TIGA hari barulah demamnya kebah. Barulah dia boleh bangun. Selama tiga hari itu dia terbaring di atas karpet di dalam bilik komputernya. Badrul menjenguk untuk menyuapkan air. Makanan pun Badrul suapkan tetapi Erin yang tidak lalu makan. Setiap empat jam sekali Badrul memberikannya Panadol. Erin terima sahaja kerana tidak lalu bersuara. Kalau tidak, sudah disuruhnya Badrul membawanya ke hospital. Sakit-sakit pada seluruh tubuh badannya terlalu berbisa. Seperti sakit hendak mati sahaja dirasakannya.
Badrul sudah lama ke tempat kerja. Erin ke bilik air untuk mandi. Semasa berdiri di hadapan singki untuk menggosok gigi, dia terkejut melihat balikan wajahnya pada cermin yang dilekatkan di dinding. Hampir tidak kenal dia pada 'orang' dalam cermin itu. Tumpah juga air matanya. Tiga hari yang lalu dia sengaja mengelak dari melihat wajahnya di cermin. Tidak mahu menambahkan lagi kesedihan yang dirasai. Pagi itu dia terlupa. Sudah terlanjur tengok, dia memeriksa seluruh mukanya yang membengkak. Luka pada bibirnya masih berdenyut-denyut sakit. Erin periksa bibirnya perlahan-lahan. Lukanya seperti bernanah. Patutlah sakit. Dia mula susah hati. Berfikir yang bukan-bukan. Di dalam mulutlah tempat berkumpulnya segala kuman. Jika luka yang sudah bernanah itu tidak dirawat, dia bimbang kecederaan itu akan melarat. Masalahnya, Badrul tidak membenarkannya keluar dari rumah itu tanpa meminta izin terlebih dahulu. Larangan Badrul itu disertakan dengan ugutan; keluar tanpa pengetahuan dia - jatuh talak satu! Itu yang membuatkan Erin takut. Jalan selamat, minta kebenaran tetapi Badrul bagikah dia pergi ke hospital kalau dia minta izin?
Tu mulut hang ka mulut dia? Mulut hang, kan? Yang sakit hang, kan? Bukan dia. Besok kut berjangkit habih luka-luka dalam mulut hang tu macam mana? Pikiaq la sikit!
Aku tak nak jadi nusyuzlah, bodoh! Jatuh talak nanti, macam mana?
Hang la yang bodoh! Kalau jatuh talak, tak ka hang lepaih bebas dari dia? Tak dak la hidup menderita sampai mati dengan malaun sekoq ni! Eh, hang kata hang tak mau nangis lagi. Tak mau bagi dia sakitkan hati hang lagi. Yang hang kona-kona berdalih untuk dia ni pasaipa?
Erin palingkan muka, sakit hati dengan fikiran sendiri. Dia masuk di bawah pancuran dan mandi ala kadar sahaja. Usai, dia bersiap. Mahu ke hospital. Bukan kerana termakan dengan hasutan akalnya tadi. Tidak! Kalau bercerai, biarlah dia diceraikan secara baik. Dia nekad pergi ke hospital kerana bibirnya terlalu sakit. Badrul akan faham. Badrul akan memaafkannya. Kalau jatuh talak sekalipun, baru talak satu. Boleh rujuk semula, fikirnya.
Sebaik sahaja dia membuka pintu utama rumahnya, dia terkejut bila melihat seorang wanita muda berdiri di hadapan pintu pagar itu, memandang ke arahnya sambil tersenyum.
"Ya?" soalnya dari jauh, cuak. Orang jahat sekarang ini bukan terdiri daripada orang lelaki sahaja. Orang perempuan pun sudah ramai yang jahat.
"Puan Erin?" soal wanita muda itu.
"Awak siapa?"
"Puan kenal Sam Elit Hitam, kan?"
Erin telan liur. Isteri lelaki itukah? Ya Allah, tolonglah. Aku sakit ni... janganlah bagi masalah lagi, terlintas juga sangkaan buruk terhadap Allah dalam kepalanya.
"Saya kawan dia. Dia ada tunggu dalam SUV," terang wanita muda itu. SUV yang Aziah maksudkan itu merupakan singkatan kepada Sport Utility Vehicle, iaitu sebuah kenderaan serba guna. "Kenapa dengan muka puan ni?" sambung wanita muda itu lagi. Dia kelihatan risau melihat rupa paras Erin.
