1

17.7K 203 5
                                    

SUASANA tenang yang dinikmati sejak dari pagi, hancur berkecai sebaik sahaja Badrul pulang dari pejabat. Entah hantu mana yang merasuk, masuk-masuk sahaja ke dalam rumah Badrul terus mengamuk memarahi Erin yang ketika itu sedang menghidangkan juadah makan petang untuk mereka berdua. Sebentar tadi Erin begitu bangga sekali kerana dapat menyiapkan kuih karipap pusing kegemaran suami tercinta. Hatinya berbunga-bunga, tidak sabar menunggu Badrul balik kerja untuk mempamerkan kejayaannya itu pada lelaki itu. Mesti Badrul suka. Dan akan memujinya. Kini, perasaan itu lesap dari hatinya diganti oleh kekesalan yang tidak terungkap. Kekesalan yang menyembunyikan diri bila dia bahagia tetapi akan muncul semula mengungkit-ungkit kebodohannya kerana enggan meninggalkan Badrul semasa peluang itu terbuka, bila situasi tegang seperti ini terjadi kembali. Bukannya Erin tidak pernah berjanji pada diri sendiri untuk meninggalkan Badrul. Pernah. Banyak kali. Semua janji itu dilafazkan oleh hatinya di saat dia menangis tersedu-sedu selepas dibelasah oleh suaminya. Semasa itu hati masih marah kerana diperlakukan dengan kejam oleh suami tercinta. Namun, bila Badrul memujuknya, bila Badrul tidak marah-marah lagi, bagi hadiah dan sebagainya, Erin terus terlupa pada janjinya itu sehinggalah dia dibelasah lagi.
Bodoh piang! Marah akalnya.
Erin hanya mampu berdiri tegak di hadapan suaminya itu dek terlalu takut dan terkejut. Dalam kepala, dia hanya memikirkan bentuk penyeksaan yang bakal Badrul lancarkan terhadapnya. Adakah Badrul akan menyeksanya secara mental? Adakah secara fizikal atau kedua-duanya sekali?
Apa pun bentuknya, dia tetap perlu menyediakan diri.
“Kau ingat muka kau tu cantik sangat ke?” Badrul memprovokasi dengan kata-kata. Gayanya sangat menyakitkan hati, memandang Erin dari atas ke bawah dengan penuh angkuh. Rasa jijik berselirat pada wajahnya, seolah-olah wanita yang berdiri di hadapannya itu berselaput kudis dan sopak.  
Air muka Erin semakin suram. Redup kelopak matanya menahan kesedihan dihina sebegitu rupa oleh suami sendiri. Liur ditelan untuk menegah air mata yang mula bertakung dari tumpah. Sehina-hina dia, masih lagi disimpan sebagai isteri. Mengapa tidak diceraikan sahaja?
“Kalau aku tak kutip kau hari tu, sampai sekarang kau tak kahwin-kahwin lagi, kau tahu tak!” Badrul terus melanyak keyakinan diri Erin. Matanya merah menyala memandang si isteri.
Kutip?! Terangkat muka Erin memandang suaminya. Terkejut sungguh dia dengan ungkapan yang terzahir dari mulut Badrul. Bukankah dahulu Badrul yang mengejarnya, merayu, menagih kasih dan cintanya? Bila masa Badrul kutip dia? Benar! Ketika bertemu, mereka sama-sama dihurung dilema yang menyesakkan dada. Mereka berdua berada di persimpangan yang gelap gelita, tidak mampu meneruskan langkah lantaran tiada cahaya yang sudi menyuluhkan arah. Bukan Erin seorang sahaja tetapi Badrul pun sama. Badrul dikecewakan oleh bekas isteri pertama yang meninggalkannya tanpa sebarang kata. Erin pula kecewa lantaran cinta yang dibaja selama sepuluh tahun, mati begitu sahaja pabila jejaka pujaannya yang berjanji untuk sehidup semati dengannya, mengahwini perempuan lain pada hari yang sepatutnya menjadi hari pernikahan mereka. Mereka berdua; Erin dan Badrul, adalah dua manusia yang dikecewakan oleh cinta, dipertemukan juga oleh cinta, lalu mereka berdua bercinta dan akhirnya mereka bernikah.
