BAB 6

255 10 4
                                    


"Rid!!!"

Kuat tempikan Mat Tham umpama jeritan batinnya. Dia rasakan bahawa kepercayaannya itu sedang dipermainkan. Akibat kecewa apabila orangnya berpaling tadah. Sesuatu yang tidak mungkin dapat dimaafkan.

Mat Tham memekik lagi. Memanggil nama itu. Bergegar lantai simen gudang tempat mereka berkumpul. "Aku bunuh kau!!!"

Namanya diseru lagi. Sarat dengan amarah. Senjata hitam itu kini berada tepat di mukanya. Terarah ke dahinya. Mat Tham kelihatan sudah hilang kawalan. Dia begitu marah sehingga keseluruhan wajahnya menjadi merah menyala.

Rid masih lagi cuba bertenang biarpun di dalam dadanya dia berasa terancam. Dia tahu dia berada di dalam bahaya. Dia membuat analisa. Sekarang, dia terkepung oleh tujuh orang yang bersenjata. Dengan pantas dia mengira. Dan mengenalpasti kedudukan mereka. Sukar untuknya melawan seorang diri begitu. Dia perlu mencari peluang untuk melarikan diri.

Orang yang paling dekat dengannya ialah Mat Tham yang sedang mengacukan pistol ke wajahnya. Marahnya membuak-buak. Dia tidak boleh menunggu sehingga Mat Tham melepaskan tembakan. Dia harus bertindak dengan segera.

Setelah mengambil kira risiko dan peluang yang ada, dengan pantas tangannya menepis pistol di tangan Mat Tham. Manakala tangannya yang satu lagi menghentak lengan lelaki itu dengan sekuat tenaga. Dan dengan pantas dia buat aksi akrobatik dengan menggulungkan diri dan cuba keluar dari kepungan. Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arahnya. Rid bergerak pantas mencari perlindungan.

Glock 19 ditarik dari belakang seluar. Hujanan tembakan tidak putus-putus buat Rid terperosok di belakang dinding. Peluang untuk membalas tembakan dicari.

Kemudian, satu tembakan dilepaskan, terkena tepat pada lelaki yang bersenjata Uzi. Dan satu lagi tembakan terkena tepat pada sasaran yang lain. Lelaki itu sedang mengerang dan memegang perut.

"Keluar kau!" Jerit Mat Tham lagi. Dia sudah diamuk marah apabila melihat ahlinya yang tumbang, bukan lelaki yang dikehendakinya. "Rid! Keluar!!!"

Senyap. Nafas turun naik distabilkan. Pistol diacu dalam keadaan bersedia. Rid mengerling sekilas ke arah suara tersebut.

Usai memikik, Mat Tham ketawa pula. Dia tertawa puas apabila melihat Rid bertungkus lumus untuk melepaskan diri. Bayangan Rid langsung tidak kelihatan. Tentu sekali dia sedang bersembunyi.

"Rid! Cuba kau tengok! Kau tak akan dapat lari dari sini! Baik kau menyerah!" Dengan itu, Mat Tham beri signal supaya geng-gengnya menyerang. Tembakan 'random' yang bertali arus itu pasti akan mengenai sasaran juga. Fikirnya.

Hujanan peluru membingitkan telinga. Dia tidak boleh berlama-lamaan di situ. Dia perlu larikan diri secepat mungkin. Malangnya semua senjata sedang mencarinya. Berlaku adegan tembak menembak yang sengit. Dia hanya bersenjatakan sepucuk pistol, keadaan tentunya tidak berpihak kepadanya. Bedilan yang bertali arus menyukarkan dia untuk membuat serangan balas.

Rid mengintai jalan keluar. Dia terpaksa mengubah kedudukan. Dia berjaya mengubah posisi yang lebih strategik namun tiba-tiba dia rasakan bahagian kiri bahunya terasa perit. Tentunya peluru yang ditembak ke arahnya menembusi objek yang dijadikan benteng lalu tertusuk ke bahunya. Cepat-cepat tangan bergerak ke arah bahu yang ditembak. Dia bersandar, berlindung di sebalik dinding dan cuba merancang strategi. Dia mesti cari jalan untuk keluar dari situ!

"Aku tahu kau ada kat situ! Baik kau keluar sekarang!" Jerit Mat Tham lagi sebelum dia melepaskan tembakan. Melepaskan amarahnya.

Apabila pistol diacu kepada sasaran, hanya hembusan kosong yang berlaku. Dia sudah kehabisan peluru! Pistol 'spare' yang terdapat di kaki dicapai. Dia perlu bijak menggunakan peluru yang ada dan cuba untuk melepaskan diri dari situ dengan segera.

Keadaan menyebelahinya kerana dia sudah hafal selok belok gudang tersebut. Dan ia memberi satu kebaikan kepadanya. Dengan pantas Rid bertindak.

Tiba-tiba keadaan menjadi gelap. Dan suasana menjadi bisu buat seketika. Tembakan yang berpusu-pusu sebelum itu berhenti secara tiba-tiba. Masing-masing berkira-kira apa yang akan dilakukan oleh pihak lawan.

"Kau keluar Ghost kalau kau nak hidup!" Mat Tham memberi amaran. Kali ini dia seru nama rahsia Rid. Dia dapat rasakan bahawa sememangnya lelaki itulah 'Ghost'. Rupa-rupanya, dialah yang mereka takuti selama ini. Tidak disangka, selama ini 'dia' begitu dekat dengan mereka. Peluh mula menitik di dahi.

Jeda. Tiada satu pun tembakan dilepaskan. Di dalam gelap, mereka mengambil langkah berhati-hati.

Bunyi derap kaki sedang mendekat. Rid pasang telinga. Dia dapat agak jarak target. Jarak antara pintu keluar telahpun diukur tadi. Dia mula merancang strategi.

Bunyi klik kedengaran di bahagian sebelah kanan. Pukul 2. Dengusan nafas pada pukul 7. Dia buat pengiraan yang seterusnya. Beberapa orang lagi pada pukul 9, 10 dan 12. Dia memang sudah terkepung.

Tipis. Terlalu tipis. Peluangnya untuk keluar hidup-hidup adalah sangat tipis.

Dia cuba bertenang. Menggunakan semua deria, dia mula bergerak. Perlahan dan tanpa sebarang bunyi. Dia memang sudah terlatih untuk itu.

Berpantang maut sebelum ajal! Dia terpaksa ambil peluang. Senjata diacukan ke arah sasaran dan satu das tembakan dilepaskan. Tepat pada sasaran.

'One man down.' Bisik Rid dalam hati.

Dan satu lagi tembakan dilepaskan. Juga mengenai sasaran. Arrghhh! Bunyi lelaki menjerit kuat sebelum dia terdiam.

'Another man down.'

Keadaan yang gelap telah berinya satu peluang. Rid cuba menyusup keluar secepat mungkin. Dia buat aksi somersault dari tempat persembunyiannya sebelum dia berdiri tegak di atas kaki dan berlari sepantas yang mungkin. Seperti kilat dia berlari keluar dari situ. Hujanan peluru mengekorinya apabila mereka tersedar bahawa Rid sedang melarikan diri. Dia yakin, dia sedang dikejar. Dalam kesamaran malam, bunyi berdas-das tembakan ditujukan ke arahnya.

#GHOSTWhere stories live. Discover now