BAB 16

9.3K 487 126
                                    

AKU DIAM. Dia juga diam. Kami sama-sama terpacak di antara lima kujur tubuh yang sedang merenung tepat. Seorang di hadapan, dua orang di kiri kanan. Suasana sunyi sepi. Tiada walau satu bunyi pun. Ketegangan membuak-buak di setiap genap ruang tamu.

"Jadi..." Lelaki tua yang bersila di hadapan kami mula bersuara. Spontan, aku menelan air liur. Jantung berdegup kuat. Walaupun rupanya kelihatan seperti orang tua biasa, boleh aku katakan comel dengan ketinggian yang tidak seberapa, tetapi aura yang meluap-luap dari tubuh itu bukan calang-calang. Hanya melalui mata, dia boleh membuat manusia lain menggeletar kepala lutut.

"Inilah perempuan itu?"

Nafasku tiba-tiba tersekat. Dia memaksudkan aku. Ya, aku.

"Ojii-sama..."

Mataku terpejam sesaat. Benar telahanku. Lelaki tua ini merupakan Nakajima Hiroshi, datuk kepada Arjuna. Atau dalam erti kata lain, oyabun bagi Aizukotetsu-kai, yakuza paling berkuasa di Kyoto dengan tujuh ribu orang pengikut.

"Cepat sungguh datuk datang. Baru semalam saya jumpa orang-orang datuk. Macam mana keadaan mereka? Kalau datuk mahu hantar orang, apa kata hantar orang yang lebih setanding dengan saya?"

Lain yang ditanya, lain yang Arjuna jawab. Apa yang dia tuturkan benar-benar mengejutkan aku. Jadi, manusia yang menyerang kami semalam adalah konco-konco kepada datuk Arjuna sendiri?

Nakajima Hiroshi meledakkan tawa kuat. Sangat jengkel kedengaran di telinga. Lewat ekor mata, aku melirik ke sebelah. Muka Arjuna jelas tegangnya. Rahang lelaki itu terkacip-kacip. Sepasang matanya memanah garang.

Kebencian.

Itu yang aku nampak di segenap wajah Arjuna.

"Kalau aku hantar orang yang lebih setanding, kau dah lama mati," sela Nakajima Hiroshi setelah tawanya reda.

"Betulkah? Atau pun orang-orang datuk semuanya lembik?"

"Kau!" Sekonyong-konyong, salah seorang lelaki di sebelah kanan kami menjerkah. Serentak itu, dia bangun. Sebelah tangan memegang pedang yang tersisip di sebelah kiri.

"Masao."

Suara pendek Nakajima Hiroshi mematikan terus gerak lakunya. Dia merengus sebelum kembali duduk.

Arjuna menayang muka tidak berperasaan. Dia tetap tegak memandang ke hadapan. Tidak berkelip. Tidak terkesan langsung dengan reaksi lelaki separuh umur yang bernama Masao itu.

"Kau memang tak berubah, kan?"

"Datuk juga tak berubah."

Hujung bibir Nakajima Hiroshi menyenget sinis.

"Pandai kau kecohkan keadaan."

"Saya anggap itu sebagai satu pujian. Terima kasih."

"Kau bencikan darah dalam badan kau, tapi kau tetap gunakannya, kan?"

"Alang-alang darah tu dah mengalir dalam badan saya, apa kata saya gunakan saja."

Sekali lagi, Nakajima Hiroshi mengulum senyum. Dia tampak terhibur dengan jawapan yang baru dipantulkan oleh Arjuna. Aku pula tidak henti-henti memerhati segala interaksi antara Arjuna dan datuknya. Jelas sekali hubungan mereka yang tidak elok. Bercakap lembut, tetapi jelas menyindir satu sama lain.

SALJU KYOTO (Published)Where stories live. Discover now