"Leesa tahu kenapa nenda panggil Leesa?"

Darleesa menggeleng polos tanda tidak mengerti. Puan Sri Ku Dahiyah menarik nafas panjang sebelum meletakkan satu sampul lebar berwarna coklat di atas meja. Darleesa teragak-agak untuk mengutip namun sampul surat itu dicapai jua untuk mengeluarkan isi 'misteri'.

Tatkala anak mata beningnya menangkap ilustrasi dari foto itu, wajahnya berubah pucat manakala hati luluh sehibanya. Titisan air mata di tubir penglihatan bergenang menggelongsor ke pipi. Tangan Darleesa menggigil kecil kerana wanita di dalam kepingan kad ini bukan dirinya. Di dalam fotokopi pertama, jelas terpampang figuranya ditindih oleh seorang lelaki manakala kepingan kedua memapar tubuhnya dicium dan diratah oleh empat orang lelaki asing.

"Nenda, Leesa bukan orang seperti yang terilustrasi dari gambar ni. Ni bukan Leesa! Demi Allah!"

"Hei perempuan, kau berterus-terang saja lah ini memang plan kau dari mula. Bukti sudah ada depan mata, kau nak nafikan apa lagi? Masuk dalam bilik lelaki kaya yang kau tak kenal then pura-pura baik macam malaikat untuk dapatkan keadilan. Kau fikir lepas kau kena cekup dengan adik aku, dia akan layan kau macam permaisuri? Jangan mimpi disiang hari lah!" Sinis sahaja nadanya. Katrina memanah tajam. Khairul yang sedari tadi menjadi pemerhati hanya berminat untuk menadah telinga. Dia sudah mempunyai rancangannya sendiri.

"Katrina, kalau nak ikutkan baran, nenda yang patut marah sekarang ni. Tapi nak berbunyi pun tiada gunanya lagi selepas Khai dan Leesa selamat diijabkabul."

Puan Sri Ku Dahiyah menarik nafas panjang. Penghantar sampul ini pun mereka tidak dapat menebak kerana masing-masing sibuk menguruskan majlis ekspres Khairul dan Darleesa. Wajah pucat cucu menantunya ditatap dalam, ingin mencari sinaran kejujuran. Dia cuba untuk menyelamatkan gadis itu tetapi mengapa satu-persatu realiti kembali menghimpitnya? Adakah ini salah satu petunjuk bahawa gadis ini berlatar belakang buruk? Atau Darleesa membisik pembohongan di telinganya selama ini?

"Nenda nak duduk diam saja dan biarkan perempuan ni dalam keluarga kita? Do something! Makin lama kita simpan parasite, makin digigitnya kita sehingga ke tulang." Katrina merasuk fikiran Puan Sri Ku Dahiyah. Dia tidak akan biarkan Darleesa bermaharajalela di rumah mereka. "Gambar dah ada depan mata, nenda. Perempuan ni bukan jenis orang yang baik-baik."

"Cukup Katrina! Pasal gambar Leesa, nenda tak mahu ambil peduli. Sama ada bukti di masa lalu atau masa kini itu antara dia dan Tuhan. Kita tak boleh campur tangan, tidak selepas perkahwinan mereka diumumkan. Nenda serahkan semua keputusan kepada Khai sebab dia lebih berhak untuk menilai."

Katrina menghentak kaki dek hasutannya tidak berjaya. Dibawa tubuhnya dari situ untuk ke kamar beradu. Orang di dalam rumah ini sememangnya sudah gila! Kebisuan Puan Sri Dahiyah diambil alih oleh Khairul. Lelaki itu berdecit.

"I just make up my mind. Pagi esok Khai dan Leesa pindah masuk ke rumah banglo atas bukit. Khai dah prepared apa yang patut, jadi tiada masalah lagi agaknya... Pasal Katrina, nenda jangan risau. Khai akan bercakap dengan dia nanti." Khairul bersuara mendadak tanpa secalit senyuman.

Detik itu gigilan di tubuh Darleesa makin melebat. Serahkan kepada Khairul bermakna lambaian keganasan, cacian bakal bertubi-tubi menghentamnya. Dia lagi merana dan sengsara sekiranya Khairul diberi amanah itu meskipun lelaki itu sudah menjadi suaminya yang sah disisi agama islam. Khairul bakal membunuhnya. Bunuhnya bererti dia tidak akan mampu untuk berdiri teguh untuk hari-hari akan datang. Hidupannya bakal berubah seakan-akan berada di dalam neraka.

"Bagus lah kalau Khai pindah masuk ke banglo tu. Dapat merasai kehidupan berumah tangga yang sebenar-benarnya. Nenda percaya kamu berdua perlu masa untuk mengenali antara satu-sama lain. Bila dah jadi suami isteri ni, automatik sikap toleransi akan wujud." Puan Sri Ku Dahiyah tersenyum. Setuju dengan keputusan Khairul.

