Kamera Mainan Barbie

5.1K 444 32
                                    

Jihyo mengelap peluh di dahi. Dia berasa sungguh letih setelah selesai mengemas segala alat permainan anaknya yang bersepah.

Dia tersenyum gembira ketika memerhatikan keadaan bilik anaknya yang sekarang. Lebih teratur dan kemas. Tugasnya kini sudah selesai, jadi sekarang dia mahu siapkan hidangan tengah hari untuk keluarganya.

Tetapi tatkala dia mahu melangkah keluar bilik anaknya, ekor matanya terlihat sesuatu di atas lantai. Jihyo pantas menoleh untuk lihat lebih jelas.

"Ah~ ada lagi satu mainan belum diletak ke dalam bakul mainan..." keluhnya lalu mengutip mainan itu.

Ianya sebuah kamera mainan jenama Barbie. Cara bermain dengannya, halakan kamera itu ke dinding atau permukaan yang tidak bercorak. Tujuannya untuk membolehkan kita melihat imej yang bakal terpantul dengan lebih jelas. Apabila ditekan butangnya, semua gambar patung Barbie itu akan terpapar.

Jihyo tidak terus meletakkan kamera mainan itu ke dalam bekas mainan. Dia ralit memerhatikan kamera itu. Dia teringat kembali apa yang pernah anaknya kata padanya.

"Mama, kalau mama nak tahu, Lyn suka sangat main dengan kamera ni. Semua gambar kawan Lyn ada dalam kamera ni,"

Kata-kata Lyn, anak perempuannya yang berusia 5 tahun itu terngiang di telinganya.

Jihyo tersenyum. Dia tahu siapa yang Lyn maksudkan dengan kawannya itu. Siapa lagi kalau patung barbie yang cantik? Itu lah kawannya.

"Cantik sangat ke barbie ni?" Soal Jihyo. Dia mahu melihat gambar barbie atau kawan anaknya itu.

Lalu, Jihyo menghalakan kamera mainan itu ke dinding bilik tidur anaknya. Kemudian dia menekan punat yang tersedia ada di bahagian atas kamera. Oleh itu, terpaparlah imej barbie pada dinding itu.

"Oh cantik juga ya barbie ni..." puji Jihyo. Dia menekan punat itu sekali lagi untuk melihat gambar seterusnya.

Dan gambar seterusnya terpantul pada dinding itu...

"Argh!"

Jerit Jihyo dengan kuat. Dia melemparkan kamera mainan barbie itu ke lantai. Dia sangat terkejut dengan imej yang sedang terpapar di dinding bilik itu.

Disangkanya imej yang bakal terpantul adalah gambar barbie yang seterusnya tetapi imej lain yang terpantul.

Satu imej seorang kanak-kanak perempuan yang berambut panjang. Berwajah pucat tetapi tidak mempunyai mata, hidung serta mulut. Dia mengenakan pakaian serba putih. Umurnya rata-rata usia Lyn.

"Kenapa bunuh saya, mama?"

Satu suara berbisik di telinga Jihyo. Jihyo menekap telinganya dengan ketat. Dia tidak suka mendengar suara yang tidak diketahui tuannya.

"Mama buang saya kerana saya cacat ya?"

Walaupun Jihyo menutup telinganya, suara itu masih kedengaran di telinga. Dia tahu roh anak pertamanya itu sedang berkomunikasi dengannya tetapi dia tidak mahu bercakap dengan roh anaknya itu.

Oleh kerana ketakutan, Jihyo terus menjerit meminta pertolongan.

"Gary! Tolong saya!"

"Papa tiada mama... papa pergi kerja," jawab suara itu.

Jihyo memejamkan matanya serta menguatkan tekanan tapak tangannya pada telinganya supaya tidak mendengar apa-apa lagi suara asing.

"Lyn, tolong mama, Lyn!"

Imej kanak-kanak perempuan tidak berwajah yang masih terpapar pada dinding itu tiba-tiba bertukar. Imej itu telah bertukar kepada imej seorang kanak-kanak perempuan berwajah elok yang manis.

"Mama bukalah mata dan lihat imej yang terpapar pada dinding," arah suara itu kepada Jihyo.

Jihyo perlahan-lahan mencelik. Dia takut-takut menoleh ke arah dinding. Imej yang menakutkan tadi telah bertukar. Jihyo mengeluh lega apabila imej anaknya, Lyn yang menguasai dinding bilik itu. Sekurang-kurangnya imej Lyn tidak menakutkan malah senyumannya menenangkan.

"Saya cemburu dia dapat perhatian yang lebih dari mama. Saya cacatkan wajah comelnya dan saya bunuh dia. Mulai hari ni, boleh lah saya luangkan masa dengan mama kan?"

Imej Lyn tersenyum manis yang terpantul pada dinding itu serta merta bertukar kepada imej yang lain sebaik sahaja suara itu bercakap demikian.

Ia bertukar kepada imej Lyn yang sekarang. Terdampar di atas lantai bawah katil di dalam biliknya sendiri dengan muka yang ditoreh.

Creepypasta Waar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu