BAB 5

183 9 0
                                    


Lokasi : Sebuah gudang di luar ibu kota.

Klik!

Suara dari Smith & Swenson yang ditujukan tepat kepadanya memberi amaran. Bermakna pada bila-bila masa sahaja peluru akan menembusi tengkorak kepalanya. Sepasang mata hitamnya tajam memerhati, seluruh deria berada pada tahap berjaga-jaga. Namun, wajahnya dikawal tanpa emosi. Kosong. Tiada perasaan bersalah. Tanpa rasa takut.

Dia kelihatan begitu tenang. Memandang lurus ke arah lawannya yang kelihatan bengis dan tidak sabar. Bersama sepucuk pistol automatik yang diacukan tepat ke kepalanya.

"Baik kau mengaku sekarang!" tengking Mat Tham ke arahnya sekali lagi. Matanya merah, hampir terjengil keluar.

"Aku dah kata, bukan aku." Tenang dia menjawab. Herdikan dan ugutan Mat Tham langsung tidak memberi sebarang kesan.

"Aku tak percaya. Semua orang tak percaya!"

"Kau percaya?" Soalan dijawab soalan, cukup untuk mencabar kesabaran.

"Kalau bukan kau, siapa lagi? Mengaku ajelah!" Suara Mat Tham semakin meninggi. Kesabarannya sudah menipis.

"Bukan aku yang buat, kenapa aku nak mengaku?" Setiap kali didesak, setiap kali lelaki itu dengan tenang menafikan. Sehingga ia memberi tekanan kepada yang bertanya.

"Kau jangan cuba berdalih, Ghost!" tempik Mat Tham lagi. Mata sepetnya bersinar-sinar, dan terjengil; hampir terkeluar dari soket mata yang sempit.

Terkejut teramat sangat apabila nama itu disebut, yang akan buat mulutnya ternganga. Boleh bikin darahnya berderau namun, dengan tenang Rid tayang wajah tanpa perasaan. Wajah bersahaja seolah-olah nama itu tiada apa-apa makna baginya. Hujung bibirnya mengherot sedikit. Sinis.

Mat Tham buang dengusan nafas berat. Tahap kesabarannya sudah seperti wap air yang akan lenyap di udara. Marah apabila diperdaya begitu. Geram apabila lelaki yang dipanggil Rid itu masih berlagak tenang. Tidak takutkah dia? Jika orang lain berada di tempatnya, berkali-kali didesak begitu serta diacu dengan pistol di kepala, mereka pasti akan mengaku. Sekurang-kurangnya mereka ketakutan dan menggigil, jika tidak terkencing di situ.

"Siapa Ghost?" tanya Rid bersahaja. Berpura-pura tidak mengenali empunya diri.

Mat Tham mencebir. "Kau jangan nak berdolak-dalih. Aku tahu kau yang mereka gelar Ghost!!!" Beroktaf tinggi nada suara lelaki itu kini. Tidak tahan. Tiada lagi kesabaran.

"Ikut suka kau. Aku tak kenal dia," jawab Rid dengan tenang.

"Lebih baik kau mengaku kalau nak selamat. Kau yang buat semua tu, kan? Kau adalah Ghost, kan???"

"Aku cakap, aku tak ada kena-mengena dengan hal tu! Cuba kau siasat dalam kumpulan kau sendiri. Kau yakin semua pengikut kau berpihak pada kau? Kau tak rasa... ada yang iri hati dengan kau? Atau menjadi tali barut?" Rid cuba mencucuk kepercayaan lelaki di hadapannya.

"Ahh! Tak mungkin! Mereka semua dah lama dengan aku! Mereka tak akan buat macam tu!"

Rid tersenyum sumbing. Sinis. "Kau yakin?"

"Baik kau mengaku sekarang!" Mat Tham terus mendesak. "Dia orang tak mungkin buat macam tu! Dia orang dah lama dengan aku. Setia dengan aku! Kat sini... kau seorarang sahaja ahli baru!" Naik turun nafas Mat Tham menuturkan semua itu. Dia terus menyambung.

"Kau mungkin orang kepercayaan Rambo, Rid! Kau mungkin orang harapan kumpulan ni. Dan..." kening Mat Tham terangkat, wajahnya berkerut, "... kau orang yang aku paling percaya!!! Jahanam kau! Berani kau!" Tempik Mat Tham tanpa mengira apa-apa pun.

"Berani kau buat macam ni!!!"

"Kau dah lupa? Siapa aku yang sebenarnya?" Rid masih bersuara tenang. Masih memasang wajah biasa. Dia diam berdiri tanpa bergerak walau sedikit. Namun, dari ekor matanya, setiap gerak geri pengikut-pengikut setia Mat Tham ataupun lebih tepat, konco-konco Mat Rambo diperhati. Setiap inci pergerakan mereka dipantau secara senyap.

Lelaki itu... tidak takutkah dia? Tidak sayang nyawakah dia? Jika benarlah Rid adalah Ghost... dia yang patut takut.

Sekarang Mat Tham kelihatan mula ragu-ragu. Kedua-dua belah tangannya yang memegang pistol cuba dikawal, cuba menstabilkan pegangan. Keliru. Tidak dapat membezakan antara fakta dan kesangsiannya.

Tidak mungkin dia mengkhianatinya! Tidak mungkin dia orangnya.

G.H.O.S.T.

Itu nama yang menjadi ketakutan mereka di dalam dunia gelap mereka. Tidak mungkin Rid adalah Ghost.

Tak mungkin!

#GHOSTWhere stories live. Discover now