Hanyut

247 11 0
                                    


Selain Sang Tembaga, seekor kera milik Penghulu Ahmad bernama Chiko yang berperanan sebagai pemetik kelapa serta seekor burung kelingking yang kerap berehat di dahan pohon kekabu, aku juga sering berbual dengan sekawan lembu ternakan Cu Bakar yang kadangkala meragut rumput tidak jauh dari tebing sungai. Namun di kalangan mereka, aku paling senang dengan Timah yang merupakan lembu betina dewasa seberat 5 pikul atau 600 kati.

Dari perbualan dengan Timah serta lain-lain haiwan ternakan manusia, aku mengetahui lebih lanjut mengenai orang-orang kampung terutamanya tentang anak-anak Cu Bakar dan Long Sidah; Jelani, Rasid dan Sidek serta beberapa watak lain yang menjadi tumpuan kisah ini termasuk Rokiah, Bachik, Rahim, Samihah dan tentunya Suri.

Pada tahun 1978, Jelani yang berusia 18 tahun telah menjadi mekanik motosikal sepenuh masa di Kuala Lipis dan jarang pulang ke kampung halamannya. Menjelang Hari Raya Puasa, dia sesekali muncul tetapi itupun lebih kerap menghabiskan masa bersama kawan-kawan lamanya dengan bermain pakau dan berjudi. Rasid pula pada masa itu menuntut di Sekolah Menengah Clifford Kuala Lipis dan bakal menduduki peperiksaan Tingkatan Tiga atau Sijil Rendah Pelajaran. Selain agak cemerlang dalam matapelajaran Bahasa Melayu, dia dikatakan berbakat dalam aktiviti berpidato, bermain biola dan sering terlibat dengan program-program kemasyarakatan di daerah Lipis. Manakala Sidek yang paling bongsu pula telah berusia 10 tahun. Seperti Jelani, Sidek enggan meneruskan pelajaran di sekolah dan bercita-cita mengikut jejak abang sulungnya itu dengan bekerja di bengkel motosikal atau motokar. Di samping itu, Sidek ada menyuarakan hasrat menyertai ayahnya keluar menyuluh namun tidak dibenarkan Cu Bakar kerana masih kecil.

"Ini kerja orang-orang tua. Kamu tak usah menyibuk," ujar Cu Bakar, satu petang ketika dia hendak keluar memburu landak dengan kawan-kawannya. Mendengar jawapan dari ayahnya, Sidek mulalah merengek seperti bayi yang laparkan susu. Kemudian dia memprotes dan 'merusuh' dengan merosakkan batas-batas sayuran yang diusahakan ibunya.

Tiga suku batu dari kediaman mereka, Suri yang mencecah usia 6 tahun mula menunjukkan minat terhadap alam haiwan. Samihah, penjaganya, kerap menerangkan kepada Suri tentang hidupan di kampung mereka sama ada yang diternak manusia atau yang bebas di dalam sungai serta hutan.

Isteri Rahim Acheh yang berusia 26 tahun itu masih belum dikurniakan zuriat kerana suaminya dikatakan mandul. Sudah puas mereka berikhtiar dengan berubat cara kampung namun hajat mereka untuk menimang cahaya mata belum kesampaian. Mujurlah ada Suri yang begitu mesra dengan Samihah untuk menemaninya hampir setiap hari. Mereka berdua gemar makan buah salak sambil memberi makan haiwan ternakan Long Sidah yang sering berkeliaran berdekatan rumah Samihah.

Satu petang, sepupu Samihah, Zabedah yang tinggal di kampung seberang iaitu Kampung Gemunchor dengan anak lelakinya Jamal ─ yang berusia 6 tahun lebih tua berbanding Suri ─ datang berkunjung dengan menaiki perahu jalur yang kemudian ditambat Jamal pada batang pohon jejawi di tebing sungai. Ketika itu, arus sungai agak deras kerana hujan lebat di hulu. Samihah menjemput sepupu dan anak buahnya naik ke rumah sebelum ke dapur bagi menyediakan air kopi buat tetamunya. Tanpa mereka sedari, Suri turun ke tebing sungai lalu menaiki perahu jalur kepunyaan sepupu Samihah itu. Tali yang diikat agak longgar pada pohon jejawi tiba-tiba terlepas, menyebabkan perahu yang dinaiki Suri hanyut ke tengah sungai yang lebar dan dalam itu.

