Bab 1

2K 33 0
                                    

PERKAHWINAN bukannya akhir sebuah hubungan tapi ianya permulaan satu perjalanan yang panjang.

Berapa panjang?

5 tahun?

10 tahun?

30 tahun?

Atau sehingga terhentinya denyutan nadi?

Sebenarnya, jarak masa bukanlah isunya di sini kerana di akhir ceritanya nanti, yang kita perlu tahu ialah kemampuan kita untuk memenuhi kehendak pasangan.

Ya! Kehendak pasangan.

Benar.... perkahwinan aku dan Hud belum mencecah setahun. Tapi dalam tempoh itu, aku sudah rasa penat menepis persoalan orang sekeliling.

Bila soal anak ditimbulkan, aku sudah terasa kekurangan diri. Sudah terasa yang Hud akan diberi peluang untuk membuat pilihan sekali lagi.

Sebab aku tahu, ada kehendak Hud yang masih belum mampu aku tunaikan. Cumanya, dia sangat pandai melencongkan topik bila setiap kali timbul isu tersebut.

"Belum setahun lagi, mummy. Hud belum puas bermanja dengan isteri." Selalu pun, itulah jawapan Hud apabila diasak soal anak. Dan yang selalu mengasak sudah pastilah mummynya.

"Ada anak tak semestinya tak boleh bermanja. Kalau Airis tak mahu jaga, hantar aje ke sini, biar mummy jaga."

Sudahnya, nama aku juga yang dipetik untuk menggambarkan sisi buruk. Seolah akulah yang tak mahu anak. Kalaulah anak itu boleh dibeli di mana-mana pasar, dah lama aku pergi beli.

Tapi, yang aku mampu cuma diam dan diam. Selalunya, bila setiap kali Hud beri alasan begitu, mummy akan diam. Tapi tidak untuk malam ini.

Aku dan Hud dipanggil untuk makan malam di rumah keluarganya atas sebab ada hal penting yang mahu dibincangkan.

Dan aku sudah dapat rasakan hal yang mahu dibincangkan itu ialah hal anak.

Rupanya, soal anak tidak pernah akan terhenti selagi kita yang sudah berkahwin ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Mungkin memang lumrahnya begitu. Kalau tak berkahwin, sibuk tanya bila nak kahwin. Bila dah kahwin, sibuk pula tanya bila nak ada anak. Agaknya bila kami dah ada anak nanti, ada lagi soalan bila nak tambah anak?

"Kalau kami dah ada anak nanti, Airis akan berhenti kerja." Jawapan Hud memanggil aku berpaling. Bila masa pula kami pernah berbincang hal tersebut?

"Nanti tu bila? Jangan nanti Adif yang bagi mummy cucu dulu."

Serentak semua mata menghala pada Adif yang sejak tadi diam. Waktu itu, kami duduk di ruang tamu menikmati kopi setelah selesai makan malam.

"Dah tetap tarikh ke?" Hud ajukan soalan dan Adif angguk sebagai jawapan.

Aku pula tercengang sendiri. Tarikh apa?

"Ni yang mummy nak bincang. Adif kata pihak perempuan nak buat dalam masa terdekat."

"Kenapa nak tergesa-gesa?"

Sekali lagi, semua mata beralih pada Adif.

"Jodoh dah sampai." Mudah sungguh jawapan Adif. Tapi kenapa aku perasan matanya menjeling ke arahku?

Kalau betul jodoh dia dah sampai, Alhamdulillah. Aku doakan moga dia bahagia dunia akhirat.

Tapi, saat ini aku terasa sikit kecil hati. Yalah! Semua orang tahu Adif akan berkahwin. Cuma aku saja yang tak tahu apa-apa.

LELAKI TERAGUNGWhere stories live. Discover now