Part 15: Warung Rokiah

160 7 0
                                    


'Warung Rokiah'

Sewaktu berjalan pulang daripada pertemuan dengan Taukeh Lim, Suri terdengar suara yang seakan memanggil dari celah belukar berdekatan stesen keretapi.

"SSSSuri," suara tersebut terus menyebut namanya.

"Siapa di situ?" soal Suri sambil pandangannya tertumpu ke arah celah-celah semak. Samihah tidak bersamanya ketika itu kerana telah pergi menemani Rahim ke kedai membeli barang keperluan dapur.

"SSSuri, aku ular tedung yang kamu ssselamatkan beberapa tahun lalu," suara tersebut berkata. Kemudian, seekor ular tedung sepanjang 8 kaki berwarna hitam kekuningan itu keluar dari belukar bagi menampakkan dirinya. Suri pernah menyelamatkan haiwan tersebut daripada dipukul dengan kayu oleh Cikgu Badrol.

"Apa yang kamu mahu?" soal Suri dengan nada tegas. Bila berdepan dengan hidupan liar, ternyata anak gadis Bachik yang berusia 16 tahun itu tidak menunjukkan dirinya lemah.

"Aku tahu sssiapa yang menyebabkan gerai kamu terbakar," kata ular tedung itu memandang Suri tanpa berkelip. "Malam itu, aku sssedang memburu tikusss tanah berhampiran ssstesssen keretapi ini."

"Aku nampak tiga pemuda bersssembang dekat dengan gerai kamu," tambah ular tedung. "SSSalah ssseorang daripada mereka lalu menyalakan mancisss api dan mencampaknya ke arah gerai itu."

"Siapa mereka?" desak Suri.

"Anak pemburu yang telah mati itu dan rakan-rakannya," jawab ular tedung itu.

Suri terdiam apabila mendengar jawapan haiwan tersebut. "Maksud kamu, Sidek?" soalnya.

"Ya, SSSidek anak pemburu. Dia yang menyalakan mancisss api," jawab ular tadi.

Suri terus bergegas pulang namun berhenti di kediaman Long Sidah yang terletak tiga suku batu dari rumahnya. Selepas memberi salam kepada Long Sidah, Suri bertanya, "Mak Long, abang Sidek ada di rumah?"

"Wa'alaikumsalaam, Suri. Kejap Long panggilkan. Naiklah dulu," jawab Long Sidah yang kelihatan sedikit cengkung selepas kematian suaminya.

Beberapa minit kemudian, Sidek muncul di muka pintu dengan memakai kain pelikat lusuh tetapi tidak berbaju. Dia kehairanan melihat Suri tercegat di halaman rumahnya.

"Hah! Suri, ada apa? Abang tengah berehat sekejap," ujar Sidek sambil tersenyum.

Tanpa membalas senyuman Sidek, Suri lantas bertanya, "Abang Sidek dengan Bulat dan Labu ada di gerai Suri dan Akak Samihah semasa gerai itu terbakar?"

Sidek terdiam. Kemudian sambil tersengih, dia menjawab, "Tak adalah. Malam tu kami semua balik selepas solat Isya'. Siapa yang cakap abang ada dekat situ?"

Merah padam Suri mendengar jawapan Sidek. Namun Suri tak punyai bukti bagi melempar tuduhan kerana maklumat tentang perbuatan khianat Sidek, Labu dan Bulat ke atas gerainya hanya diperolehi daripada seekor ular tedung.

Sidek yang melihat Suri seakan menahan kemarahan lantas bersuara, "Cantiklah Suri apabila marah. Kalau Suri nak berbincang, naiklah ke atas dulu."

Suri terus melangkah pulang ke rumahnya.

***

Sidek sebenarnya telah menaruh hati terhadap Suri semenjak anak perempuan Bachik itu berusia 11 tahun lagi. Tujuannya menuduh Suri sebagai budak pelik ialah supaya budak-budak lelaki lain di kampung Mela tidak merapati Suri.

Setiap hari Sidek memerhati Suri bersama-sama Samihah melintas di depan rumahnya ketika menuju ke pekan Mela. Semakin hari, Suri pada pandangannya semakin jelita. Semasa Sidek berusia 16 tahun, dia pernah cuba merapati anak gadis itu yang kematian ibunya Rokiah.

"Abang sukakan Suri," katanya yang melihat Suri berseorangan menggelek getah keping di bangsal Long Sidah. "Kalau boleh, abang nak Suri sebagai girlfren."

Suri yang ketika itu berusia 12 tahun dan baru sahaja kehilangan emaknya hanya memikirkan bagaimana hendak membantu ayahnya.

"Suri anggap abang Sidek sebagai kawan sekampung," jawab Suri. "Buat masa ini, Suri hanya mahu menolong ayah mencari rezeki."

Sidek berang dengan jawapan tersebut. Dia melangkah lebih dekat dengan Suri dan berniat menarik lengan anak gadis itu. Akan tetapi secara tiba-tiba, kedengaran bunyi burung kelingking riuh di atas bangsal tersebut yang menyebabkan hasrat Sidek tergendala.

"Gila punya burung!" jerkah Sidek lalu beredar dari situ.

Selepas Suri datang ke rumah Long Sidah untuk bertanya tentang penglibatan Sidek dan rakan-rakan dalam insiden kebakaran di gerai, Sidek bertekad memenangi hati anak gadis itu.

"Kamu carilah minyak dagu," ujar Labu ketika Sidek, Bulat dan dia minum di kedai Mela.

Minyak mistikal yang didakwa terhasil dari dagu wanita yang mati mengandung itu dipercayai mampu membentuk ikatan kasih secara tidak rela. Akibatnya, sesiapa yang terkena calitan minyak dagu akan berasa minat dan kasih yang mendalam kepada si pengamal minyak tersebut.

"Hah! Kalau kamu guna minyak dagu ke atas Suri, tentu dia tak boleh tidur malam kerana teringatkan kamu," kata Bulat pula. "Lepas tu dia akan meronta-ronta dan meracau hendak kahwin dengan kamu, Sidek," tambahnya.

"Mana aku nak cari minyak dagu?" soal Sidek bersemangat. Dia bertekad memiliki Suri tanpa menghiraukan betul salah kaedah yang diguna.

Kata Labu lagi, minyak tersebut tidak dijual di kaki lima. Besar kemungkinan, orang yang mendakwa menjajanya di kaki lima menggunakan minyak lain. Minyak dagu asli dipercayai digunakan di kalangan anak-anak muda di selatan Thailand. Maka dua bulan selepas perbualan itu, mereka bertiga bersetuju menaiki keretapi ke Tumpat di Kelantan. Di sana, Sidek membeli apa yang didakwa minyak dagu asli dengan harga tiga ratus tiga puluh tiga ringgit sebotol. Dia juga membawa pulang beberapa biji pil kuda.

Hikayat Suri & Sang TembagaWhere stories live. Discover now