Merentas Laut

22.7K 369 14
                                    

Pertengahan Ogos 2015

Padang pasir. Askar-askar seragam kuning pasir bersama senapang dan mesingan di tangan. Kereta kebal dan trak-trak menyusur keliling. Aku dan sepupuku, Sofiah, berada di antara semua entiti asing ini.

Salah seorang askar datang menghampiri kami dan aku tarik Sofiah ke belakangku. Suasana ini sangat mengganggu emosiku; suasana peperangan dan dikepung askar-askar yang menggerunkan.

Entah bagaimana, Sofiah sudah berdiri di sebelah askar yang menghampiri kami tadi. Wajah Sofiah pucat dan ketakutan, matanya bergenang memandangku. Aku tahu wajahku turut mencerminkan emosi yang sama.

"Ambil ni dan tembak dia." Arah askar itu sambil menghulurkan senapangnya pada Sofiah. Terkebil-kebil matanya memandang lelaki itu, dan senapangnya, bergilir-gilir. Kemudian, dia toleh ke arahku dengan wajah menahan tangis.

"Kak Maria." Sofiah menutur namaku dengan suara terketar-ketar.

"Ambil dan tembak dia! Cepat! Atau aku tembak kau berdua!" Ugut askar itu lagi dan terus ditolak senapangnya kepada Sofiah. Sofiah, dengan tangan menggigil, mengambilnya.

"Cepat!" Jerkah askar itu lagi sambil menghalakan satu senapang lain ke arah Sofiah. Sofiah terus menangis teresak-esak sambil dipaksa menghalakan muncung senapang itu ke arahku.

"Kak Mariaaaa, Piaaa minta maaf....." Sofiah perlahan-lahan tutur dalam tangisannya. Sekumpulan askar-askar itu sudah mula tertawa, dan lelaki yang berdiri di sebelah Sofiah itu terus menolak Sofiah ke depan, agar muncung senapang di tangan Sofiah boleh ditarget tepat di antara mataku.

"Sorry...." Sofiah bisikkan di bibirnya dan aku anggukkan kepalaku.

Aku tak tahu bila masa aku melutut, sedar-sedar saja rupanya aku sudah begitu. Aku kaku dan terpaku, tak mampu mengucap sepatah kata pun. Tak pernah aku bayangkan aku akan mati dalam keadaan ini.

Beberapa saat sebelum picu senapang itu ditarik, aku sempat terfikirkan semua nyawa yang pernah diragut dengan sebegini kejam di medan peperangan. Nyawa-nyawa mereka yang tak bersalah. They'd been in this situation before, and right now it's my turn.

It's my turn. Dan bunyi tembakan senapang itu dilepaskan tertancap di telingaku. Kepalaku tertujah ke belakang ditolak peluru menembusi tengkorak, bergegar dan menyembah bumi. Sempat aku lafazkan syahadah di dalam hati bersama linangan airmata, menerima ajalku.

Gelap. Mataku terpejam rapat. Aku menunggu detik rohku diangkat ke langit, terbang pergi meninggalkan jasad yang sudah kaku. Terasa tubuhku dibungkus ala kadar dengan kain serupa pocong, dan diangkat 2 manusia di hujung kaki dan kepalaku.

"Campak dia ke gaung sana." Aku dengar arahan askar tadi teliti. Begitukah nasib jasadku? Dibiar mereput di celah gaung? Atau mungkin diratah binatang buas?

Aku dibawa pergi bersama kekeliruan yang belum habis. Bilakah rohku akan bercerai dari jasad?

Tiba-tiba saja suasana berubah menjadi hingar-bingar. Aku diletakkan kembali ke tanah dan bungkusanku dibuka. "Awak! Cepat larikan diri!"

Hah? Larikan diri?

"Cepatlah! Nanti mereka nampak!" Suara itu berbisik keras lagi. Aku buka mataku, terpinga-pinga. Kenapa aku masih mampu melihat? Kenapa aku masih terasa degupan jantungku? Kenapa aku masih bernafas?

Dua perempuan lengkap berjubah dan berniqab hitam terus berlalu pergi dan aku berdiri memandang keliling. Manusia berlari-lari, askar mengejar bersama senapang dan kereta kebal. Ini peluang aku untuk lari, jadi aku lari.

Aku lari dan lari dan lari, hingga aku tiba di satu sungai/tasik yang lebar. Sekali pandang seperti laut. Aku nampak tanah di seberang sana, tempat orang melarikan diri mungkin. Aku terus turun ke tebing dan terserempak dengan Zura, seorang bekas rakan kelas sewaktu di sekolah rendah.

"'Maria! Zura tak pandai berenang!" Zura menangis, panik. Aku ambil tangannya dan berkata, "Tak apa, Maria ada. Jom, kita seberang ke sana, pegang Maria kuat-kuat!"

Serentak itu, kami terjun ke dalam air bersama bunyi-bunyi tembakan dan letupan di belakang. Aku tak tahu bagaimana aku boleh tahu berenang, tapi aku boleh berenang saat itu, merentasi lautan coklat itu untuk ke seberang sana bersama Zura kuat berpaut di pinggangku.

Setelah tiba di seberang, kami panjat dinding tebing itu dan tersergamlah kehijauan daun padang di atas Dataran Pahlawan. Kami tersenyum lega.

Dan aku terjaga.

PREVIU || Jurnal Mimpi 1: Dan Aku TerjagaWhere stories live. Discover now