BAB 2

259 8 0
                                    


Hilton, KL Sentral

Kuala Lumpur, Malaysia

Loceng di pintu bilik bernombor 207 itu ditekan sekali. Kemudian sekali lagi apabila pintu masih belum terbuka. Selang beberapa saat pintu ternganga dengan satu wajah terjengul di muka pintu. Seorang lelaki muda tersenyum lebar menyambut dua orang lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Umurnya mungkin di dalam lingkungan 35 tahun.

"Abang Sham." Lelaki sederhana tinggi yang berkulit agak cerah itu menyatakan namanya. Lelaki yang menyambut kedatangannya itu mengangguk-angguk kecil.

"Masuk, masuk... Dato' sedang menunggu." Dia tersenyum seraya membenarkan mereka berdua ke dalam.

Dua lelaki yang berada di luar tadi masuk ke dalam bilik hotel yang serba mewah. Mereka disambut oleh seorang lelaki yang lebih tua dengan satu senyum lebar.

Lelaki yang diperkenalkan sebagai Dato' tadi bangun lalu tangan direntang ke arah 'Abang Sham'. Tangan lelaki muda itu dijabat kemas lalu digoyang-goyangkan dengan kuat sekali. Begitu erat salaman lelaki-lelaki tersebut. Kedua-duanya tersenyum gembira. Pertama kali mereka bertentang mata, setelah beberapa lama berurusan di atas talian.

Kemudian dia berbuat perkara yang sama kepada lelaki tinggi yang memakai jaket kulit hitam dan bertopi 'baseball' yang juga berwarna hitam. Dia tentunya rakan sekutu 'Abang Sham'. Dia kelihatan lebih muda. Dan sedikit 'reserved'.

"Maaf Dato', kami terlewat sedikit," tutur Abang Sham dalam Bahasa Melayu yang bersulam dialek Siam-Kelantan.

"Oh... tak apa. Saya yang terlebih awal," jawab Dato' sambil tertawa senang. Dia memang sengaja datang lebih awal kerana dia sedikit berdebar. Ini kali pertama dia melakukan urusan sulit seperti ini.

"Ini, Rid." Abang Sham memperkenalkan lelaki tinggi di sebelahnya. Rid hanya mengukir satu senyuman tipis.

"Dia kawan saya," kata Abang Sham lagi. Menjelaskan mengapa Rid dibawa bersama.

Lelaki yang dipanggil Rid itu akhirnya membuka mulut. "Apa khabar, Dato'?" Dia carik sedikit senyuman.

"Baik. Baik. Sila duduk," pelawanya kepada tetamu-tetamunya. Lelaki yang dipanggil Dato' tadi masih tersengih. Dia melabuhkan punggung ke sofa. Kaki disilangkan. Tangan terdepang ke tempat duduk yang empuk dan mewah.

Kedua-dua lelaki di hadapannya dipandang silih berganti. Abang Sham sedang tersenyum lebar manakala yang dipanggil Rid itu sedang tenang memerhati dekorasi mewah bilik hotel. Sekali lagi Dato' tersenyum. Bangga dengan tempat yang dijadikan 'pertemuan' mereka.

Perjumpaan sulit itu akhirnya tercapai juga setelah mereka merisik mengenai ejen menjual senjata api di pekan Sungai Golok sebelum mereka berjumpa dengan Abang Sham. Menurut risikan pembantunya, Abang Sham telah melakukan 'kerja' tersebut lebih sepuluh tahun dan selama itu, tidak pernah berlaku sebarang masalah.

Keadaan jatuh senyap buat seketika. Kemudian Dato' tepuk tangan, lalu berkata dalam suara yang penuh keterujaan. "Okey! Sekarang..." Kemudian Abang Sham dipandang dengan pandangan bermakna.

Abang Sham tarik sesuatu dari beg yang dibawanya. Beberapa pucuk pistol diletakkan di atas meja.

Kelihatan mata Dato' bersinar-sinar melihat senjata-senjata yang sedang dipamerkan di hadapannya. Sebelum ini mereka telahpun berbincang tentang senjata yang 'patut' dibeli oleh ahli perniagaan itu. Katanya dia perlukan senjata bagi pertahanan diri, serta untuk disimpan bagi kegunaan 'genting'.

Apa-apa sahaja niat pembeli membeli senjata darinya adalah urusan mereka. Abang Sham tidak ingin campur tangan. Malah dia tidak pernah mahu bertanya, kecuali jika diberitahu. Yang dia peduli, senjata laku dijual dengan harga yang 'berpatutan'. Berpatutan bermaksud, sekurang-kurangnya dia dapat keuntungan lebih kurang RM500 sepucuk senjata seperti itu. Itu sudah memadai. Baru berbaloi dengan risiko yang diambil. Abang Sham tersenyum senang.

Bilik hotel itu telah ditempah oleh pelanggan mereka. Selalunya urusan mereka dilakukan di hotel-hotel ternama kerana ia adalah tempat yang selamat untuk melakukan urusan sebegitu. Setakat ini, dia belum pernah ditimpa masalah. Semua urusannya berjalan lancar. Rid yang duduk di sebelah dikerling. Lelaki itu sedang memandang Dato' yang sedang teruja tanpa riak di wajah.

"Ini sahaja?" tanya Dato'.

"Saya ada bawa lebih Dato' tetapi ini adalah senjata yang paling sesuai untuk kegunaan Dato'." Senyuman manis terlakar di bibir Abang Sham.

Banyangan not-not kertas sudah menari-nari di hadapan mata. Dia melakukan kerja tersebut bagi mendapatkan duit poket. Dia ada pekerjaan tetap yang lain, namun pendapatan sampingan dari jualan senjata api telah buat hidupnya sekeluarga lebih selesa. Bagi Rid yang baru berjinak dalam 'peniagaan' tersebut, ini kali kedua dia mengikutnya berjumpa dengan pelanggan.

Dato' angguk-angguk tanda setuju. Selalunya pelanggannya adalah individu-individu berketurunan Cina dari Malaysia. Yang ini, adalah jumlah kecil pelanggan Melayu yang memerlukan senjata. Abang Sham memerhati sahaja Dato' memeriksa setiap senjata. Dari sinar matanya, cahaya penuh keterujaan terpancar.

"Harga senjata api bergantung kepada jenis dan sama ada senjata itu barang lama atau baharu. Yang ini... harganya RM6,700. Yang ini... RM8,000," terang Abang Sham apabila melihat Dato' sedang menimang-nimang pucuk-pucuk pistol dia tangan.

Dato' mengangguk-angguk kecil. Pembantunya yang terpacak di sebelahnya hanya memerhati urusan jual beli itu. Dia kelihatan seperti 'bodyguard' pelanggannya itu.

"Yang ini lebih mahal, Dato'. Yang ni pula... masih belum digunakan. RM10 ribu, Dato' ." Perkataan Dato' disebut setiap kali dia habis berbicara. Mahu memberi rasa bangga dan puas pada diri ahli perniagaan itu. Jika untung sabut, Dato' itu mungkin akan membeli lebih dari sepucuk senjata. Bermakna dia akan dapat duit lebih hari itu.

Abang Sham memberitahu harga setiap senjata yang terpamer di hadapan Dato'. Dia juga kongsikan kelebihan yang ada pada setiap senjata. Senjata-senjata tersebut dia dapat dari kawan-kawan yang membeli dari kedai senjata api berlesen yang mahu menjualnya kembali. Malah ada juga yang mereka beli dari Vietnam.

Akhirnya Dato' memilih senjata api jenis Smith & Wesson semi automatik, yang merupakan senjata api terlaris yang pernah dijualnya. Turut dibeli senjata jenis Walther.

"Peluru? You jual juga ke?" tanya Dato' setelah menyimpan barang yang telah dipilihnya ke dalam sebuah briefcase.

"Saya tak jual peluru, Dato'. Tapi Dato' boleh beli sendiri di kedai-kedai senjata api berlesen. Nak beli peluru ni tak susah Dato'. Tak macam beli pistol. Harga sekotak peluru pun tak mahal... lebih kurang RM200 je untuk satu kotak yang mengandungi 50 butir peluru," terang Abang Sham lagi.

Pistol dan duit bertukar tangan. Semuanya tersenyum lebar. Puas hati dengan habuan masing-masing. Usai urusan jual beli tersebut, mereka meminta diri.

****

#GHOSTWhere stories live. Discover now