Bab 2 - Dosa-dosa Pramusaji

9 1 1
                                    


Air jus di dalam gelas ditimang penuh hati-hati, langkah diatur tertib, mencelah dan membelok di antara meja, had kelajuan kaki disusun elok-elok supaya tidak kelihatan terlalu gopoh dan tidak pula terlalu lewa, namun semua itu belum lagi cukup untuk memastikan gelas tetap kekal di dalam dulangnya. Pramusaji tersadung kaki kerusi ketika cuba mengelak seorang pelanggan yang bangun dengan tiba-tiba, mengakibatkan air jus terpercik berhamburan, kaca gelas berderai ke semua arah.

Pramusaji kaku seketika, masa menjadi terhenti dengan semua tumpuan terbeban di atas pundaknya, sebelum pengurus datang untuk menggeleng kepala dan dengan gerakan matanya, sebuah arahan dikeluarkan, "Bersihkan segera!". Kepada para pelanggan, pengurus tersenyum mengangguk memohon maaf serta mempelawa mereka meneruskan menjamu selera.

Kejadian itu diperhati penuh minat oleh Bakre dari penjuru sebelah kiri kafe. Lama dia memerhatikan riak wajah pengurus yang begitu lekas berubah, daripada marah kepada ramah. Daripada sejuta kecewa di dada, kepada pesona bahagia di muka. Bagaimana terlatihnya dia mengukir senyum walaupun dalam perasaan berang. Kerana kemahiran itulah, Bakre berkata, "menjadi pengurus ni kau kena pandai bermuka-muka, depan pekerja lain, depan pelanggan lain. Sebab tu aku tak boleh jadi pengurus."

Aku hanya membalas dengan senyuman.

Dahulu aku pernah bekerja sebagai seorang pramusaji di sebuah restoran ternama di Kuala Lumpur. Restoran di mana pelanggannya adalah daripada golongan atasan, yang mana setiap permintaan mereka perlu dipenuhi tanpa sebarang kecacatan.

Kalau mereka memesan daging yang separuh masak, maka separuh masaklah yang perlu berada di dalam pinggan. Kalau setakat satu meja, tak menjadi masalah, tapi lebih 20 buah meja yang kau perlu ingat setiap satu daripadanya. Dan makan malam adalah waktu yang sangat sesak di situ. Siaplah kalau kau tersalah hantar makanan. Menu yang sama, cuma cara masakannya berbeza.

Yang inginkan daging separuh masak tapi kau hantar masak sempurna, siaplah kau. Bertadah tanganlah, meminta diampuni dosa.

Dan aku pernah melakukan kesalahan itu. Aku dimarah-maki, dipotong gaji, seakan kesalahan itu tiada maafnya, bagaikan kesalahan itu telah menyebabkan kerugian berjuta ringgit kepada restoran. Seolah ia adalah dosa besar yang tidak mungkin terampunkan. Berbulan-bulan aku bertahan dan bersabar sebelum akhirnya memutuskan untuk berhenti dengan cara tidak terhormat. Sejak itu aku merumuskan bahawa pekerjaan sebagai pramusaji ini adalah pekerjaan yang paling teruk.

"Kau tak boleh berfikir seperti itu," kata Bakre, "sebenarnya, pramusaji ini kerja yang mulia, kerja yang memberi banyak pengalaman berharga, tau? Dari situ kau akan belajar menjadi pembersih, mengemas pinggan cawan, mengemas meja. Kau juga akan dapati ingatan bertambah kuat, menghafal permintaan pelanggan, mengingat meja mana nak ini, meja mana nak itu. Dan kerja pramusaji juga akan menguatkan stamina kau. Dengan semua itu, kau percayalah kepada aku, kau akan bersyukur menjadi pramusaji apabila bergelar suami nanti. Semua pengalaman itu akan kau guna bila berdepan dengan isteri."

Lama aku berfikir apa kaitan menjadi pramusaji dan berhadapan dengan isteri sebelum Bakre bersuara, "Kahwin dulu, baru kau akan bersetuju dengan aku." Balas Bakre sebelum mentertawakan aku.

Kami membiarkan masa berlalu sambil menikmati minuman masing-masing. Persekitaran kafe agak menarik, unik tetapi terlalu mengada-ngada pada perhiasan dinding, lantai dan siling serta aksesorinya. Pada aku, nilai sesebuah kafe itu terletak kepada makanannya, bukan hiasannya. Sebab itu dalam soal makan, aku suka Ipoh, bukan Bangi. Di Ipoh, soal rasa adalah utama, tapi di Bangi, rasa selalu ditewaskan dengan kehendak mata.

Aku pernah menulis artikel untuk dihantar ke majalah tentang fenomena kafe hipster yang makin menggila, tumbuh bak cendawan selepas hujan. Aku menulis tentang betapa kita sekarang terpaksa membayar bukan kepada harga makanan yang dimakan, tetapi hiasan dalaman kedai yang sengaja dilebih-lebihkan, yang pada sesetengah itu menyakitkan mata pula.

Penulis Indie TerunggulWhere stories live. Discover now