Prolog I

46 2 0
                                    

Kehidupan seperti apa yang telah aku jalani selama ini? Perkara bagaimana yang telah memenuhkan hari-hari aku sehingga saat ini? Adakah lagi masa-masa yang berbaki untukku? Jika ada, untuk apa pula akan aku gunakannya?

Ruang yang gelap itu, mungkin kematian, telah menerbitkan soalan-soalan, tentang kehidupan.

Dari hujung kegelapan, seseorang dengan pakaian hitam, datang melulu mendekati dan terus berkata kepadaku, "Buatlah sesukamu di masa hidup. Tapi, jangan dilupakan kepada satu hal. Melupakan perkara yang lain, namun masih ingat kepada yang satu, bermakna, kau tidak pernah melupakan apa pun. Tetapi, memenuhkan waktumu melakukan hal-hal yang lain, dan melupakan satu hal itu, bermakna kehidupan kau adalah sia-sia."

Sosok tubuh itu menghilang, masuk ke dalam cahaya hitam, sementara aku terus mencerna, mencari makna pada kata-katanya yang tidak aku mengerti. Tak beberapa minit, ia muncul kembali, keluar dari kegelapan untuk berdiri di hadapanku, memberi sebuah perumpamaan.

"Ibarat sang raja, mengutus seseorang untuk melakukan satu pekerjaan di sebuah tempat. Setelah sampai, seseorang itu bersungguh-sungguh mengerjakan banyak perkara, tanpa henti, tiada mengenal lelah, segela kerja dilakukannya kecuali satu pekerjaan yang diarahkan sang raja. Maka, apabila dia kembali, tak ada satu pun perbuatannya, yang banyak itu, diterima oleh sang raja, melainkan hukuman juga yang dikenakan ke atasnya kerana keingkaran melakukan satu suruhan itu."

"Kau melakukan banyak perkara, tapi meninggalkan satu perkara yang diperintah, maka kau tidak melakukan sebarang apa pun."

Kata-kata itu terus bermain di dalam benak sehingga aku tersedar dan membuka mata, hanya untuk melihat hutan di sekeliling, bersama bau rerumputan menguasai ruang. Namun aku tidak dapat mengingat apa yang telah berlaku. Di manakah ini? Apa yang telah terjadi kepada aku?

Badan terasa sangat lemah. Tangan kiri tak dapat digerakkan. Terasa ada sesuatu yang menyucuk, aku rasa, ia mungkin patah. Aku tak mampu untuk bergerak, kaki terasa keras dan berat. Bersama kesakitan itu, aku menutup mata kembali. Semuanya gelap semula.

"Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, tapi mereka semua enggan memikul amanah tersebut. Mereka khuatir akan mengkhianatinya. Lantas dipikullah manusia akan amanah itu. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh." (33:72)

Bisikan yang kedengaran di telinga itu membuatkan aku terjaga. Terpinga-pinga. Aku di mana? Masih lagi soalan yang sama aku ulangi. Aku tak tahu berapa hari aku tak sedarkan diri. Berapa hari aku terbaring di atas rumput ini.

Ada titik-titik hujan yang turun, membuat aku kesejukan. Sekuat tenaga aku cuba untuk bergerak mencari tempat berlindung, namun badanku tersangat lemah sehingga tak mampu berbuat apa-apa.

Saat itu, hanya kepasrahan yang aku letakkan di hadapan. Melalui detik itu membuatkan aku terfikir tentang kematian, barangkali inilah waktunya, nyawaku akan diambil. Tamatlah sudah hari-hariku di dunia ini. Selamat tinggal kepada semua yang pernah singgah di dalam hidupku. Beginikah pengakhirannya? Tapi, apa yang telah berlaku sebenarnya?

Hawa. Aku melihat Hawa sedang menangis di hadapan sana. Wajahnya basah kerana hujan, namun lebih dibasahi lagi oleh air matanya.

"Hawa! Hawa!" Suaraku tersangkut, tidak mampu didengari. Hawa terus menangis sambil menghulurkan tangannya.

"Hawaa!" Aku mencuba sekali lagi menjerit dengan lebih keras, namun tetap suaraku terkulum di dalam. Tangisan Hawa semakin menjadi-jadi saat melihat aku seperti itu.

Namun sebenarnya, itu hanyalah bayangan. Tiada Hawa di hadapan, atau di mana-mana. Aku di dalam hutan. Yang ada hanya air hujan yang sedang mencurah lebat. Entah sudah berapa hari hujan turun, sehingga mengakibatkan air pada sebatang anak sungai di bawah semakin naik. Ia menyebabkan aku berada di dalam situasi yang tidak selamat.

Penulis Indie TerunggulWhere stories live. Discover now