Sakit

13 1 0
                                    

29/03/16

Aduh. Perhimpunan sekolah pula pagi ni. Waktu paling aku tak suka. Sudah lah kena berdiri lama. Lebih-lebih lagi selepas cuti ni.

Aku mencari seorang kawan di tapak perhimpunan. Lelaki, Saiful namanya.

Tak ada. Pelik. Selalunya ada.

Saiful tak pernah ponteng sekolah. Anak cikgu, rumah pun di perkarangan sekolah (quarters guru). Jadi, nak ponteng macam mana?

Aku nak tanya kawan lain, malu. Aku bukannya pandai bercakap sangat.

Tiba-tiba seorang cikgu datang,bertanya kepada kawan yang lain tu, "Saiful mana?"

"Sakit, cikgu."

Oh, sakit. Patutlah tak datang. Mesti sebab demam dalam cuaca yang tak menentu ni.

"Dia masuk ICU, cikgu," sambung yang lain.

Eh.

Ehh.

Masuk ICU?! Berderau darahku mendengarnya. Masakan boleh masuk ICU, padahal baru 4 hari yang lepas aku bersembang dengannya tentang seorang cikgu yang tak berapa betul (lain masa kita cerita, okey?). Sihat walafiat saja aku tengok. Apahal?!

'Kenapa?' itu soalan yang aku cuba lontarkan tapi tak tercapai dek malu yang menebal tak kena tempat.

Saiful. Atlet sekolah yang peramah dan baik hati. Tinggi. Badan dia tidak lah sasa mana, malah badannya agak kurus seperti kebanyakan remaja sekarang.

Aku dan Saiful pernah berada dalam kelas yang sama semasa tingkatan 1 hinggalah tingkatan 3. Namun ketika itu, kami tak banyak bersua muka. Nak bersembang apatah lagi.

Setahun kemudian, barulah kami rapat semula walaupun kelas berbeza. Aku 4A, dia 4B.

Sekarang, aku masih tertanya-tanya. Apa yang menyebabkan dia masuk ICU? Heat Stroke? Mungkin.

'Mungkin' bukan jawapan yang aku mahu. Argh. Aku takkan tenteram selagi tak tahu perkara sebenar.

Ketika ini di dalam kelas, aku cuma diam dan senyap. Rakan sekelas aku tak cakap apa, sebab aku memang pendiam dan hanya menjawab bila ditanya.

Waktu rehat, aku berjumpa dengan perpustakawan sekolah atau juga dikenali sebagai penjaga perpustakaan, Kak Betty.

Kak Betty la yang bertanggungjawab jaga PS (Pusat Sumber) sekolah yang tercinta ni. Terima kasih atas jasa Kak Betty sebab dah cantikkan PS ni yang dulunya rupa macam stor buku, hanya dalam tempoh 6 bulan. Kak Betty bukannya muda lagi. Hee.. Aku guna panggilan kak walaupun beliau sudah berumur hampir 50 tahun.

Telah menjadi rutin aku untuk melawat Kak Betty pada waktu rehat. Aku ni sudah lah ulat buku, pegang jawatan pengawas perpustakaan pula tu. Jadi, tempat mana lagi yang aku mahu lepak kalau bukan di sini.

Sembang punya sembang dengan Kak Betty, keluar pula cerita tentang Saiful masuk ICU. Memang jadi isu lah sebab Saiful kan anak cikgu.

Kemudian, Kak Betty keluarkan Samsung Note miliknya dan tunjukkan aku Group Whatsapp kakitangan sekolah.

Dari situ, aku dapat tahu yang Saiful menghidap penyakit radang peparu dan jangkitan pankreas.

'Salam takziah, Manja(bapa Saiful)'

'May god be with you, Saiful'

'May god bless you'

'Ya allah, sembuhkan dan hindarkanlah segala penyakit yang ditanggungnya. Amin.'

Aku hanya tersenyum kelat sambil membaca mesej-mesej dalam group itu. Aku tak berhenti membelek.

Seperti mimpi, dia koma. Nyawanya bergantung pada mesin. Tangannya diikat pada birai katil. Apabila dia separa sedar, dia diberikan ubat tidur dengan segera agar tangannya tak sempat untuk merayap dan menyentap segala wayar yang ada pada tubuh badan .

Sedihnya.

Kali ini dalam kelas, aku bukan saja diam, malah aku jadi mosot (muram). Rakan sekelas aku pun mula pelik. Bila ditanya, aku jawab aku sakit. Mereka percaya. Yup, baguslah mereka percaya.

Tak kan aku mahu beritahu yang aku sedang sedih dan beritahu sebab aku sedih. Malas aku mahu cerita tentang diri aku pada orang lain. Buat apa?

Tapi, aku tak lupa nak ceritakan tentang penyakit Saiful.

Kelas mula bising bersama nada terkejut mereka. Tanya itu, tanya ini. Aku cuma jawab yang perlu sahaja. Kemudian, mereka tukar topik lain.

Mereka terperanjat kerana mereka juga anggap yang Saiful menghidap heat stroke pada mulanya. Sangkaan meleset nampaknya.

Sekali lagi, aku hanya tersenyum kelat sebelum merebahkan kepala ke atas meja.

Ah, penatnya.

Cepatlah sembuh, kawan.

Catatan KecilOù les histoires vivent. Découvrez maintenant