Bila masa pula dia terlontar ke lembah hina sehingga Badrul terpaksa mengutipnya?
Mungkin di hadapan kawan-kawannya, cerita itulah yang Badrul tebarkan. Bahawa dia mengutip Erin dari lembah hina lalu menjadikan Erin isterinya. Betapa hebatnya Badrul. Betapa sucinya hati dia. Begitulah pujian kawan-kawannya, barangkali. Tetapi takkanlah di hadapan Erin pun dia hendak menjaja cerita yang sama? 
Terlalu kecewa dengan penghinaan yang dihamburkan oleh suaminya, Erin berpusing untuk berlalu dari situ.
“Heh!” Badrul merentap lengan Erin, membuatkan Erin mengaduh kuat, kesakitan yang amat sangat.
“Mana kau nak pergi, hah? Aku belum habis dengan kau lagi. Dasar anak pelacur.”
“Abang!” protes Erin. Sakit hatinya mendengar kata-kata Badrul. Hina sangatkah dia sehingga Badrul tergamak menggelarnya begitu?
“Apa? Emak kau tu memang pelacur. Main dengan pengemis tak tahu malu asyik mintak duit aku je. Tu yang dapat anak tak tahu diuntung macam kau. Kurang ajar! Heh, kenapa kau tak mati je dari dulu, hah? Nak aku bunuh kau? Nak?” Badrul mengugut.  
Takut, Erin lari menyelamatkan diri ke bilik komputer. Lebih baik begitu daripada menghadap lahar yang meletus dari gunung berapi dalam dada Badrul. Andai setakat kata-kata sahaja, Erin tidak mungkin lari. Apalah sangat dengan tohmahan dan cacian Badrul itu meskipun dia tidak menyangkal, ayat berbisa yang keluar dari celah dua ulas bibir hitam suami yang telah dinikahinya sepuluh tahun yang lalu itu tajam menikam, menusuk hingga ke ke ulu hati. Yang Erin tidak tahan, tangan dan kaki Badrul akan turut hinggap ke tubuh badannya. Sama ada dia bersalah atau tidak, itu belakang kira. Asalkan hati Badrul puas. Tangan dan kaki Badrul besar. Kudrat lelaki Badrul sepuluh kali ganda kudrat Erin. Sekali penampar dihayun, terjelepok Erin di sudut bilik tidak bangun-bangun lagi.
“Kenapa lari, Erin?”
‘Tak nak sakit. Sebab tu aku lari.’ Namun, jawapan itu hanya bergema dalam hati Erin sahaja.
Suara Badrul kedengaran lagi. Mengejar derap langkah Erin. Kali ini Badrul menyebut pula sebaris nama yang membuatkan semangat yang menjadi pemangkin kekuatan Erin, terbang melayang dari tubuh badannya. Hampir terjerumus dia ke lantai bila kakinya tiba-tiba sahaja longlai. Terpaksa menampan dinding untuk mencari kekuatan.
Daripada mana Badrul dapat tahu? Dia tidak pernah bercerita pada sesiapa, hatta pada sahabat baiknya pun tidak pernah. Bagaimana Badrul tahu?
Hati Erin kecut.
“Siapa lelaki tu, Erin?”
Herdikan Badrul bernada bahaya. Sangat bahaya. Serta-merta birai mata Erin diterjah air panas. Jika tadi masih samar-samar bentuk penyeksaan yang bakal ditanggungnya, namun kini segalanya pasti. Sebentar lagi tubuh badannya akan lunyai dikerjakan oleh Badrul. Malah, sakitnya sudah dapat dirasai oleh sekujur tubuhnya yang semakin lama semakin kurus itu.
Erin paksa kakinya yang terasa berat itu berlari meskipun payah. Dia mahu cepat sampai ke bilik komputer yang turut dijadikan bilik tidurnya setiap kali mereka bergaduh. Di situlah dia bermunajat ke hadrat Allah, meminta kekuatan untuk berhadapan dengan suaminya yang panas baran. Di situlah juga dia memujuk hati dan merawat luka-luka pada tubuh badannya sambil menyoal pengakhiran kepada takdir yang tersurat untuknya. Apakah hikmahnya? Bilakah kan muncul kebahagiaan yang dijanjikan selepas derita?
“Erin! Sam Elit Hitam tu siapa?”

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now