"DIA orang balik ke rumah, bos," lapor salah seorang lelaki yang mengekori Erin dan emak ayahnya kepada Badrul.
"Ikut perempuan muda tu ke mana dia pergi. Jangan alpa!"
Tanpa sepatah kata lagi, Badrul memutuskan panggilan. Dia menyerahkan telefon bimbit itu kepada tuan punyanya. Jururawat pelatih itu tersenyum manja sambil membelek gelang emas yang dihadiahkan oleh Badrul kepadanya sebentar tadi. Berbunga hatinya bila Badrul mengakui sudah jatuh cinta padanya dan ingin menyuntingnya sebagai isteri.
"Terima kasih, sayang sudi tolong abang." Badrul menarik tangan jururawat pelatih itu, lalu diciumnya kekura tangan gadis berusia 19 tahun itu.
"Sama-sama. Abang cakap je abang nak apa. Saya akan buatkan untuk abang," ikrar jururawat pelatih itu sebelum cepat-cepat berlalu dari situ. Masa bertugasnya sudah lama habis. Nanti anggota polis yang bertugas di luar syak pula jika dia berlama-lama di dalam bilik Badrul.
Terbaring merenung siling sambil berfikir. Esok dia akan terima saman daripada Erin. Apa yang patut dia buat apabila dia terima saman itu? Hmm... apa yang patut dia buat?
Pintu bilik wad itu dibuka dari luar. Sebaik sahaja melihat seorang staff nurse melangkah masuk, Badrul terus menjerit dan berkelakuan seperti orang gila.

SEBAIK sahaja habis kerja, Sam terus ke Meru Jaya untuk mengambil Uja. Sangkanya dia akan berdepan dengan tentangan hebat daripada Ati tetapi dia jadi keliru apabila Ati tidak membantah langsung semasa dia memberitahu Ati akan hasratnya untuk membawa Uja keluar sekejap. Malah, Ati mengizinkan Uja tidur di rumah Sam jika Sam mahu. Hairan Sam dengan perubahan sikap Ati itu tetapi dia menganggap Ati berkelakuan baik kerana tidak mahu mengeruhkan lagi suasana. Yang susah nanti, Ati juga.
Senang hati, Sam membawa Uja makan dahulu. Sebenarnya dia yang lapar. Di kedai makan itu dia perasan Uja tidak seceria semalam. Uja sugul. Seperti orang yang ada masalah sahaja.
"Ja... kenapa ni?"
Uja menggeleng dan menyuap nasi ayam yang hanya luak sedikit sahaja sejak dari tadi.
'Makan pun tak nak. Berat ni,' fikir Sam. "Mama pukul Uja ke malam tadi?"
"Mana ada!" Uja menjawab tanpa memandang ke arah Sam. Suaranya bernada defensif. Air mukanya juga semakin kelat.
Sah ada sesuatu yang tidak kena dengan Uja! Hilang terus rasa senang hati Sam. Tidak sabar pula dia rasa hendak mengajak Uja keluar dari kedai makan itu agar dia boleh memeriksa seluruh tubuh badan Uja. Hendak mencari lebam baru dicubit oleh Ati. Merenung Uja, baru Sam teringat yang Uja tidak memandang ke arahnya sejak dari rumah Ati lagi. Semasa bersalaman dengannya pun Uja tunduk sahaja. Tidak beria-ia mencium tangannya seperti biasa.
"Uja ada masalah ke?" soal Sam. Terasa pelik pulak dia mengajukan soalan seperti itu kepada budak berusia enam tahun tetapi macam mana lagi dia hendak bertanya tanpa menyebut nama Ati dalam soalannya, meskipun dia tahu punca masalah Uja ialah mamanya sendiri. Cuma Sam tidak tahu apa yang telah Ati lakukan pada anaknya itu sehingga membuatkan Uja begitu murung.
Uja tidak menjawab soalan Sam. Dia buat tidak tahu sahaja, seolah-olah Sam tidak bertanya apa-apa. Hati kering betul. Macam abahnyalah. Ke mana lagi kuah tu hendak tumpah, kan?
"Kalau ada masalah, Uja kena bagi tahu kat abah. Boleh kita selesaikan sama-sama," pancing Sam.
"Abah janji?" Uja merenung Sam dengan mata bulatnya. Menuntut jawapan.
