part 3[peminat rahsia]

405 27 2
                                    


"Saya tidak benarkan awak berdua pergi ke konsert berkenaan!" Pengumuman Fasha itu berjaya membuatkan Fazura dan Diana terlopong besar seluas terowong Karak.

"Mengapa pula tidak boleh? Kami bukannya hendak buat apa. Mahu tengok konsert sahaja!" Fazura membantah keputusan Fasha. Jelas terpancar perasaan tidak puas hati di wajahnya. Sudahlah dia tidak pernah menghadiri mana-mana konsert. Apabila peluang terbuka di hadapan mata, keinginannya disekat pula.
Lama Fasha mendiamkan diri sebelum bibirnya sedikit demi sedikit mengukirkan senyuman penuh misteri.
"Saya tidak benarkan awak berdua pergi ke konsert berkenaan tanpa saya! Sampai hati tidak ajak saya. Saya juga mahu ikut sama!" Kata-kata Fasha itu membuatkan Fazura dan Diana berpandangan sesama sendiri dengan wajah kehairanan.
"Sejak bila pula awak minat Kpop, Fasha? Setahu saya awak kurang gemar dengan artis yang berasal dari Asia." Diana berkerut-kerut dahi cuba menghadam pengumuman Fasha yang mahu menyertai mereka menonton konsert artis Kpop Bang Bang itu.

"Saya memang tidak minat dengan Kpop. Tetapi, saya kenal dengan G.G.D. yang awak berdua maksudkan. Setahu saya, dia merupakan artis terkini yang dilantik menjadi juru cakap jenama Burberry di Asia. Bulan lepas, sewaktu saya di Jepun saya ada terlihat poster iklan Burberry yang memaparkan wajahnya. Memang sungguh bergaya dan mengancam habis! Tambahan pula, saya dapat tahu dia itu ada darah kacukan Amerika. Sejak itulah saya terus jadi peminatnya juga." Panjang lebar Fasha menjelaskan sebab dirinya turut terjebak dengan dunia Kpop. Bagi Fasha, jika seseorang artis itu terpilih menjadi jurucakap jenama mewah antarabangsa, pasti dia mempunyai aura yang luar biasa.

"Wah, tidak sangka betul! Baguslah kalau begitu! Lebih ramai lebih meriah." Diana bertepuk-tepuk tangan tanda kegembiraan. Wajah Fazura juga serta merta berubah lega.

"The Wannababes yang lain macam mana? Ada yang mahu menyertai kami juga? Bolehlah kita buat rombongan ke konsert berkenaan." Mendengarkan soalan Fasha, ahli The Wannababes yang lain berpandangan sesama sendiri. Serba salah mahu menjawab soalan tersebut. Maklumlah, mereka semua bukannya minat dangat dengan artis Kpop. Mereka sendiri tidak menyangka bahawa Fasha akan bersetuju menyertai Fazura dan Diana menyaksikan konsert artis Korea itu.

"Tidak mengapalah, Fasha. Kami semua tidak kenal langsung dengan artis-artis Kpop yang berwajah jambu ini. Awak bertiga sahajalah yang pergi." Shasha menjawab bagi pihak The Wannababes lain yang laju mengangguk macam burung belatuk. Nasib baik ada Shasha sebagai orang tengah. Jika tidak, tentu mereka semua juga akan dipaksa menonton konsert tersebut.

"Kalau begitu, marilah kita cepat-cepat membeli tiket konsert mereka. Jika tidak nanti semua habis kita juga yang kempunan." Fazura segera mencapai telefon pintar miliknya lalu membuka laman web konsert seperti yang tertera di dalam majalah hiburan tersebut.

"Eh? Nampaknya ada beberapa jenis tiket yang dijual berbeza-beza mengikut tempat duduk. Ada tiket normal, zon kelab peminat, VIP, dan juga backstage entrance. Hmm...hendak pilih yang mana satu?"

Bersambung...

[ Cⓥ ] The Wannababes Dan Misteri Perculikan Bintang Kpop™ | CC StoryOnde as histórias ganham vida. Descobre agora