JAM menunjukkan pukul 10.30 pagi. Sam berkira-kira sebentar. Akhirnya dia membuat keputusan untuk membawa Uja terus ke Pulau Pinang. Dah alang-alang Uja ada bersamanya. Ati nak marah, marahlah. Peduli apa dia! Dia ayah Uja. Dia juga berhak membawa Uja ke mana-mana yang dia suka, bukan Ati seorang sahaja. Lagipun, Ati yang beria-ia menyuruhnya membelikan barang-barang sekolah Uja tetapi Ati tidak sebut pula di mana dia patut membeli barang-barang itu. Di Ipohkah? Di Pulau Pinangkah? Atau di Kuala Kangsar? Ada Ati sebut? Tidak ada! Jadi, Sam beranggapan bahawa Ati membenarkannya membeli barang-barang sekolah Uja di mana-mana sahaja dia suka, termasuklah di Pulau Pinang.
Sam menoleh ke arah anaknya yang sedang ralit merenung ke luar tingkap. Semangat betul badan anaknya itu. Berketul-ketul lengannya. Leher Uja sudah tidak nampak. Tenggelam dek lemak pada muka dan dadanya. Badannya pula sudah masuk kategori obes. Terlalu gemuk. 40 kilo ada ni. Tadi, semasa Uja mendapatkannya, Sam perasan anaknya itu termengah-mengah menyedut oksigen. Tak boleh jadi ni! Anak komando takkan gemuk macam ini? Ati beri Uja makan apa? Setakat nasi, tidak mungkin boleh gemuk macam ini. Mesti Ati bagi Uja makan makanan ringan yang sememangnya sedap tetapi tidak elok untuk kesihatan.
Selepas ini Sam akan pantau makanan yang Ati berikan kepada Uja demi masa depan Uja sendiri. Dari kecil sudah gemuk. Bila sudah besar nanti, mudah dapat penyakit.
"Uja..."
Anak kecil itu menoleh.
"Uja dah makan?" tanya Sam, memandang sekilas wajah anaknya yang kosong dan sangat suram. Uja kelihatan lemah dan tidak bahagia.
"Dah."
"Makan apa?"
"Kuetiau. Donut. Kuih keria."
Sam tersenyum bila dengar Uja sebut kuih keria. Nampaknya Uja mewarisi perangainya juga, suka makan kuih keria.
"Banyaknya Uja makan. Tak sakit perut ke makan banyak-banyak?"
"Sakit." Jujur jawapan yang Uja berikan. "Tapi mama suruh makan jugak. Dia kata biar cepat besar. Uja nak cepat besar."
"Kenapa? Tak nak jadi budak kecik lagi dah?"
Uja sekadar menjongketkan bahunya sahaja. Suasana sepi seketika.
"Ada mama bagi senarai barang-barang sekolah yang kita nak beli kejap lagi?" Sam membuka topik perbualan baru.
"Ada." Uja mengeluarkan sehelai kertas yang berlipat dari dalam beg sandang Frozen yang dibawanya.
"Kita beli kat Pulau Pinang, nak?"
"Nak." Mata Uja serta-merta bercahaya.
"Mula-mula kita naik jambatan. Nak balik ke Ipoh nanti kita naik feri. Nak?"
"Nak! Nak!" Wajah kosong anak kecil itu menjadi ceria. Duduknya pun sudah tegak, tidak seperti tadi. Macam orang malas sahaja.
"Nanti dah masuk sekolah, abah nak Uja belajar main bola jaring, tau."
Uja mengangguk biarpun dia tidak faham kenapa dia perlu bermain bola jaring. Sam mahu anaknya sihat dan hidup lebih lama. Bukanlah maksudnya dia tahu anaknya akan mati cepat jika obes. Tidak. Itu semua kerja Tuhan tetapi secara logik dan saintifiknya, budak-budak yang obes sejak dari kecil, jika tidak dibantu untuk mengurangkan berat badan semasa mereka membesar, masalah kesihatan yang serius mudah timbul bila mereka dewasa nanti. Sam tidak sanggup melihat Uja dikongkong hidupnya oleh penyakit dan masalah obes, sedangkan terlalu banyak nikmat hidup yang menanti Uja di atas muka bumi ini. Dan sebagai seorang yang mengamalkan cara hidup sihat dan aktif, dia percaya hanya dengan bersukan sahaja Uja dapat mengurangkan berat badannya.