Darleesa menggeleng kecil bererti tidak senang dengan keputusan mereka. Dia tidak mahu pergi ke mana-mana pun kerana selangkah kakinya maju ke depan, Khairul bakal membahamnya hidup-hidup. Pautan Khairul di bahunya secara tiba-tiba menaikkan bulu romanya kerana sentuhan itu terasa diselubungi bayang kegelapan. Anak mata Darleesa terhidang dengan senyuman senget Khairul. Lelaki itu tunduk membisik sesuatu di telinganya.

"Don't you find it thrilling?"

Darah gemuruh Darleesa membunyikan penggera amaran. Laju kakinya bangkit dari duduk dan beralasan untuk membersihkan diri. Khairul mengetap rahang, membetulkan posisi duduknya sambil memerhati langkah besar gadis itu ke tingkat atas. Pandangan Puan Sri Ku Dahiyah dibalas dengan jongketan kening dan mereka sempat berborak seketika sebelum wanita tua itu turut meminta diri untuk menunaikan kewajipan kepada yang Maha Esa.

Khairul mendaki ke tingkat atas. Paparan siaran di televisyen yang tidak menarik minatnya ditukar berkali-kali. Butang off pada remote ditekan seraya suasana di kamar beradunya kembali sepi. Jam di dinding menanda tepat pada pukul sebelas malam. Deruan penghawa dingin terasa dingin sekali dan itu sudah cukup memamai Khairul yang diambang kepenatan.

Kelopak-kelopak bunga mawar di atas katil dikibas-kibas kasar dengan tangan lalu bantal kekabu ditarik ke dalam pelukan. Menjadi seorang suami dalam usia 30 tahun tanpa kerelaan hati memang merupakan satu tiket untuk menghancurkan diri. Paling teruk, dia menjadi suami kepada seorang gadis yang memerangkap dirinya. Bodoh! Memang menyerabutkan otak!

Tetapi jika ini yang dimahukan gadis sialan itu, dia akan turut mencipta permainan kotornya sendiri. Mungkin Darleesa beranggapan ikatan yang utuh diantara merupakan kunci untuk menjahanamkan kehidupannya, tetapi itu adalah salah sama sekali. Dia yang akan menghancurkan hidup gadis itu sehingga hatinya puas. Bunyi pancuran di kamar mandi terhenti. Khairul melirik kecil dari ekor mata melihat satu tubuh yang melintasi ke luggage di tepi jendela. Gadis itu berpakaian baju tidur labuh sambil kepalanya dibaluti dengan tuala. Khairul memejam mata rapat.

Darleesa memperlahankan langkah tapak kakinya. Sikat di atas meja solek dicapai sambil anak matanya mengintai tepat pada susuk tubuh Khairul yang sudah nyenyak berada di atas katil. Nafas leganya terhela. Syukur, sekurang-kurang dia bisa tidur nyenyak tanpa sebarang kekacauan. Tidak ada lah kekok nanti. Bisik Darleesa sambil menuju ke katil. Belum sempat dia mahu melabuhkan punggung, Khairul bangkit dan bersandar pada kepala katil sambil berpeluk tubuh memandangnya. Ya, pandangan jijik.

"Kau buat apa ni?"

"Tidur?" Darleesa menyoal kembali.

"Tidur?" Katil ditepuk dengan gaya pura-pura terkejut. Khairul tersenyum senget. "Kau sure ni tempat kau? Dah habis sedar diri belum?"

"Saya tak kisah tidur mana pun."

"Bagus lah... sebab—" Ayat dijeda. Gadis itu terpinga-pinga memandangnya. Bantal di atas riba dicampak sehingga merapat pada daun pintu bilik. Bibirnya tersenyum mengejek selepas itu. "—perempuan macam kau, tempatnya layak di situ. Faham?"

Hati Darleesa luluh. Tanpa memandang Khairul, kepala diangguk kecil. Terus sahaja dia merapati daun pintu dan mengambil bantal yang dicampak lelaki itu sebentar tadi. Kakinya bagaikan terpaku selepas itu. Matanya masih melihat wajah ketat Khairul secara polos. Sepi. Janggal. Bunyi dengusan kedengaran.

"Tercegat dekat situ buat apa? Tutup lah lampu lembap! Dah merempat dalam bilik orang, buat cara merempat." Arah Khairul dengan suara lantang. Kelam-kabut Darleesa mengikuti arahannya sebaik saja bersuara begitu. Tahu pula takut. Masa setuju nak berkahwin dengan aku, tak ada pula fikir masak-masak.

Keadaan yang gelap dan hanya disimbahi dengan lampu tidur berwarna malap memang memaksanya untuk tidur juga disitu. Darleesa terdiam mengigit lembut bibir bawahnya. Takkan dia mahu tidur di sini? Anak mata meliar memerhati ruang di hadapannya sejenak tanpa arah. Halwa telinga menangkap bunyi dengkuran halus Khairul dari arah katil, menandakan lelaki itu terlena kealam mimpi. Bantal di tangan dipeluk erat ke dada. Perlahan-lahan couch lebar di sisi katil ditujui dan dibaringkan tubuhnya dalam posisi mengiring. Entah bila masa, akhirnya dia juga turut terlena dengan ditemani bisikan hati yang walang.

[C] Jika Harus Begituजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें