dia terasa seakan Wafiy sangat mengenalinya meski kenyataannya lelaki itu sudah lupa tentangnya. Malam itu membawa seribu kebahagiaan kepada dia yang sudah sedekad merindui lelaki itu.

Pun begitu, saat itu, malam itu jika dikenangnya kembali hanya akan membawa rasa sakit ke jantungnya. Sungguh dia akui, manusia sememangnya tamak. Setelah diberi peluang untuk meluangkan satu malam itu bersama Wafiy, dia terus mahukan lebih lagi. Kerana sesungguhnya, meski selama-lamanya juga takkan pernah mencukupi buatnya.

Bintang Furqan al-WafiyWhere stories live. Discover now