Bab 7 : Red Velvet

10.6K 172 21


Bab 7

Sekali lagi anak mata Aida mengerling ke raut masam mencuka Izzat. Pelik betul sebab sejak pagi tadi Izzat banyak mendiamkan diri. Jangan kata nak bergurau dan mengusik macam selalu, nak tengok bestfriend dia ni tersenyum pun susah.

Nak kata ada masalah dengan girlfriend, dia memang tahu Izzat tak bercinta dengan sesiapa. Masalah dekat kedai? Hmm, lagilah macam tak logik sebab order sentiasa masuk hari-hari walaupun tak sebanyak mana.

Sambil tangan sibuk menekap fondant berbentuk bulat-bulat kecil, Aida masih memerhati. Dia tengok tangan Izzat begitu lincah mengukir bentuk zirafah menggunakan rice crispy treats yang telah dikaramelkan dengan gula pasir. Agaknya Izzat stress sebab kena siapkan kek Cik Sophie tu ke? Iyalah, dah siap nanti nak kena menghadap perempuan lawa tu lagi. Manalah si Izzat tu berkenan sangat.

Tapi dalam pada tak berkenan pun, bukan main comel lagi kek baby shower kawan Cik Sophie itu dibuat Izzat. Kali ini Izzat mewujudkan tema safari yang sangat cute dan ceria. Kek bijiran berbentuk singa, gajah, kuda belang sudah kemas dibalut dengan fondant. Dan kemudian diletakkan pula ke dalam baby crib yang diperbuat daripada kek red velvet dan coklat modeling. Gorgeous sangat!

"Aida, kau pergi rollkan fondant warna baby blue sekejap. Yang dah siap tadi, bak sini bagi aku."

Arahan serius Izzat membuatkan Aida terkebil-kebil. Amboi, memang suara tegang semacam. Walaupun pelik, dia menurut juga arahan Izzat. Tangan yang sedikit melekit dilap dengan tuala kecil di atas meja. Dulang berisi fondant-fondant bulat tadi ditolak kepada Izzat supaya mudah untuk lelaki itu mengambil dan menampal di badan zirafah yang telah diukir.

"Izzat, kau kenapa ni? Hari ni aku tengok kau semacam aje, ada problem ke?"

"Hmm... tak ada apalah." Izzat membalas acuh tak acuh. Langsung tak pandang muka Aida yang berdiri di depannya.

"Tak ada apa kata kau?" Aida mencebikkan bibir. "Weh, kau mengarah aku tadi macam Hitler tahu tak? Lepas tu muka kau dah macam kena tenyeh dengan lemon, masam gila. Dulu kau jugak cakap dengan aku, nak buat kerja muka kena ikhlas. Ini aku tengok muka kau tak macam ikhlas pun."

Izzat mengeluh perlahan. Dia bukan tak ikhlas, dia cuma tak ada mood. Macam mana dia nak ada mood kalau pagi tadi dia dah kena halau dengan ibu ke rumah belakang. Dan paling sadis, ibu dah siap-siap bungkuskan kain baju dia dalam beg. Sampai hati! Dekat rumah sewa belakang tu apa yang ada? Cuma ada katil bujang dengan almari cinonet saja. TV pun tak ada tahu tak? Stress!

"Tengok tu, mengeluh tak habis-habis. Apa masalah kau ni Izzat? Kau jangan buat aku nervous boleh tak?"

Kali ini mata Izzat memanah ke wajah Aida. "Dah kenapa kau nak nervous pulak?"

"Iyalah. Mana tahu bakeri ni nak lingkup ke apa, mana aku nak cari kerja lain? Lagipun tak lama lagi aku nak naik pelamin. Dekat mana aku nak cekau duit buat belanja kahwin nanti?"

"Hesy, mulut kau ni cabul tahu tak? Karang kalau jadi kenyataan, naya kita semua."

Kata-kata Izzat membuatkan Aida ketawa. "Dah tu, apa masalah kau sebenarnya? Ceritalah dengan aku."

Izzat sekadar tersengih dan menggelengkan kepala. Takkanlah dia nak cerita yang dekat rumah dia tu ada perempuan sesat yang menyusahkan. Yang dia geram sangat tu, senang betul ibu menangkan si Helena. Bak kata peribahasa Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah dibiar kelaparan. Hah, memang kena sangat dah. Helenalah si kera tu!

Setengah hari tenggelam dalam kesibukan di bakeri, Izzat dikejutkan dengan kedatangan Zati ke kedainya. Tak terkejut sangat kalau adik dia tu datang seorang, masalahnya Zati siap datang bawak teman. Teman 'istimewa' sangat sampai naik berbulu mata dia ni tengok! Zati pun satu, hantar bekal pun sibuk nak ajak minah senget tu ikut sekali!

RED VELVETRead this story for FREE!