Bab 11

366 26 5
                                    

"Aku nak cakap apa lagi dengan dia, Edayu. Dia saja tak nak faham," Jelita mengadu pada Edayu yang muncul malam itu bersama risalah pelancongan ke Vietnam. Tiket penerbangan murah sudah dibelikan Raha, Jun nanti mereka akan berlepas pergi!

Apa yang sudah terjadi antara dia dan Norman termasuk dalam perbualan mereka gara-gara beberapa jambangan bunga yang memenuhi rumah Jelita.

Edayu menguntum senyum. Kasihan Jelita. Sukar juga jadi orang secantik dia, fikir Edayu yang tidak sedar dia sendiri tidak kurang ayunya.

"Dia nak ke peringkat yang seterusnya la tu. Kau tak mahu ke jadi girlfiend dia? Comel apa Norman tu. Kalau aku, aku 'on' je," pujuk Edayu sambil ketawa.

Raha yang disebelah mereka ikut ketawa. "Sama lawalah kau berdua kalau jadi 'couple', Ellie pun pernah cakap perkara yang sama masa kita di U dulu," sambungnya.

"Ha! Sebut nama aku ya!" tegur Ellie yang selesai menghidangkan jus oren yang dibawa dari rumahnya untuk disantap bersama brownies yang dikukus Edayu siang tadi.

"Tak, dulu kau pernah kata 'couple' yang lagi comel daripada Mun dengan Mas ialah Jelita dengan Norman, kan?" kata Raha mengingatkan.

"Oh, ya, masa tu kita di semester tiga kan? Aku baru jadi saksi Jelita jadi lady in shining armour Norman waktu tu. Jelita tenyeh hidung mamat tu. Norman pula tak menolak. Sesuai betul rupa Norman diangkut dek Jelita ke klinik. Tengok-tengok, ada siaran ulangan rupanya," Ellie mengusik dan dua lagi ketawa.

"Siaran tertunda la!" tambah Edayu. Yang dua orang lagi sambung ketawa.

Jelita tidak ikut serta.

"Apa salahnya kau ajak saja dia keluar Jelita? Dia nakkan peluang kedua la tu.. Sebab kali pertama dulu dia terlepas peluang. Kalau aku jadi dia memang merana, dekat 10 tahun berlalu baru tahu yang rupanya awek paling cun dalam batch kita pernah ajak keluar.." Raha menganalisa.

Edayu memandang Ellie. "Ellie, kau kata Norman pernah jumpa kau sekali lepas dia balik sini. Apa dia cerita?"

Ellie terkedu sekejap. "Ugh, dia macam tahu je aku ada hati pada Izzat Affan, beriya galakkan. Kan 'best buddy' dia tu boss aku! Dia kata Izzat tu senpai paling baik la, setia la, takkan kecewakan aku la," adu Ellie tak puas hati.

"Eh, melalut hal Izzat pula. Maaf ya. Ah Jelita, dia ada kata yang dah sampai masanya aku, dan dia juga, serahkan hati pada orang yang layak dibahagiakan.. Aku rasa sekarang dia dah jumpa calonnya.. Ehemm.." kata Ellie penuh makna.

"Ah, boleh percaya ke kau ni Ellie, kau tengah mabuk suka pada Izzat entah-entah tak dengar apa yang Norman bebelkan. Tapi aku pun rasa Norman nak jadikan kau calon teman istimewa la Jelita," usik Edayu.

"Aku tak mahu lah jadi calon sesiapa. Aku nak bujang sampai ke tua. Bercinta ni akhirnya membunuh hati sendiri je," bantah Jelita degil.

"OK, OK. Dah cukuplah kita dera Jelita. Kita ke Vietnam untuk raikan status bujang kita OK?" kata Raha yang tak tahan lihat muka sedih Jelita.

****

Petang Jumaat itu, Jelita dan sepupunya sedang melangkah ke keretanya yang diletak di Jusco Maluri. Nak ke Rumah Keluarga Besar malam nanti, mestilah bawa buah tangan. Jelita memang rindukan Ishaq dan Anis yang bijak serta Q, Wirda dan Mohsein yang berbakat itu.

Ternampak pula seorang wanita yang agak berusia terkial-kial mengelilingi kereta Honda yang terletak di sebelah kereta Jelita. Tangannya penuh barang.

"Assalamualaikum Auntie, kenapa tu?" tegur Jelita.

Wanita itu cemas saja rupanya. "Waalaikumsalam! Ni ha, kunci kereta tertinggal dalam kereta, tahu-tahu dah terkunci di luar," kata wanita itu.

Jelita dan sepupunya Mila terus jatuh kasihan. Dahlah wanita itu membawa banyak barang basah. Mila terus membantunya dengan mengangkat barang sambil Jelita cuba melihat ke dalam kereta mencari kunci. Di tempat duduk pemandu diamnya.

Gadis PenyelamatWhere stories live. Discover now