"Tak ada apa. Err... saya tak nak jumpa sesiapa sekarang. Minta maaf." Erin menutup pintu dan bersandar pada daun pintu itu. Hatinya berdebar-debar. Ya Allah... Sam Elit Hitam mencarinya. Sam Elit Hitam ada di hadapan rumahnya. Ya Allah, janganlah... kalau Badrul balik sekarang, mati aku dikerjakannya.
"Erin! Assalamualaikum, Erin!"
Nyawa Erin terasa bagai hendak melayang bila dia dengar suara yang dalam dan bernada tegas itu. Itulah kali pertama dia mendengar suara Sam Elit Hitam. Terasa seperti hendak berbaring di atas katil sambil memainkan suara lelaki yang menyeru namanya itu berulang kali. Sam Elit Hitam mencarinya selepas dia tidak muncul-muncul selama tiga hari. Sam Elit Hitam mengambil berat tentangnya. Risaukan dirinya. Tiba-tiba hatinya berasa sayu sangat lalu dia menangis.
"Erin! Saya Sam Elit Hitam! Boleh saya jumpa awak sekejap?"
Takkan nak keluar dengan muka macam ni, fikir Erin. Namun, dia juga berat hati hendak menyuruh Sam pergi. Takut terlepas peluang untuk bertemu dengan lelaki yang penuh misteri itu. Nak keluar ke tidak ni? Muka aku udahlah macam ni. Nanti apa dia kata?
Bodoh piang la hang ni! Keluaq je laa... suruh dia bawak hang pi spital. Yang hang takut sangat dia tengok muka bengkak hang tu pasaipa? Bukannya dia tak tau rupa betoi hang macam mana!
Erin membuka sedikit pintu rumahnya dan berdiri di celah pintu yang terkuak. Ternampak sahaja susuk tubuh Sam Elit Hitam di luar pintu pagar rumahnya, dia terus menundukkan wajah, malu dengan rupa parasnya yang tidak serupa manusia hari itu.
"Sam..."
"Erin! Pandang saya."
Perlahan-lahan Erin mengangkat mukanya, memandang terus ke arah Sam Elit Hitam yang ketika itu sedang menanggalkan Ray-Ban yang dipakainya. Pandangan mereka bercantum. Tiada siapa pun bersuara tetapi mata mereka berkata-kata. Sesaat kemudian Erin memejamkan matanya, mengiakan soalan yang ditanya oleh mata Sam Elit Hitam. Air matanya tumpah lagi.
"Buka pintu pagar ni," arah Sam Elit Hitam.
"Tak apalah, Sam." Erin menggeleng.
"Buka pintu pagar ni!"
Erin terus menggeleng. Dia hendak menutup semula pintu rumahnya tetapi tidak jadi apabila melihat Sam memanjat pintu pagar rumahnya itu. Diintainya sekeliling, risau ada jiran yang sedang memerhati dan menghubungi pihak polis pula. Eh, nak takut apa kalau mereka panggil polis? Bukankah Sam juga seorang anggota polis? Lainlah jika mereka menelefon pejabat agama atau Badrul! Memang perang dunialah jawabnya.
Teringatkan Badrul, Erin membuka mulut untuk melarang Sam Elit Hitam masuk ke halaman rumah tetapi suaranya tidak keluar lantaran terpesona melihat pergerakan tangkas lelaki tinggi lampai itu. Berdebar-debar dadanya. Matanya pula terus memerhati. Begitu mudah sekali Sam Elit Hitam memanjat pagar rumahnya dan melompat masuk ke halaman rumah itu. Bertambah kekagumannya terhadap komando tampan itu.
Dengan langkah tegap, Sam Elit Hitam merapati Erin sambil mengalihkan cermin mata hitam yang digigit bingkainya dari mulut. Cermin mata hitam itu disangkutkan pada leher bajunya yang berbutang tiga. Matanya tidak berkalih dari memandang ke arah Erin. Naik malu Erin dibuatnya kerana sudah pasti Sam nampak dia mengamati lelaki itu dari atas hingga ke bawah sebentar tadi. Bukan sengaja hendak tengok Sam begitu. Dia terkesima dan tidak menyangka Sam begitu... sempurna. Sekurang-kurangnya di mata Erin, Sam Elit Hitam cukup sempurna.
"Awak cari saya?" soal Erin bila Sam Elit Hitam berdiri di hadapannya.
"Risau. Tiga hari saya tak dengar cerita."
"Macam mana awak tahu saya tinggal kat mana?"
"Saya kan komando."
Erin tersenyum. Itulah jawapan yang sering Sam berikan setiap kali Erin bertanyakan sesuatu.
"Aduh..." Erin mengaduh kesakitan bila luka pada bibirnya meregang semasa dia senyum.
"Kita pergi ke hospital, ya," pujuk Sam, lembut.
Perlahan-lahan Erin mengangguk. Memang dia hendak ke hospital pun dengan menaiki teksi. Alang-alang Sam sudi membawanya, lebih baik dia bersetuju sahaja. Lagipun tubuhnya tiba-tiba sahaja berasa lemah. Tiba-tiba sahaja, bagaikan tahu dia sudah selamat sekarang. Sudah tidak perlu risau jika dia jatuh di mana-mana kerana Sam ada untuk menyambutnya. Menyelamatkannya.
Erin keluar dan berdiri membelakangkan Sam untuk mengunci pintu utama rumahnya. Tumpuannya terganggu sekejap oleh bau tubuh Sam yang sampai ke deria hidunya. Bukan bau minyak wangi yang dicium tetapi bau semula jadi tubuh lelaki itu, yang mengocakkan tasik hatinya. Selesai mengunci pintu rumah, Erin berpusing. Hampir sahaja dia berlanggar dengan Sam yang berdiri rapat di belakangnya. Sam ke tepi sedikit untuk memberikan Erin laluan. Erin tunduk. Tidak berani memandang ke arah Sam. Lagipun dia malu dengan rupa parasnya yang lebih buruk daripada Shrek pagi itu.
Mereka melangkah ke pintu pagar bersama-sama, cuma Sam berada selangkah di belakangnya. Semasa dia mengunci pintu pagar, Sam masih teguh berdiri di sisinya. Tubuh sasa yang tinggi lampai itu menghadang cahaya matahari dari sampai kepadanya. Cara Sam itu membuatkan Erin berasa terharu sangat. Dia dapat merasakan lelaki itu sedang melindunginya. Mahu memastikan dia tidak rebah, barangkali.
Kemudian, Sam mengiringinya ke SUV Toyota Hilux berwarna hitam yang diparkirkan di bawah sebatang pokok di tepi jalan. Ada seorang lelaki dan seorang perempuan di dalam SUV itu.
"Itu Aziah dan suaminya, Bob," terang Sam, dapat membaca apa yang difikirkan oleh Erin ketika itu. "Bob satu skuad dengan saya. Aziah kerja di bahagian pentadbiran."
"Komando jugak?"
"Bob, ya. Aziah staf pentadbiran. Tak ada polis wanita yang sertai VAT69."
"Aziah tu pun polis jugak?"
"Ya."
Sam membukakan pintu SUV itu untuk Erin. Gentleman habis tetapi... Badrul pun seperti itu juga semasa mula-mula dapat kereta dahulu. Tahan seminggu sahaja gentleman Badrul. Selepas itu Erin kena buka pintu sendiri, Erin mengingatkan diri sendiri agar tidak terlalu memuji. Dengan susah payah Erin memanjat masuk ke dalam SUV yang agak tinggi itu. Sam memastikan Erin sudah duduk dengan sempurna, barulah dia pula memanjat naik. Dia duduk di bahagian penumpang hadapan, betul-betul di hadapan Erin. Bob memandu SUV itu. Aziah duduk di sebelah Erin, di belakang Bob. Dia bersalaman dengan Erin sebelum kembali memandang ke hadapan.
"Hospital mana?" Bob bersuara. Ternyata, Aziah sudah memberitahu suaminya tentang keadaan Erin.
"Yang paling dekat," jawab Sam.
"Hospital kerajaan jauh. Yang pakar, kena ambik refferal letter dari klinik dulu," balas Bob.
"Cari klinik yang dekat. Kalau kena masuk hospital, masuk hospital." Sam membuat keputusan bagi pihak Erin. Erin nampak Sam berbalas pandang dengan Bob sebelum berpaling semula ke hadapan dan mengenakan cermin mata hitamnya. Entah apa maksud pandangan mata mereka, Erin pun tidak tahu.
