Bab 9

355 28 7
                                    

Di University of The Philippines, Jelita menghela nafas lega. Hasil seni pelajarnya yang rosak dalam penerbangan berjaya dibaiki dengan pantas dan dihantar kepada pihak urusetia pertandingan tepat pada masanya.

Esoknya, mereka diumumkan sebagai pemenang pertama bagi kategori arca. Walaupun tidak berjaya mendapat hadiah utama, pingat yang dirangkul setelah berentap dengan 41 negara Asia yang lain sudah cukup bermakna bagi Jelita. Pelajar-pelajarnya yang empat sekawan itu pula dapat tajaan sebanyak USD5,000 seorang untuk mengikuti kursus pencetakan 3D di Jepun tajaan Riicoh selama sebulan.

Malam sebelum berlepas pulang ke KL, Jelita menelefon Ellie.

Jelita: Ellie, kau dah sihat?

Ellie: Jelita! Aku ada berita sikit ni. Aku kemalangan kelmarin. Maaflah tak dapat jenguk rumah kau.

Jelita: Hah?! Kau cedera?

Ellie: Kepala dengan bahu lebam, lutut kanan aku luka, tu je. Cedera kategori pesakit luar.

Jelita: Syukur kau OK. Tak payah risaulah tentang rumah aku. Aku turun je di KLIA nanti, aku terus ke rumah kau OK?

Ellie: Boleh juga! Sayang kau Jelita.

Jelita: Tahulah... Dah, rehat!

****

Ellie baru selesai menceritakan. Bekas teman lelaki Intan, rakan sepejabat Ellie rupanya yang melanggar kereta Kancil Ellie di depan balai polis. Ellie dan Intan cedera ringan. Tapi sebelum itu Intan dan Ellie sudah bergaduh pula tu dengannya. Drama habis!

Malamnya pula di hospital, Ellie dan Intan yang baru lepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dijemput pulang oleh abang Intan - Luth Izhar - dan jejaka yang Ellie suka - Izzat Affan - yang juga merangkap majikan dia.

"Lepas tu, apa jadi?" tanya Jelita pada pukul 8 malam, hari Jumaat esoknya. Dua orang wanita berusia 33 tahun itu sedang melepak di sofa rotan ruang tamu Ellie sambil menjamah kopi dan biskut kering, kononnya berdiet.

Ellie tergelak. "Esoknya tu, pagi-pagi Izzat Affan dah tercegat depan pintu rumah ni bawa aku sarapan sebelum dia ke pejabat. Comelnya dia, Jelita.. Tengah hari pula, Luth, Intan, Izzat Affan, semuanya datang ke rumah aku macam berpakat pula. Serba-salah aku melayan tapi ditawar aiskrim sedap takkan nak ditolak pula," ceritanya pada rakannya yang telah bergegas ke rumahnya sebaik sahaja sampai dari Manila.

Mereka ketawa lagi. Jelita teringat Luth dan Intan yang memang tak sebulu. Walaupun dah bergelar profesional (Luth arkitek, Intan pula pereka kanan di syarikat rundingan milik Izzat Affan) bila semeja kecoh macam ada budak berusia 11 tahun bergaduh dengan budak 9 tahun.

Tapi bila diletak Ellie, Intan, Luth Izhar dan Izzat Affan semeja, ada ketegangan yang sukar diceritakan antara mereka semua.

"Luth berusaha keras ambil hati kau ya?" usik Jelita.

"Aku rasa dia jadi begitu sebab aku tak mahu 'date' dia saja. Muda sangat." Mudah Ellie menolak, dan Jelita tahu kenapa.

"Betul, yang sesuai dengan kau Izzat Affan. Baiknya dia sanggup datang dua kali sehari," komen Jelita cuba menangguk reaksi Ellie.

Sewaktu dia sampai lebih kurang sejam setengah sebelumnya, dia terserempak dengan Izzat Affan yang menghantarkan makanan untuk Ellie. Mereka sempat berbual sebentar sahaja kerana lelaki itu mahu memulakan perjalanan pulang ke Terengganu.

"Jelita, tolong tengok-tengokkan kawan kita tu OK? Nampaknya awak seorang saja yang dia sudi beritahu. Risau pula kalau dia berseorangan sampai hujung minggu," sempat Izzat Affan berpesan.

Gadis PenyelamatWhere stories live. Discover now