Bab 1 - Namanya Bakre Bakri

16 1 1
                                    

Kerja menulis novel itu bukan sekadar menulis. Tidak hanya cetusan idea, turun naik plot, klimaks, peleraian dan penutup sahaja.

Aku adalah seorang penulis yang telah lama menyerahkan senjatanya. Semakin zaman menuju kecanggihan, semakin aku pupus dalam dunia penulisan, ditenggelami bangunan pencakar langit yang kejam dan bisu. Aku adalah seorang penulis yang kehilangan kata-katanya, lenyap bersama kudrat kering ketika sedang merenung kehitaman pada coretan kosong di atas kertas putih yang terdampar di atas meja. Aku bagai telah mati berkuburan di dalam satu liang bersama watak-watak yang pernah dicipta, suatu waktu dahulu.

"Kalau begitu, kenapa kau tak berpindah je? Cari tempat yang lebih mendamaikan, yang akan memberikan ketenangan untuk menulis. Kita ini penulis, kawan, kerjanya menulis, bukan mencari alasan untuk menghalalkan kemalasan menulis. Bodoh."

Itu adalah suara seorang sahabat yang selalu berkurang ajar denganku. Namun dia adalah abang, dia adalah teman yang paling rapat denganku. Itulah dia, Bakre Bakri, sedang berada di dalam bilik yang dikhaskan untuk membuat kerja-kerja penulisannya.

Ruang yang ringkas, satu meja, dua kerusi, dan buku-buku disusun bertingkat-tingkat di atas lantai, untuk membangkitkan rasa untuk menulis, menurutnya.

Perihal buku-buku di atas lantai itu telah berkali-kali dibebeli oleh isterinya, Hawa. Namun setiap kali dibebeli, Bakre hanya tersenyum dan membayangkan suara isterinya itu adalah nyanyian paling merdu yang pernah didengari. Kemerduan yang mengalahkan Celine Dion sekalipun.

Kerana Bakre tahu, bebelan itu akan berakhir juga setelah isterinya puas. Satu perkara yang Bakre pesankan kepada aku selepas menjadi suami adalah, jangan sesekali mencelah ketika si isteri sedang berleter. Itu hanya akan memanjangkan lagi bebelan, yang akan melompat dari satu topik ke satu topik, satu isu ke satu isu tanpa hujung.

Sekiranya begitu, jika menulis bukan sekadar menulis, kemudian apa? Soalan itu pernah aku tanyakan tak berapa lama dahulu. Tiada jawapan yang diberikan, cuma Bakre berkata bahawa jika menulis itu sekadar menulis, maka penulis sebenarnya telah tersesat dan akan menyesatkan pula si pembaca.

Aku terimbau zaman semasa Bakre mula-mula menerjunkan diri ke dalam dunia penulisan, di mana dia hanya perlu duduk di hadapan komputer dan lima minit kemudian, curahan ilham berlonggok-longgok jatuh ke dalam raga fikirannya. Bakre akan menelefon dan memberitahu bahawa novel terbarunya akan keluar bulan depan. Aku akan terkejut kerana baru bulan lepas novelnya diluncurkan. "Kau ni menulis ke apa? Cepat benar."

"Ilham tengah ada kawan, tulislah, karang dah beku, termenung je lah." Itu yang sedang terjadi kepada Bakre sekarang ini. Termenung dan menjadi beku di atas kerusinya itu, sebelum mereput, dimakan ulat dan dilupakan.

Bakre sedang melalui fasa, apa yang dipanggil sebagai writer's block. Fasa yang biasa untuk seorang penulis. Cuma, cara menanganinya sahaja yang berbeza. Ada penulis yang terus berputus asa, macam aku, membuatkan cerita-cerita yang telah ditulis, tergantung tak bertali. Ada juga penulis yang bersabar, macam Bakre, tetap menulis dan memadam, menulis kembali, untuk dipadam semula, tulis lagi, padam lagi, begitulah berterusan sehingga ilhamnya kembali menjelma.

Hawa melangkah masuk mendulang segelas susu berasap halus putih terus menusuk rongga hidung. Betapa manisnya wanita itu. Kemanisan yang telah menambat hati Bakre. Kelembutan yang telah mencairkan perasaannya. Seorang isteri yang selalu ingin berada di samping Bakre, namun Hawa mengerti, Bakre lebih memilih untuk bersendiri jika sedang menulis.

"Bertuah kau Bakre." Suatu hari aku berkata kepadanya.

"Semua manusia bertuah, bila pandai menghargai." Jawabnya.

Penulis Indie TerunggulWhere stories live. Discover now