Bob mula memandu. Suasana di dalam SUV itu sunyi dan sepi. Tidak ada seorang pun yang bercakap. Radio pun tidak dibuka. Erin melontarkan pandangan ke luar tingkap. Semasa menolehkan kepalanya ke hadapan, dia menangkap Sam sedang memerhatikannya melalui cermin di luar SUV itu. Walaupun lelaki itu memakai cermin mata hitam, dia tahu lelaki itu sedang memerhatikannya. Sam mengekalkan posisi kepalanya. Erin tahu, lelaki itu hendak cover line. Erin tersenyum dalam hati dan kembali memandang ke luar tingkap.
Doktor klinik yang merawat Erin memberikan referral letter dan menyuruh Sam membawa Erin ke hospital dengan segera. Luka Erin sudah sampai ke tahap serius akibat jangkitan kuman. Erin membantah dan meminta ubat daripada doktor itu. Balas doktor tersebut, dia boleh bagi ubat yang Erin minta tetapi akhirnya Erin terpaksa juga pergi ke hospital. Lebih baik Erin pergi sekarang. Mahu tidak mahu, Erin terpaksa akur dengan kehendak doktor tersebut. Sam membawa Erin ke hospital pakar yang paling hampir. Di situ, Erin ditahan dan dimasukkan dalam wad kerana mengalami kecederaan yang serius. Suhu badannya juga agak tinggi. Kembali panas.
"Encik suami dia?" tanya doktor yang merawat Erin kepada Sam. Semasa itu mereka berada di ruang menunggu.
"Bukan."
"Encik dengan dia..."
"Kawan."
"Dia ada suami?"
Sam mengangguk.
"Encik tahu apa yang berlaku? Macam mana dia boleh dapat kecederaan tu?" soal doktor itu lagi.
"Saya tak tahu. Doktor kena tanya dia sendiri."
"Boleh tak encik hubungi suami dia?"
"Saya tak ada nombor telefon lelaki tu." Berdesir suara yang keluar dari bibir Sam. Menahan marah. Sudah terbayang-bayang apa yang bakal dilakukannya kepada Badrul jika dia bertembung dengan lelaki dayus itu.
Doktor itu merenung Sam buat seketika sebelum meminta diri. Sam tahu doktor itu hendak bercakap dengan Erin. Dia berharap doktor itu dapat maklumat yang diperlukan kerana dia juga ingin tahu apa yang telah berlaku terhadap Erin. Dia kembali duduk di sebelah Bob. Hatinya resah gelisah. Namun, wajahnya kelihatan tenang sahaja. Seperti tidak ada apa-apa. Kualiti itu telah dimahirkannya sejak menyertai VAT69 Komando. Sejurus, doktor itu melintas semula di hadapan mereka bertiga tanpa berhenti. Sam kecewa. Dia tahu, doktor itu tidak menghiraukannya kerana dia tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Erin. Menurut prosedur hospital mana-mana sekalipun, doktor itu tidak perlu berkongsi maklumat yang diperolehnya dengan orang yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan pesakit.
"Makan jom," ajak Bob.
"Korang pergilah." Sam menolak. Dia tidak ada selera untuk makan. Mahu tunggu suami Erin tiba, sebenarnya. Mahu melihat rupa lelaki yang membelasah isterinya sehingga begitu teruk sekali.
"Okey. Jangan buat benda bodoh, bro. Jangan masuk campur," nasihat Bob. Dia cukup kenal sahabatnya itu.
"Pergilah makan. Jangan risau fasal aku."
Bob dan Aziah berlalu. Sam duduk bersandar. Kakinya yang panjang dilunjurkan untuk menghilangkan lenguh. Hatinya resah tidak terkata. Macam-macam bermain dalam fikirannya. Sedang mencari cara yang sesuai untuk mengajar suami Erin supaya di lain kali, lelaki dayus itu tidak berani mencederakan isterinya lagi.
Suara orang bergaduh menarik perhatiannya. Sam menoleh, melihat seorang lelaki melangkah laju dengan wajah tegang, dikejar oleh doktor yang merawat Erin tadi. Tidak tahu hujung pangkal, Sam memandang sahaja ke arah lelaki yang melintas di hadapannya tanpa syak wasangka tetapi apabila doktor wanita itu pula melintas dan doktor itu memberikan pandangan penuh bermakna kepadanya, Sam menyedari siapa lelaki itu lalu dia terus bangun lantas mengejarnya.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now