Bertemu Sang Tembaga

290 12 2
                                    


Aku bersua lagi dengan Suri selepas itu ketika mencari makanan di tebing sungai di Kampung Temunga. Setiap kali terserempak dengannya, Suri berkata, "Merah, Merah..."

Jadi fikirku, itulah gelaran yang diberi anak kecil itu kepadaku. Kadangkala Samihah mencampakkan cebisan roti apabila dia dan Suri turun ke tebing sungai. "Burung Rapang Duit ni susah nak cari. Kalau kita tak bela dia elok-elok, mungkin satu hari nanti dia akan hilang terus dari kampung ni," kata Samihah pada satu petang ketika aku sedang mencari serangga berhampiran rumahnya.

Pada usia empat tahun, Suri amat comel sekali. Rambutnya keperangan, lurus serta panjang melepasi bahu. Bulu keningnya lebat dan pipinya kemerah-merahan. Anak kecil itu begitu menggemari hidangan emping beras yang digaul dengan kelapa parut, garam serta gula dari pokok kabung. Selain begitu manja dengan ibunya Rokiah, Suri juga amat selesa apabila di samping Samihah. Aku sering terlihat Samihah dan Suri berjalan menuju ke pekan Mela dan sesekali ke pekan Kuala Tembeling. Akan tetapi, mereka berdua lebih gemar ke stesen keretapi Mela kerana di situlah pelbagai aktiviti berjalan. Selain tempat bertemu orang-orang kampung dan para peniaga menjual hasil tanaman seperti ulam dan sayuran, stesen itu juga menjadi tumpuan terutamanya apabila ada pertunjukan wayang gambar pacak. Begitu meriah keadaan di sana apabila wayang gambar pacak ditayangkan dengan sebilangan penduduk membawa bantal dan selimut sambil baring berlapikkan tikar mengkuang bagi menonton sehingga ke awal pagi.

Sidek yang telah berusia lapan tahun ketika itu juga ke situ bagi menolong Long Sidah menjual petai, jering, buah perah dan pucuk paku walaupun dia lebih banyak menghabiskan masa melastik burung. Jelani pula telah mula bekerja di bengkel motosikal di Kuala Lipis manakala Rasid yang sesekali pulang dari sekolah berasrama di bandar yang sama yang terletak hampir 18 batu dari Kampung Mela, sering duduk di kedai kopi mendengar cerita orang-orang tua. Setiap kali Suri terserempak dengan anak-anak Long Sidah terutamanya Sidek, dia seakan mahu menyembunyikan diri di belakang Samihah.

Suatu hari, Samihah dan Suri pulang daripada membeli barang-barang keperluan di pekan Mela ketika aku begitu asyik mencari makanan di belakang rumah Samihah. Suri menegurku dengan panggilan biasa lantas memberikan cebisan biskut.

"Merah, saya ada biskut nak bagi kepada kamu," ujarnya. Aku pun menghampiri anak kecil itu. Sudah menjadi kebiasaan aku makan biskut Marie di tebing sungai itu malah aku juga sudah tidak canggung mendekati Suri.

Di tebing sungai Jelai, aku turut berpeluang memerhatikan ramai manusia dan ternakan mereka. Aku kerap menjenguk ke arah rumah Tok Penghulu Haji Ahmad yang terletak tak jauh dari situ. Rumahnya riuh rendah terutama apabila anak cucunya datang berkunjung. Ketika itu jugalah anak-anak dan menantu-menantu lelakinya yang sesekali berkumpul, keluar memburu landak, kancil dan unggas di hutan berdekatan.

Namun bukan mereka sahaja yang menggemari aktiviti menyuluh atau memburu kerana ramai orang kampung yang memiliki senapang bagi tujuan menjaga kebun tanaman mereka. Pun begitu, senjata api itu digunakan untuk memburu haiwan yang lama-kelamaan kian pupus dari hutan di daerah Lipis ini atau mungkin telah berhijrah ke daerah-daerah lain.

Turut terletak di tebing sungai tidak jauh dari rumah Tok Penghulu ialah Jeti Kampung Mela yang sering menjadi tumpuan orang-orang kampung yang mudik di Sungai Jelai bagi mendaratkan ikan-ikan sungai serta hasil-hasil hutan untuk dijual di pekan Mela. Selain itu, haiwan-haiwan ternakan orang kampung seperti lembu dan kambing juga kerap ke tebing sungai. Namun aku tak akan melupakan kali pertama aku bersua dengan Sang Tembaga.

Setahun selepas peristiwa banjir 1971 yang melanda daerah Lipis, sedang aku bertenggek di ranting pohon jejawi, aku terpandang sesuatu seperti batang kayu hanyut di sungai. Lama-kelamaan ia seakan kian menghampiri. Apabila diperhatikan dengan teliti, aku lihat sepasang mata pada 'batang kayu' itu yang turut memerhatikan aku.

Hikayat Suri & Sang TembagaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang