CANTASAN 1: Ancaman Menerpa

1.6K 31 1
                                    

Mus'ab berdiri menghadap sebilah katana yang tergantung melintang pada satu sudut rumahnya. Fajar pagi belum lagi menunjukkan diri, menyebabkan tingkap berdekatan gelap walau langsir sudah disingsing.

Dua tangan bersilang pada dada.

Muramasa.

Itu nama katana tersebut.

Semenjak bernikah dengan isterinya sekitar enam tahun yang lalu, senjata itu telah diletakkan sebagai hiasan dinding. Tidak sesaat pun isterinya tahu bahawa katana itu merupakan senjata yang sebenar. Dia sendiri berbohong dengan menyatakan bahawa senjata itu hanya replika, kenang-kenangan selepas dia menamatkan pengajiannya di Negara Matahari Terbit.

Tetapi kini isterinya telah mengetahui.

"Ini, salah satu katana lagenda yang abang ceritakan semalam?" Suara isterinya menerjah gegendang.

Dia tidak terkejut. Langkahan isterinya merapati diri didengari dengan jelas. Bahkan mereka baru sahaja usai menunaikan solat bersama-sama sebentar tadi. Kini wanita yang amat dicintainya itu sedang berdiri di sisinya.

Dari pernafasan isterinya, dia dapat menjangka bahawa segala-gala yang diluahkannya semalam, sukar dicerna. Mereka sama-sama tidak memejamkan mata semenjak malam tadi. Dia telah menceritakan segala-galanya sehingga azan Subuh berkumandang.

"Sayangku Laila, apakah sayang kini menyesali apa yang terjadi? Memilih abang sebagai suami?" Dia memberanikan diri bertanya. Tetapi tidak berani memandang wajah isterinya.

Dia tidak mahu melihat kekecewaan. Cukuplah wajah tercengang lagi terpinga-pinga isterinya sepanjang penceritaannya semalam membuatkan jiwanya rawan.

Tiba-tiba dirasakan bahunya disentuh. Kemudian tangan yang sama merayap ke belakang tubuhnya, menggosok-gosok, sebelum tubuhnya dipeluk erat oleh Laila. Pelukan itu tersangat kejap.

"Saya yakin, apa yang berlaku ada hikmahNya."

"Sayang tak rasa Allah SWT masih tidak mahu mengampunkan abang?" Mus'ab memejamkan mata. Jiwanya perit.

"Bersangka baiklah kepada Allah, abang."

"Itukah yang sayang sedang lakukan sekarang? Bersangka baik kepada Allah SWT?"

Dia dapat merasakan anggukan Laila. Wajah perempuan itu masih lekat pada tubuhnya.

Mus'ab menghela nafas. "Bagaimana sayang mudah melakukannya? Sedangkan abang merasakan ia perkara yang berat."

"Tidak mudah sayang. Pelbagai persoalan menyerbu masuk. Tetapi itulah dia maknanya ujian. Ianya datang menguji. Sekiranya ujian itu mudah, maka berbaloikah ganjaran dan pembalasan?"

Mus'ab tersentuh. Dia berpaling kepada Laila. Tangannya mendapatkan wajah isteri yang sangat dikasihinya itu. Wajah Laila dipandu agar mata mereka bertentangan.

"Sayang terlalu baik untuk abang. Selama ini memandu dengan penuh berhemah ke arah Islam, ke arah keimanan. Entah apa kebaikan yang pernah abang lakukan, untuk berhak mendapat isteri seindah sayang."

Laila tersenyum manis. Dan itu senyuman termanis buat Mus'ab di seluruh dunia ini. Senyuman yang memudarkan gundah gulana. Senyuman yang menghilangkan gelita di dalam jiwa.

"Allah jualah yang memberikan hidayah. Kita sebagai manusia hanya berusaha." Dadanya ditepuk lembut.

Ironik. Di hadapan katana yang meragut sekian banyak nyawa, dia terasa hidup di dalam dakapan isterinya.

Samurai MelayuWhere stories live. Discover now