Selepas berusaha mendayung perahu ke tebing sungai, Suri menjerit meminta tolong tetapi malangnya jeritan itu tidak didengar Samihah dan tetamunya. Air sungai membuak-membuak menyebabkan Suri ketakutan sambil perahu kecil yang dinaikinya terus dihanyutkan. Seperti orang-orang lain yang berumah di tepi sungai, anak kecil itu sudah mula belajar berenang tetapi mana mungkin dia mampu melawan arus deras Sungai Jelai.

Tak lama kemudian, Samihah yang sibuk melayan tetamunya mula menyedari ketiadaan Suri. Samihah, Zabedah dan Jamal tergesa-gesa turun dari rumah sambil memanggil nama anak perempuan Bachik dan Rokiah itu.

"Suri! Suri!" laung Samihah. Memandang ke tebing sungai, Samihah lalu menyedari perahu sepupunya tiada. "Ya Allah! Suri dah dihanyutkan bersama-sama perahu," katanya dengan nada cemas.

Sementara Samihah berlari di tebing mengikut aliran sungai, Zabedah dan Jamal mencari Rokiah yang selalunya berada di bangsal menggelek getah kepunyaan Long Sidah. Suaminya Bachik pada petang-petang seperti itu kebiasaannya akan berjalan mencari pucuk nipah muda yang kemudian dijadikan daun rokok untuk dijual. Dalam pada itu, Suri pula semakin jauh dibawa arus menghala ke hilir sungai yang akhirnya bakal bertemu dengan Sungai Tembeling.

Anak kecil itu cemas atau 'kerayan' kerana berada keseorangan di dalam perahu yang bergerak pantas. "Mak! Ayah! Samihah!!" teriak Suri dengan sekuat hati. Sejurus kemudian dia terjun dari perahu dan berusaha untuk berenang ke tepian.

Selalunya pasti ada sahaja orang-orang kampung yang berada di sungai bagi memberikan pertolongan. Malangnya hari itu agak berbeza mungkin kerana cuaca mendung menyebabkan mereka lebih gemar duduk di rumah sambil makan ubi kayu rebus yang dicicah dengan sambal ikan bilis atau ikan masin. Tanpa mereka sedari, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun sedang bertarung nyawa apabila mengambil keputusan nekad untuk terjun ke sungai yang sedang mengganas bagi menyelamatkan dirinya.

Tubuh Suri yang masih kecil akhirnya tidak mampu bertahan. Dia tenggelam namun kakinya terpijak sesuatu yang keras dan berkerutu. Ia menolak Suri yang lemah agar naik kembali ke permukaan air.

Rupa-rupanya, Sang Tembaga turut berada di tebing menyaksikan anak kecil itu hampir lemas dibawa arus deras Sungai Jelai. Buaya jantan sepanjang 15 kaki itu meluncur pantas di dasar sungai menuju ke arah Suri bagi menyelamatkannya. Walaupun Suri lemah dan akhirnya pengsan, dia dapat menyedut kembali udara setelah berada di tebing.

Pada masa yang sama, Bachik yang sedang mencari pucuk nipah muda tak jauh dari situ turut bergegas selepas terdengar jeritan sayup-sayup dari arah sungai. Alangkah terperanjatnya dia apabila mendapati kanak-kanak perempuan dengan pakaian basah lencun yang terkulai di tebing dan hampir lemas itu merupakan anaknya sendiri. Namun tiada pula orang-orang kampung yang berada berhampiran mereka yang bertanggungjawab menyelamatkan Suri.

Bachik kemudian memandang ke tengah sungai.

Nelayan sungai itu kaku apabila mendapati seekor buaya tembaga menampakkan dirinya di permukaan air. Ketika itu, barulah Bachik sedar mungkin buaya itu yang telah membantu menyelamatkan anaknya.

Sang Tembaga terus merenung ke arah Bachik yang sekadar mampu menganggukkan kepala sebagai tanda terima kasih. Apabila Rokiah, Samihah, Zabedah dan Jamal sampai tak lama kemudian dengan menaiki perahu jalur Bachik, dia masih terkejut dan tidak berkata apa-apa selain terus memapah tubuh longlai anaknya.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now