Bab 15 : Penemuan

347 37 15
                                    

Keadaan di Pusat Kawalan QASA sedikit bingit, seperti biasa. Langkah-langkah pantas pada lantai besi dan suara para manusia berfon telinga menjadi lagu wajib didengari di situ.

Berbaris-baris meja diduduki operator-operator, lengkap dengan komputer. Jemari mereka asyik menari pada papan kekunci, sambil mulut pun sibuk mengomel sesuatu. Skrin besar di hadapan bilik juga sesekali dipandang mereka.

Via pintu utama berpengawal, muncul seorang lelaki bertali leher. Dia berjalan ke tengah-tengah laluan, memerhati para operator yang sibuk di barisan meja kiri dan kanannya.

Lelaki berumur 50-an itu disapa seorang operator lelaki muda.

  "Tuan, krew misi sudah tahu bahawa Adventure diprogramkan untuk memastikan mereka semua sampai ke Pluto."

  "Mereka telah cuba balik ke Bumi?"

Operator itu mengangguk pantas.

Keluhan dilepas En. Khairul Bakri. "Maklumat lain?"

  "Natasha dan Dr. Andrew dalam keadaan baik. Keadaan Muhd Hafiz semakin parah. Raja Izzuddin Shah pula mungkin akan mendedahkan penemuannya."

Lelaki itu agak tersentak. Skrin di hadapan ditenungnya. Semua data berkenaan Adventure terpapar pada skrin. Gambar-gambar, malah video beraudio juga ada pada skrin.

Ada video baru diterima. Ia dimainkan, memapar krew misi sudah sampai di Enceladus. Dia tahu, video itu merupakan video dua jam lepas. Sungguhpun menggunakan kelajuan cahaya untuk penghantaran data dari Adventure ke Bumi, ia mengambil masa 2 jam untuk sampai ke Pusat Kawalan, kerana jarak Bumi-Enceladus adalah kira-kira 2 jam cahaya.

Jadi, mereka tidak mampu untuk mengetahui perkembangan krew misi yang seterusnya, secepat yang boleh.

En. Khairul Bakri melontar anggukan ringkas, lalu dengan segera operator itu beredar pergi.

  "Budak itu sudah rasa bersalah kerana merahsiakan penemuannya..."

Monolognya tenggelam dalam kebisingan pusat kawalan.

Wajah lelaki itu semakin serius, menampakkan lagi kebengisan durjanya.

***

"Fithri tidur."

  Tanpa disoal sesiapa, Natasha memberitahu semua sambil dia melangkah perlahan masuk ke bilik graviti. Dia duduk di sebelah Andrew, menghadap para juniornya.

  Semua ahli krew sudah berada di situ. Masing-masing duduk di meja bulat putih, di dalam bilik yang telah diaktifkan gravitinya. Wajah-wajah tampak sugul.

  "Raja."

  Hani dipandangnya.

  "Please... Say something."

  Raja kembali merenung meja. Dia tak tahu hendak mula dari mana. Berita yang hendak dia sampaikan, pastinya akan merobek hati mereka semua. Raja rasa bersalah hendak memberitahu - namun dia rasa bersalah juga merahsiakan perkara ini.

  "Aku... Aku ada benda hendak beritahu."

  "Well, of course! Kalau tak, kenapa kau nak kita semua berkumpul di sini?"

  "Qilah...,-"

  "Kau senyap, Ansar. Jangan bercakap dengan aku."

  Ansar mengurut pelipisnya, memujuk dirinya bersabar.

  Izzah menghidangkan bermangkuk-mangkuk mi sup daging. Kutleri diedarkan. Apronnya dibuka lalu duduk bersama di meja.

  "Hafiz... Hafiz akan okey?"

PlutoWhere stories live. Discover now