"Dah besar nanti Uja nak jadi apa?" Sekali lagi Sam mengubah topik perbualan.
"Nak jadi macam abah."
"Jadi macam abah?" Sam kembali menyoal. Maksudnya apa? Jadi polis? Komando? Atau manusia yang gagal mendidik isteri sehingga masjid yang dibina roboh?
"A ah. Nak jadi polis macam abah."
"Kenapa Uja nak jadi polis?"
"Uja nak kerja dengan abah. Boleh pergi kerja sama-sama dengan abah," jawab Uja, tulus.
Sam langsung berasa terharu. Dibelainya rambut lurus Uja dengan tangan kirinya. Sam sedar, Uja baru sahaja memberitahu bahawa dia merindui Sam. Sam juga rindu pada Uja. Jika tidak kerana perbuatan Ati, pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan oleh mana-mana suami, sudah pasti mereka masih hidup sebumbung sehingga kini.
"Okey. Nanti kita kerja sama-sama."
"Uja nak duduk dengan abah," kata Uja, tiba-tiba.
"Kenapa? Tak seronok duduk dengan mama ke?"
Uja menggeleng. "Tak seronok. Mama suka marah-marah. Mama suka cubit kuat-kuat." Spontan anak kecil itu memegang bahu kanannya.
"Mama cubit Uja kat situ?" tanya Sam. Kepalanya tertoleh-toleh, dari jalan raya ke bahu Uja.
"Kat sini, kat sini, kat sini, kat sini, kat sini..." Uja tunjuk dengan jari di mana dia sering dicubit oleh ibunya sendiri.
"Mana? Tengok."
Dengan tenaga anak kecil, Uja menarik lengan bajunya ke atas, menunjukkan lebam yang sangat besar dan masih biru kepada abahnya. Direnung muka abahnya dengan wajah sedih. Kemudian diselak pula baju yang dipakai, mempamerkan lebam-lebam pada tubuh badannya kepada Sam. Ada yang hitam warnanya kerana sudah lama. Ada juga yang masih biru. Pipi Sam berdenyut-denyut semasa dia menahan marah. Sekali tengok sahaja dia sudah tahu betapa kuatnya Ati mencubit anak mereka. Sehingga pecah darah di bawah kulit anak kecil itu. Patutlah Ati membuat syarat baru; dia tidak membenarkan Uja bermalam lagi di rumah Sam. Pelik Sam dibuatnya. Sebelum ini okey sahaja. Kenapa tiba-tiba pula tidak boleh? Alasan Ati, sejak akhir-akhir ini Uja selalu mengigau dan hanya dia sahaja yang Uja mahukan bila Uja mengigau di tengah malam. Bergaduh besar mereka hari itu. Sam abah Uja. Pandailah dia macam mana hendak memujuk anak yang mengigau. Bukannya tidak biasa. Lagipun, mahkamah telah memutuskan dia berhak membawa Uja tidur di rumahnya setiap dua minggu. Sam mahukan haknya itu. Namun, bila setiap logik yang dibentangnya dibalas dengan jawapan yang maha bodoh oleh Ati, akhirnya Sam terpaksa mengalah. Lantak Atilah. Asalkan Sam masih dibenarkan menghabiskan masa bersama anaknya itu. Sekarang, terbongkar sudah rahsia Ati. Rupa-rupanya Ati tidak membenarkan Uja bermalam di rumah Sam supaya bekas suaminya itu tidak nampak lebam-lebam pada tubuh badan anak mereka.
'Kurang ajar punya perempuan! Tunjuk samsenglah pulak! Eh, jangan tunjuk samseng pada budak kecillah! Cari orang yang sebaya. Baru betul pailang. Kalau kau tak jumpa orang sebaya, aku ada. Aku boleh bagi kau rasa balik kesakitan yang kau bagi kat anak aku!'
"Selalu ke mama cubit Uja?"
"Selalu."
"Kenapa mama cubit? Uja tak dengar cakap mama kut?"
