Bab 5 : Red Velvet

11.3K 185 35
                                    

Bab 5

Menatap ke dada langit gelap yang indah ditaburi bintang-bintang kecil, spontan bibir mengukir senyuman kecil. Walaupun terasa sejuk ditiup angin selepas hujan, tapi Izzat masih boleh duduk selesa. Tenang dia menyilang kedua belah tangan di belakang kepala sambil berbaring di atas bonet kereta. Bunyi cengkerik dan ungags membangkitkan perasaan yang sangat damai.

Beberapa minit termenung dan berfikir panjang, Izzat bangkit ke posisi duduk pula. Tangan beralih memeluk tubuh yang semakin dingin. Pandangan dilarikan ke bawah bukit yang kelihatan tenang. Hanya kelihatan lampu kekuningan dari jalanraya dan beberapa deretan rumah teres di bawah sana. Tenang saja perasaannya.

Izzat menarik nafas panjang. Sejak lapan tahun yang lalu, di sinilah tempat dia menghabiskan kebanyakan masa di sebelah malam. Daripada jalan bertanah merah, sampaikan sekarang dah cantik berturap dengan tar. Lima ratus meter di bawah suasananya agak meriah dengan mat-mat motor melepak. Ada jugalah beberapa gerai yang menjual burger dan jagung rebus. Nasib baik favorite spotnya di sini masih aman tanpa gangguan sesiapa.

Dahulu idea untuk membuka bakeri juga tercetus ketika dia duduk merenung bintang di sini. Mula-mula tak berani juga nak mengambil risiko, tapi dia tahu dia tak ada pilihan lain selain dari mencuba. Lagipun dah hampir setahun dia membakar dan menjual kek dari rumah.

Dari hari ke hari order semakin bertimbun masuk. Dapur di rumah ibunya pun bukanlah besar sangat, dah tak mampu nak menempatkan perkakasan membakar kek. Dicampur lagi dengan barang-barang untuk jualan nasi lemak ibunya, memang sempit dan tak selesa.

Dua tahun lalu, berbekalkan wang simpanan dan ditokok dengan sedikit simpanan ibu, akhirnya dia berjaya juga membuka bakeri Dulceamor. Walaupun ringkas, tak ada dekorasi yang fancy-fancy, tapi kedainya mendapat sambutan juga. Malah regular customer sejak bertahun dulu kekal setia dengan setiap produk yang dia hasilkan.

Syukur Alhamdulillah. Memang belum layak digelar businessman yang berjaya lagi, tapi dia menanam tekad untuk terus memajukan perniagaannya dari hari ke hari. Biar hidup ibu dan Zati senang dan mewah dengan hasil titik peluhnya.

Terasa lenguh duduk bertenggek begitu, perlahan Izzat merebahkan semula tubuhnya di atas bonet kereta. Terkebil-kebil mata memandang hamparan bintang di langit. Bintang yang sangat indah. Dan kadang-kadang dia terfikir juga, bintang yang mana satu pernah dipandang oleh perempuan yang bakal menjadi suri hidupnya nanti.

Spontan bibir melirik senyuman segan. Jauh pulak dia berangan malam ni. memanglah dia selalu dilabel sebagai lelaki tegas, garang, dingin, tapi dia bukanlah anti dengan perempuan. Gilalah kalau kata nalurinya tak terarah kepada wanita, sebab dia tahu dia memang punya perasaan itu. Nak mencari girlfriend memanglah tak susah, senang saja sebab ramai yang rela jadi 'mak sanggup'. Cuma nak dapat gadis yang benar-benar ada kualiti elok sebagai menantu, itu yang susah. Aduhai, bilalah bakal isteri dia nak muncul memikat hati kan?

Kelopak mata Izzat berkelip sekali. Lamunan di kepala serta merta melayang saat telinga menangkap bunyi aneh tidak jauh dari situ. Dia mengangkat sedikit kepala, memandang lurus ke depan. Kemudian dia menoleh pula ke kiri dan ke kanan. Pelik sebab dia tak nampak pula apa-apa yang pelik.

Masih terdengar bunyi yang sama, pantas Izzat bergegas duduk di atas bonet kereta. Semakin liar anak matanya meneroka ke semak samun yang hanya diterangi lampu jalan. Dada mula berdebar kencang. Takut juga kalau-kalau usikan ibu dan Zati menjadi kenyataan. Manalah tahu malam ni si hantu ada mood nak ajak bergurau pulak.

Seketika Izzat mengamati bunyi aneh tadi. Di celah-celah hembusan angin, bunyi itu masih jelas kedengaran. Macam ada suara tengah menangis dan bercakap-cakap. Oh Tuhan!

RED VELVETWhere stories live. Discover now