"Oh... betullah ada masalah. Cepat cerita kat abah. Lepas tu kita tengok macam mana kita nak selesaikan masalah tu." Sam menyilangkan lengannya di atas meja. Renungannya fokus pada Uja supaya Uja yakin bahawa dia sentiasa bersedia melakukan apa sahaja untuk Uja. Apa sahaja!
"Bukan masalah. Uja takde masalah. Tapi Uja nak abah buat satu benda untuk Uja."
Sam tersenyum bila mendengar Uja berkata-kata. Macam orang dewasa sahaja bunyinya. "Okey. Uja cakap je. Abah akan buat apa yang Uja nak abah buat. Janji Uja happy. Uja senyum balik."
"Betul? Abah tak tipu?"
"Betul!"
"Abah janji dulu."
"Abah janji akan buat apa yang Uja nak abah buat." Sam mengangkat tangan kanannya sambil mengucapkan ikrar itu. Senyumannya melebar, tidak sabar untuk membuktikan kata-katanya kepada anaknya itu. Dia mahu Uja kenal siapa dia. Kenal prinsip hidupnya bahawa jika dia berjanji, sampai mati dia akan pegang janjinya itu.
Buat seketika Uja terdiam. Kelopak matanya diredupkan. Berfikir. Kemudian dia pandang Sam semula dengan mata yang penuh berharap.
"Uja tak nak abah kahwin dengan Mak Cik Erin," ucap Uja.
Langsung mati senyuman yang menghiasi wajah Sam. Seluruh tubuhnya kaku. Otaknya berputar ligat. Berfikir. Namun, hanya nama Ati sahaja yang muncul di benak fikirannya.
"Mama yang suruh Uja cakap macam ni, kan?"
"Mana ada? Uja fikir sendiri."
"Uja... Uja kan suka Mak Cik Erin."
"Tak! Uja tak suka dia!" Uja menjerit lalu menepis pinggan berisi nasi ayam dari atas meja. Habis bertaburan nasi yang tidak habis di atas lantai.
"Uja..." Sam memujuk. Sedaya upaya dia menyabarkan diri.
"Abah dah janji. Abah janji nak buat apa yang Uja nak abah buat. Abah dah janji!" Uja menjerit-jerit dan mula menangis.
Sam merenung Uja dengan fikiran buntu. Dia sedar dia telah melakukan kesilapan yang sangat besar kerana berjanji tanpa mengetahui isi perjanjian itu terlebih dahulu. Tetapi manalah dia tahu itu yang Uja mahu dia lakukan sebab semalam Uja okey sahaja. Manja dengan Erin.
"Mama yang suruh Uja cakap macam ni, kan?"
"Abah dah janji! Abah tak boleh tipu. Abah dah janji!" ulang Uja. Itu yang diajar oleh mamanya tadi. "Kalau abah tanya, kalau abah tuduh mama ajar Uja, Uja cakap je abah dah janji, abah dah janji... itu je Uja sebut tau. Lama-lama abah terpaksa ikut cakap Uja," ajar Ati pagi tadi.
"Uja..." Sam cuba memujuk.
"Abah tipu!" Uja menjatuhkan dirinya di atas lantai, meraung dengan sekuat hatinya di situ.
"Eh, Uja..." Sam cuba mengangkat Uja tetapi anaknya menggelupur sambil menendang-nendang tangannya.
"Uja tak nak abah kahwin dengan Mak Cik Erin. Mak Cik Erin jahat. Mak Cik Erin nak pukul Uja..." raung Uja.
"Okey... okey... bangun. Kita balik rumah."
"Tak nak! Abah janji dulu dengan Uja. Abah janji abah tak kahwin dengan Mak Cik Erin. Abah janji dulu. Kalau tidak, Uja lari dari rumah," ugut Uja.
"Okey! Okey, abah janji abah tak jadi kahwin dengan Mak Cik Erin." Sam menelan liur. Kerongkongnya pedih. Terasa seperti menelan asid. "Dah... bangun. Jangan nangis lagi. Tengok! Habis kotor baju Uja tu. Dah... dah..."
Tangisan Uja mula reda. Dia bangun lalu duduk semula di atas bangku sambil tersedu-sedu. Sam ke kaunter, membayar harga makanan dan juga kerosakan yang telah Uja lakukan. Dia juga menyelitkan RM10.00 dalam tangan pelayan kedai yang terpaksa membersihkan lantai yang telah dikotorkan oleh Uja.