"Dengar. Tapi mama suka marah-marah. Mama kata abah marah kat Uja. Sebab tu abah tak nak duduk dengan mama lagi dah."
"Mana ada abah marah kat Uja? Abah sayang Uja. Kalau abah marah, abah tak bawak Uja jalan-jalan."
Spontan Uja mengangguk. Jawapan Sam sangat logik di akalnya.
"Abah pun tak pernah marah Uja," tokok anak kecil itu. "Abah marah mama je."
Sam tidak tahu bagaimana hendak membalas kata-kata anaknya itu. Ternyata, anak kecil itu sangat perseptif dan memahami apa yang berlaku di antara kedua ibu bapanya.
"Mama selalu kata Uja bukan anak mama. Sebab tu Uja buruk," adu Uja lagi.
"Mama kata Uja buruk?" Tersentak, Sam pandang Uja agak lama sebelum kembali fokus pada jalan raya.
Uja mengangguk lagi. "Mama selalu kata Uja gemuk. Uja buruk. Uja bukan anak mama. Mama kata anak mama cantik macam mama. Kurus."
'Dah kau sumbat macam-macam kat budak tu, macam mana dia tak gemuk!' bentak hati Sam. 'Macamlah kau cantik sangat. Cerminlah muka tu dulu sebelum nak hina anak sendiri.'
"Mama kata Uja anak abah. Mama selalu suruh Uja duduk dengan abah. Mama kata Uja susahkan hidup mama."
"Mama cakap macam tu?"
Kepala Uja mengangguk lagi untuk kali yang entah ke berapa.
Tanpa sengaja Sam mendengus. Begitu halus sekali Ati menghinanya. 'Buruk ya, aku ni. Adik-beradik aku semua buruk. Semuanya kau hina. Kau dengan adik-beradik kau aje yang elok. Heh, sila cermin muka kau tu dulu. Orang utan lagi elok dari muka kau tu, kau tahu tak? Harapkan kulit je putih. Hati hitam legam. Busuk! Huh, buruk-buruk adik-beradik aku, kau cari dia orang jugak bila kau ada masalah. Kenapa tak cari adik-beradik kau sendiri? Singai punya betina. Huh! Buruk-buruk aku, kau tergila-gila jugak kat aku dulu. Nasib baik aku terima jugak kau walaupun bukan kau yang aku nak!'
Sam memegang stereng SUVnya dengan kuat. Menahan kemarahan yang semakin berapi-api dalam hati. Ati sengaja mencari fasal dengannya. Sengaja! Ikutkan hati, hendak sahaja dia berpatah balik ke Ipoh untuk bersemuka dengan Ati. Biar dia ajar perempuan tidak berhati perut itu cukup-cukup. Baru Ati tahu langit tinggi rendah. Namun, Sam sabarkan hati. Dia perlu bertindak bijak kerana sekarang, dia sudah diberikan jalan untuk mendapatkan hak penjagaan penuh terhadap Uja. Dia akan mengajar Ati dengan cara itu. Balik dari Pulau Pinang nanti, dia akan membuat laporan polis terhadap Ati dan membawa Uja ke hospital untuk menjalani pemeriksaan doktor. Selepas itu dia akan ke mahkamah syariah, berbekalkan laporan polis dan laporan perubatan Uja.
"Abah nak bawak Uja tinggal dengan abah. Uja nak tak?"
"Nak!"
"Kita pergi Pulau Pinang dulu. Balik dari sana nanti, abah terus bawak Uja tinggal dengan abah, ya."
"Yeayyy..." Uja bertepuk tangan. Senyuman lebar membelah mukanya.
Sayu hati Sam bila melihat wajah anaknya jadi berseri-seri. Nampak sangat Uja memang tidak mahu lagi tinggal bersama ibunya. Uja minta diselamatkan. Sam membayangkan perasaan Uja semasa berada di rumah bersama Ati. Betapa Uja sering dihurung ketakutan kerana bila-bila masa sahaja Ati akan menyerangnya.
'Tidak lagi, sayang. Abah takkan bagi kau balik ke neraka jahanam tu lagi.' Sekali lagi Sam membelai rambut Uja. 'Maafkan abah, sayang. Maafkan abah. Lepas ni abah akan jaga kau baik-baik. Abah janji.'

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now