Miya, Johnson dan Cyclop Tunjang

1.4K 35 8
                                    

18 Januari 2018, malam

Aku kepenatan. Terlalu penat.

Setibanya di hostel Lejen malam itu, tiada apa yang aku mahukan selain menghempas tubuh ke tilam dan beradu. Tapi apabila aku tiba malam itu, pintu ke hostel dapur ditutup.

Aku mula curiga.

Otakku berfikir ligat sepanjang mendaki tangga-tangga naik ke atas. Mata tajam memerhati pintu yang sepatutnya tak perlu ditutup itu. Mengapa hati mula terdetik rasa tak enak? Otak yang tadi letih kini kembali menggerakkan gear, mencari punca keadaan yang mencurigakan ini.

Perlahan-lahan pintu itu aku selak, cuba mengintai ke ruangan dalam. Tapi sebaik ia terkuak separuh, muncul beberapa enemies dari ruangan pantry, terus menghentamku. Tangan yang tadi sudah keletihan tak punya masa untuk bersenang-lenang.

Aku terpaksa kembali beraksi demi kelangsungan nyawa.

Bilah demi bilah panah sakti aku curi-curi lepaskan ke arah enemies sambil kaki cuba multi-tasking – menapak turun untuk melarikan diri dan mengelak daripada tergolek. Tapi kuantiti enemies yang banyak mengganggu fokus lalu sukar untuk aku hadapi sendiri, apatah lagi dengan kudrat yang tinggal nyawa-nyawa ikan.

Aku terus meluru ke pintu hadapan. Aku mesti melarikan diri atau bersembunyi.

Sebaik aku melangkah keluar, Bruce Mie muncul bersama Totek dalam satu tank. Bruce Mie yang sedang memandu tank langsung tak perasankan aku yang melambai, lalu aku menjerit memanggil Totek yang sedang melepaskan buih ajaib ke arah enemies yang mengejar mereka.

Dia menoleh sekilas dan menyahut, "Nak apa?!"

Aku kejar tank yang dipandu kelam-kabut oleh Bruce Mie. "Tunggu! Nak tumpang!" Dan serentak, buih ajaib daripada Totek dilepaskannya ke arah belakangku – ada enemies yang sudah begitu hampir denganku. Aku berpaling dan menghabiskan nyawa enemies terhampir denganku sebelum kembali mengejar mereka.

"Weh! Tunggu!" Aku memanggil lagi, semakin cuak apabila tank itu makin jauh.

"Tak muat dah!" Totek membalas sebelum tank itu membelok ke celahan bangunan-bangunan yang terbakar di sepanjang jalan besar dan menghilang dari pandanganku, membawa bersama harapanku untuk selamat daripada dibelasah enemies.

"Tak guna!" getusku marah dan kecewa. Aku dengar tapak-tapak kaki enemies sudah kembali menghampiri. Mataku yang mula berair – gara-gara sedih ditinggalkan rakan sepasukan – cuba mencari tempat untuk persembunyian, lalu terpandang satu ruangan tertutup di hujung jalan.

Sebaik aku masuk ke kawasan yang aku sangkakan terbaik untuk aku menyorok, aku terus dikelilingi minion-minion enemies. Aku mahu berpatah balik tapi enemies sudah mengepung dari belakang. Tiada lagi ruang untuk aku menyelamatkan diri. Aku sudah terperangkap.

Dan aku terjaga.

PREVIU || Jurnal Mimpi 1: Dan Aku TerjagaWhere stories live. Discover now