Mereka meninggalkan kedai makan itu. Terganggu benar fikiran Sam memikirkan tentang janji yang telah dilafazkannya sehingga dia terlupa akan niatnya untuk membawa Uja ke balai polis dan hospital. Setibanya mereka di hadapan rumah Ati, barulah Sam seakan tersedar dari mimpi. Esok sajalah dia bawa Uja, fikir Sam.
"Kenapa hantar anak balik?" tanya Ati yang buru-buru keluar bila mendengar enjin SUV Sam. "Tak nak bawak Uja tidur kat rumah awak ke? Bawaklah. Seminggu pun tak apa. Baju dia ada kan kan sana?"
"Awak nak ke mana seminggu tu? Langkawi?" soal Sam, sinis.
"Aik? Takkan jealous kut..." Ati tersenyum puas terutamanya apabila dia melihat muka kelat Sam. Namun, hatinya risau juga. Mana Sam tahu dia hendak ke Langkawi? Ujalah ni yang beritahu. Memang anak tak boleh diharap!
Matanya melirik ke arah Uja. "Lailahaillallah... kenapa kotor baju ni?"
"Dia ikut cakap awaklah. Kan awak suruh dia berlakon, menangis sambil guling-guling kat atas lantai."
"Eh? Apa main tuduh-tuduh pulak ni?"
"Kalau saya nak kahwin dengan siapa pun, apa awak sibuk? Huh? Siap guna anak lagi nak rosakkan hidup saya. Awak ingat kalau saya tak dapat kahwin dengan orang lain, saya nak rujuk balik dengan awak ke? Jangan haraplah, Ati! Jangan harap!"
"Apa benda yang awak cakap ni, Sam? Satu benda pun saya tak faham." Ati meneruskan lakonannya walaupun hatinya sakit disiat-siat oleh kata-kata Sam. Uja dipeluknya, seolah-olah dia sedang melindungi anak kecil itu tetapi sebenarnya dia menggunakan Uja sebagai perisai untuk melindungi dirinya sendiri. Takut juga dia Sam hilang sabar dan melakukan kekerasan atasnya. Memang dia tidak nafikan, selama mereka masih bergelar suami isteri dahulu Sam tidak pernah memukulnya. Menjentiknya pun tidak pernah. Tetapi hari ini lain. Hari ini kesabaran Sam telah Ati uji dengan seberat-berat ujian.
"Jangan ingat saya tak tahu awak yang ajar Uja cakap apa yang dia cakap kat saya tadi!"
"Uja cakap apa? Ha, sayang? Uja cakap apa kat abah?" tanya Ati. Uja mendongak, merenung mamanya dengan wajah keliru.
"Tak payah berlakonlah, Ati! Awak tahu prinsip hidup saya macam mana. Sebab tu awak ajar Uja suruh saya berjanji dengan dia."
"Ada ke mama ajar Uja apa-apa?" soal Ati kepada Uja lagi.
Uja menggeleng. "Uja yang fikir sendiri."
Sam menggeleng bila mendengar jawapan Uja. Nampak sangat jawapan copy paste. Dia menudingkan jari telunjuknya dekat ke muka Ati.
"Janji yang saya buat tadi tak boleh dipakai. Saya tetap akan bernikah dengan Erin. Saya tetap akan tunaikan janji saya pada dia," tegas Sam dengan suara yang perlahan dan dalam.
"Kalau awak teruskan jugak rancangan awak tu, saya akan bawak Uja pergi dari sini. Awak takkan dapat jumpa Uja lagi buat selama-lamanya," ugut Ati.
"Hah! Kan betul cakap abah. Mama yang ajar Uja cakap macam tu." Sam tersenyum kelat. Matanya melirik ke arah Uja yang sudah mula mencebik takut. Sedih hatinya kerana anak itu telah diajar oleh mamanya sendiri untuk melakukan perbuatan yang tidak berhemah. Tidak mustahil Uja diugut macam-macam oleh Ati jika Uja enggan mengikut kehendak Ati. Kasihan Uja. Kasihan anakku.
Sam pandang Ati dengan renungan penuh kebencian. Sekali lagi dia tuding jari telunjuknya pada muka Ati. "Kalau kau apa-apakan anak aku atau bawak anak aku dari sini, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing. Aku akan cari kau sampai dapat dan aku..."
Teringatkan Uja ada bersama mereka, Sam tidak jadi menghabiskan ayatnya. Dia pandang Uja, kemudian dia pandang Ati semula sebelum berpusing lalu masuk ke dalam SUVnya, memandu pergi.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now