(Abridged) Part 20: Amukan dibakar dendam bertahun

171 5 0
                                    


Amukan Sidek

Sidek yang basah kuyup selepas terjatuh ke dalam sungai akibat disondol tiga ekor lembu jantan pulang ke rumahnya dengan perasaan marah yang tak dapat dibendung lagi. Sakit hatinya terhadap pasangan Suri dan Jamal sudah sampai ke tahap maksima.

"Aku akan musnahkan hidup kamu berdua!" jeritnya ketika menukar pakaian yang didengar Long Sidah yang berada di dapur. Emaknya itu sedar Sidek sedang dibelenggu rasa kecewa selepas mendengar berita Suri ditunangkan dengan Jamal.

"Bawak mengucap, Sidek. Cuba kamu betulkan diri kamu dulu. Insya Allah adalah perempuan di luar sana yang sukakan kamu," nasihat Long Sidah.

Emak mana yang tak sayangkan anak, walau bertapa banyak kegagalan yang dilalui anaknya. Long Sidah percaya dengan dorongan dan kata-kata semangat, Sidek akan dapat memperbaiki dirinya serta mampu membina masa depan yang terurus.

"Apa bezanya kamu dengan Suri? Sama-sama belajar di sekolah sampai Darjah Enam sahaja. Tetapi dia berusaha memperbaiki diri..." ujar Long Sidah.

Namun pada waktu itu Sidek seperti sudah kerasukan. Kata-kata emaknya yang menyayangi tanpa mengharapkan apa-apa balasan langsung tidak dipedulikan.

"Emak tak tahu bertapa hancurnya hati saya dipandang hina oleh Suri dan orang-orang kampung ini. Mereka anggap saya langsung tak berguna," kata Sidek. "Saya persalahkan Suri kerana membuatkan hidup saya menderita."

Nasihat Long Sidah tak mampu menghalang Sidek daripada bergegas keluar dengan sebilah parang yang diambil anaknya dari belakang pintu dapur. Namun wanita itu masih merayu sambil anak bongsunya menghidupkan enjin motosikal untuk ke Warung Rokiah di pekan Mela, "Jangan keruhkan lagi masalah kamu, Sidek."

Sidek bakal mengamuk gara-gara kekecewaannya memiliki hati Suri. Amukan anak muda itu dibakar dendam bertahun. Di dadanya api kemarahan telah menyala-nyala sehingga di matanya terpancar sinar kebencian. Sidek tiba di Warung Rokiah kira-kira jam 6 petang. Di waktu itu, para pelanggan telah berkurang. Dia terus menerjah masuk ke dalam warung tersebut sambil menyepak kerusi meja di dalamnya.

"Mana Suri?! Mana Suri?!" pekik Sidek bagai halilintar. Samihah dan Rahim keluar dari dapur warung dengan rasa berdebar-debar. Mereka langsung tak mampu berkata apa-apa melihat Sidek sedang mengamuk di dalam warung mereka seakan orang yang telah hilang segala pertimbangan.

Sidek meluru ke arah Rahim dengan mengacukan parang ke arah suami Samihah itu. "Aku tanya di mana Suri? Baik kamu jawab. Kalau tidak aku kelar leher suami kamu!" jeritnya kepada Samihah. Seorang pelanggan yang sedang minum kopi di kedai itu berlari keluar kerana takut andai tragedi bakal terjadi.

"Cepat! Aku tanya kamu, mana Suri?" soalnya sekali lagi sambil tangannya mengacah-acah parang ke leher Rahim.

"Suri sudah balik," bisik Samihah. "Dia nak ke Jerantut malam ini dengan Jamal menghantar Zakiah balik ke sekolah."

Mendengar jawapan tersebut, Sidek berlari semula ke motosikalnya. Samihah terus memeluk suaminya. "Kita kena pulang sekarang untuk memberi amaran kepada Suri," kata Samihah.

Sidek tiba di rumah Suri sepuluh minit kemudian. Ketika itu, Suri baru saja sampai dan hendak membasuh kakinya dengan air di tempayan. Sidek lantas menyentap lengan gadis tersebut.

"Suri! Kamu ingat kamu boleh permainkan hati aku," kata Sidek sambil menggenggam lengan Suri dengan kuat.

"Apa ni Sidek?" teriak Suri dengan marah bercampur tersentak.

"Jangan buat-buat tak tahu," jawab Sidek. "Selama ini kamu biarkan aku menaruh harapan. Kemudian kamu pilih jantan lain pulak. Kamu persendakan perasaan aku."

"Kamu lihat aku sebagai lelaki tak guna!" Jamal menjerit marah.

Belum sempat Suri berkata apa-apa, kepalanya telah dihentak dengan belakang parang oleh Sidek lantas pengsan serta-merta.

***

Samihah dan Rahim tiba di rumah tak lama kemudian namun kedua-dua Sidek dan Suri sudah tiada. Long Sidah, Penghulu Ahmad dan beberapa orang kampung juga muncul tak lama selepas itu. Mereka mencari-cari di kawasan berdekatan tetapi kelibat anak Cu Bakar itu langsung tidak kelihatan.

"Ke mana agaknya Sidek melarikan Suri," soal Penghulu Ahmad dengan nada yang amat bimbang. "Hari dah semakin gelap dan kita risau keadaan bertambah rumit untuk Suri," tambahnya. Ustaz Ismail, Cikgu Badrol dan seorang anggota polis juga telah berada bersama-sama mereka mencari di sekitar kampung Temunga.

Bukan manusia sahaja yang risaukan keselamatan Suri. Haiwan-haiwan di tebing Sungai Jelai yang telah lama sedar keistimewaan anak perempuan Bachik itu turut ingin membantu mengesannya. Burung kelingking berwarna hitam dengan paruh kuning pucat yang kerap bertenggek di pohon kekabu di depan rumahnya memanggil kami semua bagi menjelaskan apa yang terjadi. Pada perjumpaan itu, aku duduk di sebelah Chiko si kera dengan tiga ekor lembu jantan bernama Teruna, Aduka dan Jejaka yang keluar dari kandang mereka turut mendengar dengan teliti. Bahkan ular tedung juga ada bersama.

Teruna, Aduka dan Jejaka ditugaskan mencari sehingga ke muara Sungai Cheka manakala ular tedung dan Chiko si kera akan mengesan Suri sehingga ke tebing di Kuala Tembeling. Aku dan burung kelingking pula akan cuba menjejak gadis tersebut dari udara. Kami semua memulakan tugas sebaik arahan diterima. Sedang aku mula berlegar-legar di udara, aku ternampak kelibat Sang Tembaga berenang di hilir Sungai Jelai.

"Tembaga," tegurku sambil perlahan-lahan turun hampir ke permukaan air. "Sidek telah menculik Suri. Beberapa orang kampung sedang mencarinya. Sebilangan haiwan di tebing Jelai juga kini cuba mengesan Suri kerana bimbang Sidek akan mencederakannya."

"Baik," balas Tembaga. "Aku akan membantu kamu mengesannya di sepanjang sungai ini."

Hikayat Suri & Sang TembagaHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin