Bab 3 - Ayam Masak Kurma

7 1 1
                                    


Banyak hal yang menyenangkan Bakre selepas mendirikan rumahtangga. Salah satu daripadanya adalah masakan Hawa. "Rupanya tak ada yang dapat melawan air tangan seorang isteri, tidak chef terkenal, tidak hotel lima bintang, tidak Jamie Oliver." Bakre membuat pengakuan.

Malam itu aku ke rumah Bakre atas jemputannya. Katanya Hawa ada masak lebih. Tapi aku tahu, Bakre faham keadaan ekonomi aku ketika ini, lebih-lebih lagi setelah aku menceritakan tentang beberapa temuduga, yang telah aku hadiri, namun masih belum menerima sebarang panggilan. Selalunya bila aku bukak topik itu, Bakre akan lekas mengerti yang aku tak ada wang belanja bulan itu.

Aku pun tak tahu sampai bila aku akan menganggur macam ini. Menulis pun tidak, bekerja pun tidak, mana nak masuk duitnya. Tapi siang tadi, bekas majikan, aku pernah berkerja sebagai pemandu peribadi seorang Datin Seri, ada menghubungi untuk berjumpa. Kami berbincang tentang satu projek besar yang aku rasa sangat menarik. Harap-harap menjadilah projek itu, dapatlah duit belanja sikit. Dan kerana itu jugalah aku ke sini, selain daripada memenuhi jemputan Bakre dan masakan Hawa.

Bercerita tentang masakan, aku dan Bakre pernah duduk menyewa satu rumah dengan enam rakan bujang yang lain. Kami ada jadual memasak sendiri untuk menjimatkan wang masing-masing.

Hari itu, tiba giliran aku dan Bakre untuk memasak. Kami bermesyuarat memilih menu, sebelum Bakre menyebut ayam kurma. Aku pandang kepadanya, "Kau yakin ke ni? Masak kurma ni, bukan goreng-goreng biasa, boleh ke?"

Bakre tak perlu berkata apa-apa untuk menampakkan keyakinan. Senyumnya yang disengetkan itu mengalahkan keegoan seorang Nusret Gokce, seorang chef ternama dari Turki, yang lebih dikenali dengan jolokan Salt Bae.

Kami pun mulalah memasak ayam kurma. "Memasak ini senang sahaja kawan, yang paling penting kau kena tahu apa kau nak masak, dan rasa bagaimana yang kau nak pada masakan itu nanti. Pedas ke, lemak ke, manis ke, masam ke."

"Ok, kalau ayam kurma, mesti kena ada rasa kurma, betul? Jadi kita masukkan rempah kurma ayam ini." Kata Bakre sambil memotong bungkusan rempah kurma ayam yang diambil di dalam peti sejuk, yang entah sudah berapa lama tersimpan di situ. "Kemudian apa lagi, nak bagi rasa berlemak? Kita masukkan santan pula. Air asam jawa sikit, bagi rasa masam yang menendang tekak. Lagi? Tambahlah kentang sikit, tomato sebiji dua, lobak merah kalau ada."

Hari itu aku terpegun dengan kefasihan Bakre dalam menerangkan cara-cara memasak ayam kurma, sepatah pun aku tidak melawan, semua aku turuti dengan taat. Aku ikut betul-betul di belakangnya, seperti seorang makmum muafiq.

"Akhir sekali, jangan lupa garam gula untuk menyempurnakan masakan. Gaul, tutup api, jeng jeng, jeng siap. Senang je."

Kawan-kawan serumah semuanya kagum dengan kebolehan memasak luar biasa yang ditunjukkan Bakre hari itu. Selama ini tak ada siapa pun yang berani memecah tradisi memasak sardin, telur dadar, ikan goreng, kicap. Paling mengagumkan pun, percubaan seorang rakan yang memasak telur, digoreng bersama sardin dengan sedikit lada hitam. Tetapi malam itu, Bakre dengan ayam masak kurmanya, telah mencatat rekod yang baru, yang terlalu sukar untuk kami atasi bagi tempoh waktu yang lama. Mungkin selamanya. Heil Bakre!

Ketika aku dan Bakre keluar dari dapur, semua mata tertumpu kepada mangkuk yang menampung ayam kurma dengan baunya yang semerbak. Harum bagaikan pengantin baru. Asapnya menerawang memenuhi seisi rumah. Aromanya menggiurkan. Bakre mendabik dada dari dalam dapur sehingga ruang tamu. Apabila mangkuk selamat mendarat di atas meja, kami memberikan tunduk hormat kepada Bakre.

"Macam mak aku punya masakan!" Puji seorang kawan sambil mencuri-curi rasa. Yang lain sudah tak sabar untuk menyenduk nasi dan menyudu kuah sehingga licin.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Apr 19, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Penulis Indie TerunggulWhere stories live. Discover now