PROLOG 1

2.1K 28 0
                                    


Pintu Ford Everest warna merah terselak lebar. Dia turun lalu menutup deras pintu SUV tersebut. Kaki meluru dengan langkah tegas dan tepat. Di sebalik sunglasess matanya menghunus tajam. Menyembunyikan kemarahan dalam renungannya.

Kerja yang sepatutnya selesai minggu lalu tertangguh hanya kerana sebuah masalah kecil. Puas hatinya menyumpah pekerjanya yang lembap menguruskan masalah tersebut dan hari ini dia sendiri perlu turun padang.

" Assalammualaikum Tuan Amru."

Pekerjanya memberi salam namun Amru enggan menjawab. Sebaliknya dia terus bertanya. " Mana orang yang kau tak mampu uruskan tu? "

Si pekerja teguk liur bila terasa aura baran majikannya bagaikan tersimbah ke muka. " Susah sangat nak halang dia, bos. Setiap kali bulldozer kita mula bergerak, dia berlari ke depan. Macam orang tak ingat mati. Lebih rela nyawa terbang."

Amru merengus. " Kau orang dekat sini ada berapa orang? "

" Lima, bos."

" Lima lawan satu? Kenapa boleh kalah? " Amru cekak pinggang. Panas hatinya sepanas terik mentari.

Si pekerja terkulat-kulat tak faham. " Takkan bos nak suruh kami sondol juga lelaki tu dengan bulldozer. Boleh mati dia, bos. Kami tak nak kena mati dekat tali gantung pulak."

Amru ketap gigi. Ketat rahangnya mengawal kemarahan. " Jangan jadi bodohlah, Nazri. Fikir dulu sebelum cakap. Aku tak suruh kau sondol dia dengan bulldozer. Kau ingat aku ada kuasa nak arahkan kau bunuh dia sesuka hati. Cara aku lebih kejam dari itu. Kau tunggu arahan aku nanti. Sekarang mana dia? "

" Mana dia sekarang?? " Amru hampir menjerkah bila Nazri masih teragak-agak hendak membuka mulut.

" Sekarang dia tak ada, bos. Tapi kalau kita hidupkan enjin bulldozer, sekelip mata dia muncul. Bos nekad nak runtuhkan rumah ni? Sebenarnya saya kesian sangat tengok dia."

" Aku tak nekad nak runtuhkan rumah buruk tu. Tapi aku nekad nak bina banglo dekat sini. Listen Nazri, dalam urus niaga dan kerja tak ada istilah kesian. Aku dah laburkan duit beli tanah ni dan aku nak buat sesuai dengan permintaan klien. Lelaki gila tu sepatutnya tahu kuasa yang kita ada. Tanah rumah ni bukannya kita dapatkan secara haram. Kita beli siap dengan perjanjian mutlak. Abang dia dah jual sebelum lari ke oversea."

" Tapi dia cakap abang dia tak ada hak atas rumah ni. Arwah mak ayah dia jadikan dia pewaris tunggal. Abang dia ambil kesempatan jual waktu dia dalam penjara. Baru sebulan dia keluar penjara. Dah sebulan juga dia tinggal dalam rumah ni. Tiba-tiba dia terkejut dapat arahan rumah nak dirobohkan." Cerita Nazri satu-persatu.

Amru peluk tubuh. Berkerut hebat dahinya. " Itu masalah aku ke, Nazri? "

Nazri terdiam sebelum menggeleng perlahan.

" Kerja aku bina apa yang klien nak. Sama juga dengan kau. Takkan sebab kau kesian aku kena tolak projek ni. Kalau kita tak ada projek, gaji kau pun aku tak boleh bayar. Kau rasa alasan kesian relevan? "

Nazri menggeleng lagi.

" Secara logiknya, kau lebih percaya cakap bekas banduan tu atau abangnya? "

Kali ini Nazri mati kata. Buntu pula diberikan pilihan.

Tanpa menunggu jawapan Nazri, Amru keluarkan arahan. " Suruh pekerja lain stand by. Kita nak mulakan kerja robohkan rumah ni sekarang. Pergi hidupkan enjin bulldozer."

Nazri bergegas menyampaikan arahan kepada yang lain. Sejurus enjin jentolak berbunyi garang, keluar seseorang dari pintu rumah yang bakal dimusnahkan. Amru angkat tangan memberi isyarat supaya pekerja yang mengawal jentolak mara ke depan.

Lelaki penuh jambang itu berlari ke depan bulldozer tanpa gentar. Tangannya didepakan depan pencedok jentolak. " Langkah mayat aku dulu! " jeritnya keras.

Amru tergelak besar. Berdekah-dekah. " Aku bagi kau lima minit untuk kemaskan barang-barang kau dalam rumah ni. Kalau kau enggan, semuanya tak dapat diselamatkan lagi. Sementara hati aku masih baik, elok kau berambus dengan sopan."

Bingkas lelaki itu meludah. " Walaupun perlu mati, aku takkan berganjak dari sini! "

Tersengih sinis. Amru sekadar angguk dengan keputusan tersebut. " Nazri! " panggilnya deras. Umpama guruh berdentum di langit.

Terkocoh-kocoh Nazri berlari ke sisi majikannya. " Kenapa bos? "

" Kau dengan tiga orang pekerja lagi halang dia. Jauhkan dia dari bulldozer. Aku nak tunjuk cara aku handle masalah ni depan kau dengan yang lain."

Melotot mata Nazri. " Bos biar betul? "

" Nazri, kita bukan dekat tapak fun fair sekarang. Aku tak ada masa nak bergurau. Lebih baik kau nyahkan dia dari situ." Arahnya lebih jelas.

" Bos, dia tu bekas banduan. Bos tak takut mana tahu sebelum ni dia pernah buat jenayah berat? Boleh hilang nyawa nanti."

Amru merengus. Bengang dengan Nazri yang pengecut. " Aku tak bayar kau untuk bagi nasihat. Aku masih waras sekarang. Ikut arahan aku atau kau boleh letak topi tu dan beredar dari sini."

Sekelip mata Nazri berlari menyampaikan arahan Amru. Kecut dengan ugutan tersebut. Lantas arahan tersebut berlangsung. Empat orang lelaki mengawal seorang lelaki. Menangkap dan memasung pergerakan tubuh lelaki yang nekad itu. Mengheret jauh daripada bulldozer.

" Lepaskan aku!! Aku cakap lepaskan aku! " Bentak lelaki itu sambil meronta-ronta.

Tanpa bertangguh lagi Amru angkat tangan lalu mengisyaratkan jentolak mulakan kerja meroboh.

" Jangan...! Jangan musnahkan rumah aku! " jerit lelaki itu lantang. Sepasang matanya merah menahan tangis dan marah yang menyala-nyala.

Sekelip mata rumah papan itu runtuh menyembah bumi. Amru hembus nafas lega lalu putarkan tubuh. Dia melangkah pergi tanpa menoleh lagi.

Makmum Yang Paling Aku CintaWhere stories live. Discover now