Bab 3 : Red Velvet

12.4K 147 8

Bab 3

Bunyi berkeriut engsel pintu serta merta mengundang perasaan debar di dada. Nafasnya tertahan beberapa saat. Namun dia yakin mama dan papa langsung tak sedar dia tengah menghendap di sebalik pintu tersebut. Kepala dijengukkan sedikit. Liar anak mata mengintai ke ruang bilik bacaan di tingkat bawah kediaman keluarganya itu.

Dari celah pintu dia boleh melihat jelas wajah keruh papa yang asyik mendengus geram. Muka mama pula kelihatan sugul dan murung. Spontan bibir diketap rapat menahan perasaan kecewa. Well, well, apa lagi yang dia harapkan? Berdoa nak tengok mama meloncat gembira sebab bakal dapat menantu? Atau nak pandang muka jernih papa yang kononnya seronok bermenantukan 'orang kanan' yang dipercayai selama ini?

Huh, jangan haraplah! Sekali papa kata no, jangan kau berangan nak tukar jawapan kepada yes. Langit runtuh atas kepala sekalipun, belum tentu papa setuju nak ubah keputusan.

"Habis tu apa kita nak buat sekarang ni, bang? Ya Allah, pening kepala saya dibuatnya!"

Helena yang masih terbongkok-bongkok mengintai di luar bilik mencebikkan bibir. Pening? Alah, mama nak pening buat apa? Bagi ajelah dia kahwin dengan Fareeq, habis cerita! Dia happy, mama dan papa pun boleh tumpang happy sekali. Tak payah risau nak kena control anak dara dalam rumah ni lagi.

"Kalau awak pening, abang ni lagilah macam nak pecah kepala memikirkan kerenah anak awak tu. Ini, muka abang ni, dah tebal lapan inci bila menghadap staf-staf dekat pejabat tu. Telinga abang bingit aje bila ada yang mengusik pasal Fareeq. Hisy, budak Fareeq tu memang tak kenang dek untung. Berani dia ambil kesempatan di atas kepercayaan abang selama ni!"

Pandangan Helena mengecil. Sakit hati bila papa sesedap mulut menyalahkan kekasih hatinya. Hello pa, Fareeq tak buat salah apa pun. Jatuh cinta tu kan perkara normal, betul tak? Semua orang akan melalui perasaan macam tu. Lagi-lagi orang muda remaja macam dia ni, memang perasaan ingin berkasih sayang tu meluap tinggi.

"Habis tu sekarang ni macam mana bang? Apa kita nak buat?"

"Buat apa lagi, Marina? Walau apapun berlaku, kita kena berkeras dan halang Elle dari terus berkawan dengan Fareeq tu. Kalau kita biarkan, tak mustahil diaorang boleh cabut lari dan kahwin dekat Siam."

"Hisy, abang ni. Takkanlah Elle tergamak nak buat macam tu dekat kita?"

"Eh, anak awak tukan keras kepala. Tak mustahil Fareeq boleh racun otak dia sampai dia sanggup tinggalkan kita."

"Ya Allah, risaunya hati saya ni bang. Malu kita satu Malaysia kalau anak perempuan kita kahwin lari. Abang tak boleh ke slow talk dengan Fareeq? Dia kan orang bawahan abang, mesti dia terpaksa dengar apa saja arahan dari abang."

"Abang dah pernah sound dia, Marina. Depan abang memanglah dia cakap tak nak ganggu anak kita lagi, nak putuskan hubungan segala. Tapi spy abang ada report yang diaorang masih berjumpa senyap-senyap dekat luar. Budak tu memang bedebah!"

Mata Helena terbeliak luas. What the hell? Spy? Wah, wah, papa memang tak pernah berubah. Over protected! Memang dari dulu lagi perangai papa macam tu. Tapi dulu dia budak hingusan, bolehlah asyik nak kena control saja. Tapi sekarang ni dia dah besar panjang. Dah berumur 26 tahun pun papa masih sibuk nak hantar spy mengintip aktiviti dia dekat luar. Melampau!

"Abang tak boleh ke tukarkan Fareeq ke jabatan lain? Maksud saya biar dia kerja jauh-jauh sikit, jangan duduk dekat KL lagi. Selagi Fareeq ada dekat KL, selagi itulah anak kita akan rapat dengan dia macam sekarang ni."

"Hmm... tak boleh Marina. Semua orang dekat Jabatan abang sukakan si Fareeq tu sebab dia pandai buat kerja. Reputasi dia memang sentiasa cemerlang. Takkan abang sesuka hati nak tendang dia ke tempat lain? Lagipun abang tak nak orang tuduh abang ni tak professional. Masalah personal nak dicampur aduk dengan hal-hal kerja pulak."

RED VELVETWhere stories live. Discover now